Gaya HidupKesihatan

Ivermectin: Antara Penipuan Kajian Keberkesanan & Konspirasi Ubat..

Penggunaan ubat Ivermectin masih menjadi perdebatan dan topik hangat untuk bantu mengubati COVID-19. Minggu lalu TheGuardian menulis laporan bahawa penyelidikan terbesar yang menyokong penggunaan Ivermectin ini telah ditarik balik akibat kebimbangan etika.

Namun pada masa yang sama, laporan daripada banyak negara telah menunjukkan kejayaan menggunakan Ivermectin dalam program mencegah dan merawat COVID-19.

Menurut sebuah artikel diterbitkan di NST, Peru, Paraguay, sebahagian besar kawasan di India dan Macedonia menggunakan rawatan ini kerana negara membangun tidak berjaya mendapatkan jumlah vaksin yang secukupnya berbanding negara maju.

Pada tahun lalu, senarai negara yang menggunakan Ivermectin untuk pencegahan dan rawatan virus telah berkembang termasuk Republik Czech, Bolivia, Honduras, Slovakia, Afrika Selatan, dan Zimbabwe, antara lain. Serta baru-baru negara jiran kita Indonesia juga memperlihatkan pengiktirafan penggunaan Ivermectin ketika negara tersebut mengharungi lonjakan kes harian COVID-19.

 

Latar Belakang Ringkas Ubat Ivermectin

Ivermectin yang dilihat sebagai ubat alternatif yang murah dan kurang berisiko inilah jawapan terdekat untuk menyelesaikan masalah di negara-negara ini.

Ivermectin bukanlah ubat yang baharu. Ianya telah ditemukan 40 tahun yang lalu sebagai ubat anti-parasit yang efektif dengan rekod penggunaan yang selamat.

Ia ditemukan semula oleh Dr Satoshi Omura yang telah memenangi Hadiah Nobel pada tahun 2015 melalui kajian berkaitan Ivermectin.

 

Ivermectin Merupakan Ubat Yang Selamat Untuk Diambil?

Pada Februari 2021, British Ivermectin Recommendation Development (BIRD) telah mengadakan mesyuarat bersama doktor pakar, pengkaji, ahli perubatan dan pesakit untuk mencapai cadangan konsensus bahawa ivermectin merupakan ubat oral yang selamat dan boleh didapati secara meluas serta segera digunakan lebih awal dan global.

Panggilan ini bagaimanapun bergantung juga pada tuntutan pelbagai kajian yang didokumentasikan dengan baik yang melaporkan bahawa penggunaan Ivermectin mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 lebih dari 90 peratus dan kematian sebanyak 68 hingga 91 peratus.

Akan tetapi perkara laporan TheGuardian yang berkongsi mengapa salah satu kajian terbesar yang menyokong Ivermectin ini terpaksa ditarik balik telah mencuri tumpuan juga.

 

Kajian Yang Menunjukkan Ivermectin Menyelamatkan Pesakit COVID-19 Ditarik Balik?

Kajian yang diketuai oleh Dr Ahmed Elgazzar dari Universiti Benha, Mesir yang diterbitkan di laman Research Square pada November lalu dikatakan telah ditarik balik kerana perkara berkaitan etika.

Menurut TheGuardian, seorang pelajar perubatan di London, Jack Lawrence merupakan antara orang pertama untuk menemukan beberapa perkara yang harus dipertimbangkan semula berkaitan artikel yang ditulis Elgazzar.

Lawrence yang mendapatkan penulisan Elgazzar setelah diberi tugasan sebagai sebahagian daripada pengajian Sarjananya telah mendapati bahagian pendahuluan artikel penulisan Elgazzar telah pun diplagiat.

Penulis tersebut didapati telah mengambil keseluruhan perenggan daripada sebuah penerbitan media dan laman web tentang Ivermection dan COVID-19 melalui thesaurus untuk mengubah kata kunci.

