Hiburan

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Squid Game 2

Siri Korea yang telah ditayangkan dua minggu lalu di Netflix telah trending di hampir seluruh dunia. Bagaimana siri ini boleh menjadi fenomena? Bagi peminat drama bersiri, genre seperti Squid Game ini bukanlah sesuatu yang baru.

Ia memaparkan visual yang menyerlah, watak yang boleh dikaitkan dengan kehidupan sehari-hari dan juga kajian lumrah manusia yang biasa berlaku tidak kira latar belakang di dunia ini. Namun, apakah yang anda perlu tahu sebelum menantikan siri kedua drama trending ini.

Drama Bersiri Squid Game Tentang Apa?

Dalam drama dengan hanya 9 episod ini adalah tentang bagaimana 456 orang yang dibelenggu hutang yang banyak dan sangat terdesak.

Mereka dipancing ke dalam sebuah permainan yang mana jika berjaya menempuh enam peringkat permainan, mereka boleh memenangi sejumlah wang bernilai 45.6bilion won bersamaan RM160.94juta.

Akan tetapi jika mereka kalah, mereka akan mati!

Mengapa Mereka Meggunakan Permainan Kanak-Kanak Dalam Squid Game?

Permainan yang diadakan dalam Squid Game ini sangat mudah kerana ia berdasarkan permainan waktu kecil kebanyakan orang.

Namun, apa yang mengerikan ialah bagaimana permainan anak kecil ini menjadi ganas sehingga menjadi perdebatan di antara netizen tentang baik buruknya Squid Game ini.

“Orang ramai tertarik dengan ironi bagaimana orang dewasa harus bertarung nyawa untuk memenangi permainan kanak-kanak ini,” kata pengarah Squid Game, Hwang Dong-hyuk dalam sebuah wawancara.

“Permainannya sederhana dan mudah, jadi penonton dapat memberikan lebih banyak fokus pada setiap watak daripada peraturan permainan yang rumit.”

Ramai Penonton Mengenang Permainan Masa Kecil Mereka Akibat Squid Game

Terdapat juga unsur nostalgia dalam drama ini.

Sebagai contoh, cabaran sarang lebah Dalgona yang terdapat dalam episod tiga. Ia merupakan permainan yang paling dikenang oleh orang Korea ketika mereka masih kecil.

Dalam permainan tersebut, pemain harus berhati-hati memotong kepingan gula-gula madu yang sangat nipis menggunakan jarum. Jika pemain mendapatkan bentuk yang sukar dan gula-gula tersebut retak, pemain tersebut kalah.

Salah seorang peminat Squid Game dari Korea menciap, “Squid Game telah membuat saya ingin makan Dalgona lagi. Dah lebih 20 tahun lamanya.. entah masih ada lagi atau tidak? Saya rasa sukar nak dapatkannya.”

Watak Dalam Squid Game Kena Dengan Dunia Realiti

Pakar berkata, kejayaan drama bersiri ini adalah kerana watak di dalamnya adalah daripada golongan kebanyakan orang yang berada dalam golongan terpinggir.

Walaupun mereka terkait dengan masalah kewangan yang besar, mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Watak utama contohnya merupakan seorang penganggutt dengan masalah judi yang berjuang untuk dihormati keluarga.

Melalui permainan Squid Game, dia bertemu dengan seorang pembelot Korea Utara yang muda dengan latar belakang yang tragis, dan seorang buruh Pakistan yang dianiaya oleh majikannya.

Orang Muda Dapat Mengaitkan Diri Dengan Watak Dalam Drama Ini

Kim Pyeong-gang, seorang profesor kandungan budaya global di Universiti Sangmyung, berkata kepada BBC: “Orang ramai terutama generasi muda yang sering terasa dipinggirkan dan rasa benci dengan kehidupan mereka akan lebih bersimpati dengan watak-watak dalam drama ini.”

Seperti negara jirannya di Asia Timur, sifat masyarakat yang berdaya saing di Korea Selatan telah membuat banyak orang rasa kecewa.

Walaupun mereka bekerja keras, tidak mungkin semua orang mendapat tempat terbaik di universiti atau pekerjaan yang baik.

Permainan dalam drama ini walaupun ganas dan mematikan, ia menghadirkan dunia alternatif yang dianggap berdasarkan sebuah permainan yang adil.

Seperti yang dikatakan oleh seorang pegawai permainan dalam siri ini, “Semua peserta dalam permainan adalah sama. Kami memberi peluang kepada orang ramai yang pernah mengalami keadaan tidak adil dan diskriminasi yang tidak setara di dunia luar peluang terakhir untuk memenangi pertandingan yang adil.”

Squid Game Tiru Filem Jepun?

Ramai media barat telah membandingkan Squid Game dengan Parasite, pemenang Oscar 2019 yang telah memperlihatkan ketidakadilan dan jurang kekayaan dalam masyarakat.

Namun, bagi mereka di Asia, penonton telah membandingkan drama diri ini dengan sebuah filem terbitan Jepun bertajuk “As The Gods Will” pada tahun 2014.

Ini kerana dalam filem tersebut, ia juga memperlihatkan permainan tradisional “lampu merah dan lampu hijau” yang merupakan salah satu babak paling terkenal dalam Squid Game.

Babak tersebut memaparkan sebuah robot raksasa berbentuk kanak-kanak perempuan yang menggunakan mata lasernya untuk mengesan pemain yang kalah dalam permainan itu dan dibunuh serta-merta.

Walau bagaimanapun, pengarah Hwang telah membidas tuduhan tersebut dan berkata ia tidak ada hubungan sama sekali dengan filem Jepun tersebut. Akan tetapi, persamaannya muncul hanya kerana genre yang sama.

“Saya mula merancang [Squid Game] pada tahun 2008 dan mula menulis skrip pada tahun 2009 … persamaan yang ditunjukkan adalah kebetulan dan tidak ada unsur tiru dari mana-mana pihak,” katanya.

Adakah Ada Squid Game 2?

Ramai orang beranggapan akan ada musim kedua drama ini. Bagaimanapun, peminat mungkin perlu menunggu lama untuk hal itu menjadi realiti.

Ini kerana pengarah Hwang mengaku ia bukannya sesuatu yang mudah.

“Saya belum mempunyai rancangan yang rapi untuk Squid Game 2,” katanya kepada Variety. “Ianya cukup memenatkan hanya memikirkan tentangnya.”

Show More

Related Articles

Back to top button