Isu SemasaTempatan

Kedegilan Rakyat Kelantan Punca Kes Covid-19 Masih Tersebar

Rakyat Kelantan disifatkan masih degil dan bersikap sambil lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sekali gus menyulitkan negeri ini mencatatkan penurunan jangkitan kes COVID-19 seperti negeri lain.

Berdasarkan angka jangkitan kes harian hari ini, Kelantan masih merekodkan empat angka kes jangkitan iaitu sebanyak 1,170 kes sekali gus berada di kedudukan kedua selepas Sarawak iaitu 1,503.

 

Kadar Vaksinasi Sudah Hampir Mencapai Imuniti Kelompok Tetapi..

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata dari segi vaksinasi dan penguatkuasaan undang-undang pematuhan, pihaknya sudah menjalankan yang terbaik yang mana hampir mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.

“Penularan bukan disebabkan daripada kerajaan kepada rakyat, sebaliknya rakyat kepada rakyat itu sendiri yang tidak peka dengan pemakaian pelitup muka.

“Kajian menunjukkan jangkitan boleh dikurangkan dengan pemakaian pelitup muka tetapi rakyat Kelantan sama ada tidak faham atau ‘handalan’ (berasa hebat) atau mungkin belum pernah dijangkiti, jadi tidak menitikberatkan penggunaan pelitup muka,” katanya kepada pemberita.

 

Kelantan Sebenarnya Hampir 95% Sudah Divaksinasi

Dr Izani berkata, jika dilihat daripada segi bilangan rakyat Kelantan yang betul-betul menetap di negeri ini, angkanya adalah 1.1 juta dan bukannya 1.2 juta, sekaligus menjadikan peratusan vaksinasi sudah mencapai 95 peratus.

Menurutnya, dianggarkan lebih 100,000 rakyat Kelantan menetap di luar negeri ini termasuk di seberang laut, sama ada bekerja atau belajar.

“Proses pemutihan akan dijalankan esok kerana rakyat Kelantan berada di merata-rata. Daripada 1.2 juta, nilai konservatif yang dianggarkan hanyalah 1.1 juta sahaja sekaligus vaksinasi kita sudah mencapai 95 peratus,” katanya.

 

Bila Kelantan Akan Beralih ke Fasa 3?

Beliau berkata, melihat kepada perkembangan vaksinasi itu, pihaknya menjangkakan negeri ini akan beralih kepada fasa tiga dalam masa terdekat yang mana lebih banyak sektor ekonomi serta sosial akan dibuka.

“Sekarang masjid pun sudah dibuka dengan kapasiti 40 orang jemaah dengan syarat masih mematuhi SOP termasuk membawa sejadah sendiri.

“Jika nilai ambang semakin baik dan jangkitan berkurang, kita akan membuat permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) agar membuka lebih ramai kapasiti jemaah agar masjid dapat diimarahkan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button