“Ia telah membuatnya menukarkan istilah ‘severe acute respiratory syndrome’ menjadi ‘extreme intense respiratory syndrome’,”kata Lawrence.

 

Data Kajian Ivermectin Ke Atas Pesakit COVID-19 Mencurigakan?

Lawrence juga telah mendapati data yang diberi mencurigakan kerana data mentahnya bertentangan dengan protokol kajian pada beberapa kejadian.

“Penulis tersebut telah mendakwa menjalankan kajian ke atas pesakit berusia 18-80 tahun tetapi sekurang-kurangnya tiga pesakit dalam dataset tersebut di bawah usia 18 tahun,” kata Lawrence.

“Penulis juga mendakwa mereka melakukan kajian tersebut di antara 8 Jun sehingga 20 September 2020, namun berdasarkan data mentah, kebanyakan pesakit telah pun meninggal dunia sebelum 8 Jun. Format data tersebut sangat teruk kerana terdapat 1 pesakit yang ditulis telah meninggalkan hospital pada tarikh yang tidak wujud iaitu 31/06/2020.”

Terdapat juga beberapa perkara lain yang menjadi persoalan. Antaranya lain ialah dalam kumpulan rawatan Ivermectin, penulis berkata hanya dua pesakit meninggal dunia tetapi dalam data mentah, terdapat empat orang yang meninggal.”

Nick Brown, yang bekerja dengan Linnaeus University di Sweden sebagai penganalisis data berkata kesalahan utama artikel kajian tersebut ialah sekurang-kurangnya 79 rekod pesakit merupakan klon kepada rekod yang lain.

“Oleh sebab kajian Elgazzar ini sangat luas dan sangat positif dengan menunjukkan penurunan 90% kematian, ia telah mematikan bukti untuk memihak kepada penggunaan Ivermectin,” kata Meyerowitz-Katz.

Mengapa Terdapat Pakar Yang Masih Menyokong Ubat Ini?

Menurut penulis rektor Universiti Islam Antarbangsa Malaysia, Prof. Tan Sri Dzulkifli bin Abdul Razak dalam penulisannya yang diterbitkan di NST, semakin banyak kumpulan pakar dari pelbagai belahan dunia menyokong penggunaan Ivermectin.

Namun, mereka dituduh “dipaksa untuk mengungkapkan secara terbuka apa yang kami yakini hanya dapat digambarkan sebagai kempen ‘disinformasi’ yang dilakukan secara mengejutkan dengan kerjasama penuh pihak berkuasa yang misinya adalah untuk menjaga integriti penyelidikan saintifik dan melindungi kesihatan awam.”

 

Percubaan Untuk Menggagalkan Penggunaan Ivermectin?

Banyak contoh taktik maklumat di atas oleh syarikat dan pembuat dasar disebutkan, terutama dalam industri farmaseutikal.

Beberapa contoh seperti: FDA menyiarkan notis yang menyatakan bahaya Ivermectin dan menentang penggunaan Ivermectin; walaupun belum meneliti data percubaan, Panel WHO mengelak daripada membawa bukti Ivermectin; banyak kebimbangan Big Pharma bahawa potensi Ivermectin sebagai alternatif vaksin dapat meningkatkan keraguan vaksin dan mengganggu peluncuran vaksinasi massal.

Akan tetapi sebuah penulisan 15 mukasurat bertajuk “The Drug That Cracked Covid” oleh Michael Capuzzo, seorang penulis dengan jualan tertinggi New York Times dan pencalonan enam kali hadiah wartawan Pulitzer telah memaparkan kesukaran yang dihadapi oleh doktor barisan hadapan di pelbagai benua untuk mendapatkan Ivermectin diluluskan sebagai ubat Covid-19.

Menurut Capuzzo, terdapat “ratusan ribu yang sebenarnya jutaan orang di seluruh dunia dari Uttar Pradesh di India hingga ke Peru dan Brazil, yang hidup dan tidak nazak.”

 

Betul Atau Tidak Ivermectin Ini Menyelamatkan?

