MalaysiaPolitik

Isu Judi 4D: Adakah Kerjasama Parti Kerajaan Akan Tergugat?

Ketidakpuasan hati PAS berhubung peningkatan jumlah “cabutan khas” nombor ekor judi 4D boleh menjadi petanda tercetusnya masalah dalam pentadbiran kerajaan dan mengundang keretakan dalam parti itu sendiri, kata penganalisis.

 

Mengapa Isu Judi 4D Ini Timbul?

Baru-baru ini Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa syarikat nombor ramalan diberikan kebenaran untuk membuat 22 cabutan khas setahun selain cabutan tiga kali seminggu yang menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pemimpin PAS seperti Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

Ketika Pakatan Harapan (PH) masih berkuasa, jumlah cabutan itu dikurangkan kepada lapan kali setahun tetapi ia ditambah kepada 22 cabutan selepas gabungan itu tidak lagi memerintah.

 

Adakah Isu Judi 4D Ini Akan Menyebabkan Perpecahan MN?

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura memberitahu FMT walaupun kerajaan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan pembangkang, PAS juga menggunakan “kelebihan” itu untuk “membatalkan” pakatannya dengan Umno.

“Jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat memuaskan hati PAS yang hanya menunggu masa untuk berpecah, parti itu boleh membawa haluannya sendiri dan menamatkan Muafakat Nasional (MN),” katanya.

“Ini akan menjadi masalah kerana jika PAS meletakkan calon di kawasan Parlimen majoriti Melayu seperti dilakukan Umno dalam pilihan raya umum akan datang, kita akan lihat keadaan yang berlaku pada 2018 berulang semula apabila mereka memecahkan undi dan calon Pakatan Harapan (PH) boleh memberi tentangan kepada mereka.”

 

Mampukah Perdana Menteri Ismail Sabri Memuaskan Hati Semua Pihak?

Oh berkata, peningkatan jumlah cabutan itu boleh menjadi contoh bahawa Ismail cuba “memuaskan hati ramai orang dan kelompok berbeza pada satu-satu masa” dan ia boleh menjadi taktik untuk menarik pengundi bukan Melayu dengan mengorbankan sokongan penyokong PAS.

“Memetik kata-kata Abraham Lincoln, anda boleh memuaskan hati beberapa orang setiap masa, anda juga boleh memuaskan hati semua orang pada satu-satu masa, tetapi anda tidak boleh memuaskan hati semua orang pada setiap masa.”

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, ketegangan dilihat berlaku antara “backbencher” idealis PAS yang menentang peningkatan jumlah cabutan dan “anggota Jemaah Menteri yang realistik” yang memahami kerjasama dalam kerajaan.

“Keretakan boleh timbul seperti yang berlaku pada 2015 antara ulama dan profesional yang akhirnya melahirkan Amanah,” katanya.

“Untuk mengelakkan sejarah berulang, saya percaya penting untuk ahli strategi parti membuat rangka tindakan dalaman yang menggariskan terma, syarat dan prinsip penglibatan dalam kerajaan yang mungkin tidak berkongsi ideologi agama yang sama.”

Show More

Related Articles

Back to top button