Bisnes & Ekonomi

El Salvador Jadi Negara Pertama Terima Mata Wang Bitcoin

El Salvador mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama di dunia menerima bitcoin sebagai mata wang yang sah dalam semua urusan perniagaan dan perkhidmatan mulai minggu lalu.

 

Menjimatkan Wang Kiriman Ke El Salvador

Menurut kerajaan pimpinan Presiden negara itu, Nayib Bukele, langkah itu akan membolehkan penduduknya mengakses perkhidmatan bank untuk pertama kali dan dapat menjimatkan kira-kira AS$400 juta (RM1.6 bilion) dalam bentuk yuran kiriman wang ke El Salvador.

Minggu lalu, beliau mengumumkan negara itu telah membeli 400 bitcoin iaitu satu tindakan yang pertama kali dibuat oleh kerajaan manakala baki 200 bitcoin lagi akan tiba tidak lama lagi.

Menurut aplikasi pertukaran wang kripto, 400 bitcoin itu bernilai kira-kira AS$21 juta (RM87 juta).

 

Majoriti Penduduk El Salvador Sebenarnya Menolak

Pada Jun lalu, Parlimen negara itu meluluskan rang undang-undang bagi membenarkan wang kripto diterima sebagai mata wang sah untuk semua perkhidmatan dan barangan.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat menunjukkan majoriti daripada 6.5 juta penduduk negara tersebut menolak idea penggunaan bitcoin dan akan terus menggunakan wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Menurut seorang penduduk, Jose Santos Melara, mata wang bitcoin tidak pernah wujud dan ia tidak akan memanfaatkan golongan miskin tetapi hanya menguntungkan mereka yang sudah kaya.

 

Mesin Pengeluaran Wang Bitcoin Sedang Dipasang

Dalam pada itu, kerajaan sedang memasang mesin pengeluaran wang bitcoin yang sebahagiannya dikawal oleh askar-askar bagi mengelak para penentang membakar mesin tersebut.

Bitcoin adalah salah satu mata wang kripto yang lahir secara digital. Transaksi bitcoin dijalankan menerusi kod dan tidak dikawal oleh mana-mana negara serta nilainya ditentukan oleh masyarakat.

Dalam pada itu, pakar menyatakan kebimbangan mengenai turun naik wang kripto yang terkenal dengan sifatnya yang kurang memberi perlindungan kepada pengguna.

Untuk tujuan tersebut juga pihak kerajaan telah memasang lebih 200 mesin juruwang bitcoin dan ada daripadanya dikawal pihak tentera bagi mengelak kemungkinan pembakaran pihak yang membantah.

 

Keputusan Tanpa Perundingan Apa Yang Akan Terjadi?

Pengarah Institut Pendapat Umum, Central American University, Laura Andrade berkata, keputusan menggubal undang-undang yang diambil pemerintah itu dilakukan tanpa perundingan terlebih dahulu.

“Hasil tinjauan pendapat yang kami lakukan, hampir 70 peratus rakyat El Salvador menentang langkah tersebut.

“Kami melihat bahawa pelaksanaan penggunaan bitcoin tidak memberi kesan positif untuk mengubah keadaan hidup mereka dengan ketara,” jelasnya.

Hampir dua pertiga rakyat negara itu yang diajukan soalan mengatakan bahawa mereka tidak berminat untuk memuat turun dompet elektronik ‘Chivo’ yang membolehkan pengguna membeli barangan dengan menggunakan bitcoin. Chivo merupakan dompet digital rasmi El Salvador.

Show More

Related Articles

Back to top button