Media tidak melakukan banyak laporan untuk menidakkan tanggapan negatif terhadap Ivermectin sebagai rawatan berkesan, mudah diakses dan pada harga berpatutan untuk Covid-19.

Bagi Tan Sri Dzulkifli, mereka hanya mengemukakan kenyataan bahawa pihak berkuasa kesihatan seluruh negara tidak memiliki bukti yang cukup untuk membenarkan penggunaannya.

Namun, Capuzzo, sebagai seorang wartawan, “melihat dengan mata kepalanya sendiri sisi lain” dari kisah itu “yang tidak dilaporkan, bahawa banyak pesakit di AS yang nyawanya telah diselamatkan oleh Ivermectin. “Saya sangat berharap dunia dapat melihat kedua-dua belah pihak,” keluh Capuzzo.

Seruan untuk mendapatkan persetujuan Ivermectin di setiap negara di dunia semakin kuat. Bagaimanapun, sejak penemuannya, sekitar 4 bilion dos Ivermectin telah diberikan di seluruh dunia. Dan ia diterima dalam Senarai Ubat Penting Model WHO.

Oleh itu, 24 Julai 2021, telah diumumkan sebagai hari untuk “merayakan” Ivermectin. Boleh dikatakan, ubat itu membawa manfaat yang tidak terhingga kepada manusia.

 

Ivermectin Di Malaysia

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu pada bulan Jun yang lalu.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, yang mana pesakit perlu dipantau dengan teliti oleh doktor pakar dan penyelidik berpengalaman untuk menjamin keselamatan serta keberkesanan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, katanya, ujian klinikal perlu diteruskan dengan teliti bagi mengenal pasti peranan Ivermectin dalam merawat COVID-19.

 

Kajian Dijalankan di Ipoh

Beliau berkata, KKM dan ICR memulakan ujian Keberkesanan Rawatan Ivermectin ke atas Pesakit COVID-19 Berisiko Tinggi (Kajian I-TECH) yang diketuai pakar Penyakit Berjangkit Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dengan dibantu sepasukan pakar dan penyelidik Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) di 12 hospital di bawah KKM.

Dr Noor Hisham berkata, ujian itu diluluskan oleh Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan pada 25 Mei yang menyaksikan perbandingan antara rawatan Ivermectin (dos tertentu dengan tempoh tertentu) dengan rawatan standard semata-mata.

Beliau berkata, kajian itu akan membabitkan 500 subjek daripada kumpulan berisiko tinggi berusia 50 tahun dan ke atas yang dimasukkan ke hospital KKM dengan gejala ringan atau sederhana COVID-19 (kategori dua hingga tiga).

 

Ujian Klinikal Malaysia Dijangka Berakhir Bulan September

“Kajian itu bertujuan menentukan keberkesanan Ivermectin dalam mencegah COVID-19 daripada menjadi lebih serius (kategori empat dan lima) dan mengurangkan kematian.

“ICR menubuhkan Lembaga Pemantauan Data (DMB) merangkumi doktor biasa yang bebas, ahli farmasi ujian klinikal serta pakar metodologi.

“Ia bertujuan melindungi pesakit yang diuji dari segi keselamatan dan keberkesanan produk penyelidikan seperti ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Beliau berkata, kajian itu dimulakan pada 31 Mei lalu dan setakat ini lapan pesakit telah didaftar dalam ujian klinikal berkenaan yang dijangka selesai menjelang September depan.

Oleh itu sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab, marilah menyokong usaha kerajaan dalam vaksinasi dan membantu dalam menurunkan kadar jangkitan COVID-19. Jangan berbalah dan berdebat kerana semuanya dilakukan untuk kebaikan kita sendiri.

Sentiasa patuhi SOP dan bersama kita doa untuk kesejahteraan masyarakat dan negara. Semoga ada penyelesaian dan kata putus yang berani, tepat dan cepat untuk kita berjaya mengatasi masalah ini.

Show More

Related Articles

Back to top button