BudayaGaya Hidup

Adakah Covid-19 Akan Mengubah Sambutan Perayaan Kebudayaan Kita?

Gelombang jangkitan Covid-19 semasa di Asia meningkat dengan sambutan festival budaya yang besar. Walaupun kesalahan itu bukan terletak pada festival itu sendiri, potensi penyebaran jangkitan Covid-19 berlaku setelah himpunan secara beramai-ramai sewaktu perayaan kebudayaan.

 

Perayaan Kebudayaan & Covid-19

Seperti di India, jumlah jangkitan meningkat bukan sahaja setelah demonstrasi pilihan raya tetapi juga selepas sambutan festival Kumbh Mela. Ini menyebabkan kehilangan nyawa yang tragis kerana kekurangan infrastruktur perubatan.

Di Asia Tenggara sahaja, beberapa persamaan dilihat di antara perayaan budaya yang berlaku pada bulan April 2021.

Ramadan, yang berlangsung selama sebulan dan memuncak dengan Hari Raya Aidilfitri, adalah peristiwa penting kerana Islam adalah agama yang paling meluas di rantau ini, merangkumi lebih dari 40% dari semua orang Asia Tenggara.

 

Berlaku Di Seluruh Asia Tenggara

Pada skala yang lebih kecil tetapi signifikan di antara negara-negara Indochina, perayaan tahun baharu adalah festival penting lain yang telah dirayakan dalam pelbagai bentuk. Ini termasuk Songkran (Thailand), Pi Mai (Laos), Thingyan (Myanmar) dan juga Choul Chnam Thmey (Kemboja).

Setiap perayaan ini disambut dalam jangka masa sebelum gelombang jangkitan Covid-19 terbaru di negara masing-masing. Sejak Mei 2021 dan seterusnya, negara-negara seperti Thailand dan Malaysia mengalami wabak terburuk sejak virus itu bermula. Kemboja, Laos dan Myanmar juga mengalami lonjakan, walaupun relatif lebih kecil dari segi jumlah sebenarnya.

Lebih membimbangkan, wabak ini tetap muncul walaupun terdapat pelbagai sekatan yang dilaksanakan.

 

Ramai Yang Masih Mahu Meraikan Perayaan Kebudayaan Walaupun Dalam Pandemik

Walaupun sebahagian daripada sebab gelombang jangkitan terletak pada kemunculan varian baru Covid-19 dan kadar vaksinasi yang perlahan di seluruh Asia Tenggara, sambutan perayaan juga turut menjadi faktor.

Perayaan ini dianggap penting kerana ia membezakan kehidupan seharian dan hari istimewa yang tidak boleh untuk tidak disambut. Oleh itu, penting untuk menyedari bahawa perayaan merupakan ujian nyata bagi pembuat dasar dalam pandemik.

Kerajaan sering mengalami dilema dalam menguruskan perayaan ketika pandemik kerana terdapat risiko reaksi masyarakat jika tidak diuruskan dengan baik. Pada masa yang sama, masyarakat yang sudah lama mengalami kelesuan pandemik, menunggu ketibaan hari festival  untuk merasai keistimewaan perayaan itu.

 

Adakah Kita Masih Boleh Raikan Perayaan Kebudayaan Selepas Ini?

Contohnya dapat dilihat dalam kes Thailand, di mana sambutan malam pra-Songkran Bangkok di kalangan penduduk tempatan berperanan mencetuskan gelombang jangkitan terbaru dan paling mematikan di negara itu. Di Malaysia, keizinan pembukaan bazar dalam bulan Ramadan yang lalu turut menyebabkan kes tidak berkurang.

Oleh itu, kita menghadapi dilema dalam memerangi wabak ini. Sejauh mana kita harus menyambut perayaan, yang merupakan sebahagian besar dari identiti dan kehidupan kita? Adakah kita perlu membatalkan Tahun Baru berikutnya? Atau Songkran atau Deepavali seterusnya?

Mungkin sebahagian daripada jawapan terletak pada penerimaan bahawa kita harus belajar hidup bersama Covid-19. Tidak akan ada hasil mutlak dari pilihan kita: hanya pilihan yang lebih baik atau lebih buruk.

Oleh itu, mungkin lebih bijak untuk meninggalkan sebahagian daripada budaya kehidupan sebelum wabak jika mahu hidup selepas wabak. Dan kerajaan perlu sedar bahawa m emerangi wabak melalui sekatan, kuarantin, jarak sosial dan vaksin adalah strategi yang diperlukan untuk membendung, atau setidaknya memperlambat kadar jangkitan di semua negara yang terkesan. Namun, apa yang paling sukar diatasi mungkin bukan koronavirus tetapi sifat semula jadi manusia itu sendiri.

Show More

Related Articles

Back to top button