AntarabangsaIsu Semasa

Sudu Jadi Simbol Penentangan Terbaru di Palestin. Kenapa?

Selain bendera dan sepanduk, sudu turut menjadi simbolik demonstrasi perjuangan rakyat Palestin selepas ada tahanan berjaya meloloskan diri daripada penjara Israel dengan perkakas itu.

 

Sudu Ajaib Tahanan Palestin

Ketika enam tahanan Palestin melarikan diri melalui terowong pada 6 September dari Penjara Gilboa dengan keselamatan tinggi, rangkaian sosial memuat naik gambar terowong di kaki sinki dan lubang yang digali di luar dengan tanda pagar ‘sudu ajaib’.

Persoalan sama ada perkakas itu digunakan untuk meloloskan diri atau sebaliknya masih tidak jelas.

Rabu lalu, peguam bela seorang daripada tahanan yang telah ditangkap semula memberitahu AFP, anak guamnya, Mahmud Abdullah Ardah mengakui menggunakan sudu, piring dan juga pemegang cerek untuk menggali terowong dari sel tahanan.

 

Cerita Sudu Oleh Tahanan Palestin Yang Ditangkap Semula

Mahmud adalah salah seorang daripada empat tahanan Palestin yang ditangkap semula.

Keenam-enam mereka dituduh merancang atau melakukan serangan terhadap warga Israel. Ketika ini, rejim zionis masih memburu dua lagi tahanan yang masih bebas.

Israel telah memulakan inkuiri bagi menyiasat insiden memalukan itu, yang dilihat oleh rakyat Palestin sebagai ‘kemenangan’.

“Dengan berbekalkan tekad, waspada dan sudu, ia tidak mustahil untuk menggali terowong di mana orang Palestin melarikan diri dan musuh dipenjarakan,” kata penulis Sari Orabi di laman web Arabi 21.

 

Komedi Gelap “Sudu” Tanda Kelemahan Sistem Keselamatan Israel

Kartunis Palestin, Mohammed Sabaaneh mengatakan pelarian itu telah menimbulkan “komedi gelap” dan mendedahkan sistem keselamatan Israel yang lemah. Dia telah menghasilkan beberapa lukisan menggunakan sudu, termasuk yang berjudul “Terowong Kebebasan”.

Isu ini juga menimbulkan kekaguman di luar wilayah Palestin, di mana sudu telah dibawa dalam demonstrasi yang menyokong tahanan yang ditahan oleh Israel.

Di Kuwait, seniman Maitham Abdal mengukir tangan raksasa menggenggam sudu yang tertera “sudu kebebasan”. Pereka grafik yang berpangkalan di Amman Raed al-Qatnani pula secara simbolik menggambarkan enam siluet yang berjalan di atas jambatan menuju kebebasan, yang diwakili oleh sudu.

 

Tahanan Palestin Sebelum Ini Pernah Melarikan Diri Juga

Di Tulkarem, sebuah kota di Tebing Barat yang diduduki sejak 1967 oleh Israel, pelarian itu membawa kembali kenangan Encik Ghassan Mahdawi. Dia dan seorang banduan lain melarikan diri dari penjara Israel pada tahun 1996 melalui terowong yang digali menggunakan paku.

Dia telah ditangkap kerana tergolong dalam kumpulan bersenjata semasa intifada Palestin pertama, yang berlangsung hingga awal 1990-an.

“Tidak ada apa-apa yang tidak dapat dilakukan oleh tahana … dan selalu ada kekurangan dalam sistem ini,” kata Encik Mahdawi, yang ditangkap semula dan kemudian dibebaskan setelah 19 tahun ditahan.

Pada pandangannya, pelarian terbaru itu mungkin menggunakan alatan lain selain sudu, yang diperoleh di dalam penjara untuk melaksanakan apa yang diimpikan oleh setiap tahanan.

“Melarikan diri dari penjara Israel adalah sesuatu yang difikirkan oleh setiap tahanan. Untuk melakukannya dengan sudu adalah sesuatu yang bersejarah,” kata Encik Mahdawi.

Show More

Related Articles

Back to top button