AntarabangsaIsu Semasa

Dewan AS lulus AS$1 Bilion Untuk Sistem Pertahanan Israel

Ahli Parlimen Amerika Syarikat (AS) semalam mengundi untuk meluluskan dana AS$1 bilion (RM4.18 bilion) bagi terus membiayai sistem pertahanan peluru berpandu Israel, Iron Dome.

Sebelum ini, peruntukan dana itu dikeluarkan daripada satu rang undang-undang berasingan, susulan bantahan daripada kumpulan berhaluan kiri dalam parti Demokrat.

Tindakan kumpulan progresif itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan ahli lain dalam kedua-dua parti Demokrat dan Republikan yang menyifatkan Israel sebagai antara sekutu AS yang paling penting.

 

Kelulusan Untuk Keselamatan Israel?

Kedua-dua Ahli Kongres wanita Muslim yang pertama di AS, Rashida Tlaib serta Ilhan Omar, turut menyuarakan bantahan terhadap pendanaan itu melalui ciapan mereka, dengan menekankan tindakan Israel melanggar hak asasi manusia rakyat Palestin dan memperluaskan penempatan haram.

Namun, peruntukan dana itu diluluskan oleh Dewan Perwakilan dengan keputusan undi 420 menyokong berbanding sembilan menentang.

“Kelulusan rang undang-undang ini mencerminkan perpaduan kukuh dalam Kongres… untuk keselamatan Israel.

“Bantuan kepada Israel adalah sangat penting. Ini kerana keselamatan Israel amat mustahak untuk keselamatan AS,” kata Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi, dalam ucapannya.

 

Iron Dome AS Untuk Israel

Pegawai Israel dilaporkan mendakwa, Iron Dome telah memusnahkan ribuan peluru berpandu serta roket jarak dekat yang dilancarkan dari Gaza oleh pejuang Hamas.

Menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres, Iron Dome mendapat sokongan AS sejak dilancarkan kira-kira sedekad lalu membabitkan dana AS$1.6 bilion.

Sementara itu Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua parti Demokrat dan Republikan atas komitmen mereka terhadap keselamatan Israel, serta ‘tali persahabatan teguh’ yang dihulurkan oleh rakyat Amerika.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, kemudian dalam perbualan telefon dengan rakan sejawat di Israel, Benny Gantz, telah membincangkan ‘perkembangan serantau termasuk keperluan untuk menghentikan program nuklear Iran daripada terus maju,’ menurut Pentagon dalam satu kenyataan.

“Gantz turut mengucapkan terima kasih kepada Austin atas sokongan berterusan pentadbiran Amerika dan Pentagon dalam proses melengkapi Israel untuk mempertahankan diri serta rakyatnya,” kata Pentagon lagi. 

Show More

Related Articles

Back to top button