AntarabangsaIsu Semasa

Rakyat Indonesia Pilih Kaedah Alternatif Untuk Cegah COVID-19

Ramai penduduk Indonesia dilaporkan mula beralih kepada kaedah alternatif untuk mengelakkan daripada dijangkiti wabak Covid-19.

Daripada susu steril hingga ke kelapa muda, penduduk terus membeli stok bekalan minuman, makanan dan rempah ketika kes Covid-19 meningkat secara mendadak di negara tersebut.

Beberapa mesej yang mendakwa kaedah itu amat berkesan dalam mencegah dan merawat Covid-19 tular di laman media sosial sehingga mengakibatkan permintaan dan harga melambung tinggi bagi
makanan tersebut.

Bagaimanapun, beberapa pakar menyuarakan kebimbangan mengenai kesan sampingan akan dialami selepas pengambilan makanan dan minuman secara berlebihan.

 

Permintaan Susu Steril Meningkat

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa video yang memaparkan orang Indonesia mengingatkan satu sama lain untuk menyimpan susu lembu jenama tertentu menjadi tular.

Fenomena itu muncul akibat dari maklumat yang belum disahkan bahawa jenama susu steril dapat meningkatkan antibodi yang seterusnya akan mencegah jangkitan COVID-19.

Dengan lonjakan permintaan yang mendadak, beberapa penjual dikatakan telah menaikkan harga hingga lima kali ganda.

“Sukar untuk mendapatkan susu (jenama tertentu) akhir-akhir ini, itulah sebabnya saya cuba membeli setiap kali berpeluang,” kata suri rumah Merry Sihombing kepada CNA.

“Saya diberitahu bahawa susu itu baik untuk badan. Saya tidak begitu yakin bahawa ia akan menghentikan keluarga saya daripada dijangkiti COVID-19 tetapi tidak ada salahnya mengambil langkah berjaga-jaga. “

Pada masa ini, harga runcit susu telah mencapai sekitar 12,000 rupiah setiap tin. Sebelum ini, ia dijual dengan harga sekitar 9,000 rupiah.

Hal yang sama berlaku dengan kelapa muda di mana sejak minggu lalu, orang ramai mula membelinya secara pukal.

 

Apa Yang Mendorong Tingkah Laku Sedemikian?

Dr Hermawan Saputra dari Persatuan Pakar Kesihatan Awam Indonesia (IAKMI) mengatakan orang semakin terdesak untuk melindungi diri mereka sendiri.

“Wabak ini telah berleluasa selama satu tahun setengah dan orang melihat kes COVID-19 melonjak di luar kawalan. Sistem penjagaan kesihatan sesak dan tidak ada tanda pandemik akan berakhir,” kata penasihat IAKMI kepada CNA.

“Pada tahap ini, semakin banyak orang merasa mereka perlu melindungi diri dan keluarga mereka. Malangnya bagi sesetengah orang, ini bermakna mereka akan mempercayai apa sahaja. “

Dr Pandu Riono, seorang ahli epidemiologi dari Universitas Indonesia mengatakan walaupun barang-barang ini memang mempunyai nilai pemakanan, barang itu mudah diganti dengan makanan lain.

“Tiada guna untuk menyimpannya dalam kuantiti yang banyak. Cara terbaik untuk melindungi diri daripada terjangkit COVID-19 adalah mematuhi protokol kesihatan, memakai pelitup muka, mengelakkan tempat sesak dan mencuci tangan dengan kerap,” katanya kepada CNA.

 

Kes Kematian                                                                      

Sementara itu, Al Jazeera melaporkan Indonesia mengambil alih kedudukan India dengan merekodkan jangkitan harian Covid-19 tertinggi pada bulan ini.

Malah, negara itu juga mengatasi Brazil dengan mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi akibat Covid-19.

Setakat ini, jumlah kematian Covid-19 di Indonesia mencecah lebih 73,000 kes. Semalam, Indonesia melaporkan sebanyak 1,338 kes kematian Covid-19 yang merupakan jumlah harian tertinggi setakat ini.

Bagaimanapun beberapa pakar berpandangan angka itu mungkin tidak merangkumi bilangan sebenar memandangkan ujian saringan Covid-19 masih berada pada tahap yang rendah.

Seorang pengasas bersama Lapor Covid-19, Ahmad Arif berkata, kajian dilakukan oleh pertubuhan itu menunjukkan jumlah kematian sebenar adalah tiga hingga lima kali ganda berbanding angka dikeluarkan oleh kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button