AntarabangsaIsu Semasa

China Bina Lebih 100 Gudang Simpan Peluru Berpandu

China dilaporkan mula membina lebih 100 ‘silo’ atau gudang simpan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) di kawasan gurun berhampiran barat laut bandar Yumen.

 

Gudang Simpan Peluru Berpandu China Dilihat Melalui Imej Satelit Komersial

Kumpulan penyelidik bagi Program Pencegahan Senjata Nuklear Asia Timur di James Martin Center mengesahkannya selepas meneliti sejumlah imej satelit komersial.

Ketua penyelidik, Jeffrey Lewis berkata jika kesemua gudang yang dilihat dalam imej satelit itu benar, maka secara keseluruhan China akan membina sebanyak 145 gudang simpanan peluru berpandu.

“Kami percaya China giat mengembangkan kekuatan senjata nuklearnya sebagai persiapan menghadapi sebarang ancaman termasuk serangan dari Amerika Syarikat (AS).

“Kesemuanya dibina untuk tujuan menyimpan ICBM keluaran China yang dinamakan sebagai DF-41 dan mampu terbang sejauh 14,967 kilometer (km), sekali gus mampu menyerang AS,” katanya.

 

Tapak Gudang Simpan Peluru Berpandu China Disembunyikan

Dalam pada itu, tapak pembinaannya, dilihat berdasarkan imej satelit, dikelompokkan dalam dua jalur besar meliputi bahagian barat dan barat daya gurun di Yumen.

Setiap tapak berjarak kira-kira 3.22 km dengan sebahagian besarnya ‘disembunyikan’ menggunakan penutup berbentuk kubah besar.

Kaedah sama juga dilaporkan digunakan di beberapa tapak pembinaan gudang penyimpanan peluru berpandu lain di seluruh China.

Lapor The Washington Post, imej satelit itu menunjukkan sekurang-kurangnya 119 tapak pembinaan yang hampir sama dengan kemudahan tapak pelancaran peluru berpandu balistik China.

 

Gudang Simpan Peluru Berpandu China Tersebut Palsu Atau Benar?

Negara itu dipercayai menghasilkan stok senjata nuklear pada kadar yang lebih kecil iaitu antara 250 hingga 350 peluru berpandu berbanding AS dan Russia, yang didakwa mempunyai lebih 11,000 senjata nuklear.

Pembinaan gudang baharu itu secara tidak langsung menunjukkan China komited untuk meningkatkan penghasilan senjata nuklearnya.

Namun, China diketahui sebelum ini pernah membina ‘silo palsu’, salah satu taktik yang pernah digunakan oleh AS ketika Perang Dingin untuk memindahkan ICBM bagi mengelirukan tentera Soviet (Russia).

 

China Tidak Pernah Berniat Bersaing Dengan AS?

Pegawai perisik AS di Pentagon sebelum ini sudah memberi amaran tentang peningkatan keupayaan senjata nuklear tentera China.

Antara yang dipertingkatkan termasuk penghasilan ICBM dan pelancar peluru berpandu mudah alih serta usaha menyembunyikannya daripada dikesan satelit.

Selain itu, China juga semakin agresif memperkenalkan kapal selam dilengkapi senjata nuklear baharu yang lebih canggih.

China tidak berniat untuk menandingi jumlah senjata nuklear yang dihasilkan oleh AS, namun negara itu komited mempertingkatkan keupayaan senjatanya sebagai persediaan berdepan dengan sebarang ancaman.

Sebelum ini, China pernah menzahirkan kebimbangan mengenai kredibiliti mereka dalam mempertingkatkan keupayaan senjata nuklear, menyebabkan negara itu ketinggalan berbanding AS dan Russia.

Show More

Related Articles

Back to top button