AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia & Amerika Bakal Membina Pusat Maritim Bersama

Indonesia dan Amerika Syarikat telah melakukan perasmian pecah tanah untuk membina sebuah pusat latihan di Batam, kepulauan Riau – sebuah kawasan strategik dalam memastikan keselamatan laut Indonesia.

 

Usahasama Indonesia-Amerika Syarikat Untuk Menjamin Keselamatan Serantau

Sewaktu sidang maya bersama duta Amerika Syarikat ke Indonesia. Sumber Imej: Gurindam.id

Menghadiri acara perasmian tersebut secara maya pada hari Jumaat yang lalu ialah duta Amerika Syarikat ke Indonesia, Sung Kim.

Beliau berkata pusat maritim tersebut akan menjadi usaha bersama berterusan di antara dua negara untuk memastikan keselamatan rantau terjamin.

“Sebagai rakan dan rakan kongsi dengan Indonesia, Amerika Syarikat kekal komited untuk menyokong Indonesia memainkan peranan penting untuk keamanan serantau serta menjaga keselamatan dengan melawan jenayah domestik serta trans-nasional,” katanya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Bakamla, agensi keselamatan maritim Indonesia.

 

Pusat Latihan Untuk Agensi Keselamatan Maritim Indonesia (Bakamla)

Pusat latihan ini terletak di lokasi strategik di titik pertemuan di selat Melaka dan Laut China Selatan.

Lokasi Pusat Latihan Maritim Indonesia-Amerika Syarikat. Sumber Imej: kompas.com

Ia akan diusahakan oleh Bakamla dengan kemudahan seperti bilik darjah, barak dan tempat pelancaran, kata agensi itu.

Kolaborasi Amerika Syarikat bersama dengan negara kepulauan terbesar di dunia muncul di tengah ketegangan yang meningkat di Laut China Selatan, dengan Filipina memprotes kehadiran ratusan kapal China di kepulauan Spratly pada bulan Mei lalu.

Menurut NikkeiAsia, awal bulan ini menteri-menteri luar negeri Asia Tenggara dan China sepakat dalam pertemuan untuk menahan latihan di Laut China Selatan dan mengelakkan tindakan yang dapat meningkatkan ketegangan.

 

Washington Meningkatkan Kerjasama Untuk Menentang China?

CNBC berkata kolaborasi ini terjadi ketika Washington juga sedang meningkatkan kolaborasi mereka di Laut China Selatan.

Bulan lalu kapal USS Curtis Wilbur memasuki wilayah yang dituntut China di sekitar Kepulauan Paracel.

Anggota maritim Amerika Syarikat berkata pelayaran mereka dijalankan bagi menjamin kebebasan pelayaran antarabangsa.

Namun perkara ini telah mendapat reaksi daripada Beijing.

Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) telah menghantarkan pesawat peronda maritim (MPA) Y-8Q dan juga kapal terbang KJ-500 Airborne Early Warning & Control (AEW&C) di lapangan terbang Fiery Cross Reef di wilayah Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan.

 

Mengapa Laut China Selatan Sering Diceroboh China?

Laut China Selatan merupakan titik panas di kawasan Asia Pasifik setelah China terus meningkatkan tuntutan untuk menjadikan wilayah lautan itu miliknya 90%.

Pertubuhan Maklumat Tenaga Amerika Syarikat menganggarkan bahawa Laut China Selatan menyimpan kira-kira 14 trilion tong gas asli dan 16 hingga 33 bilion tong minyak dalam simpanan terbukti.

Sebilangan besar sumber semula jadi ini terletak di pinggir Laut China Selatan, dan bukannya di bawah pulau ataupun terumbu yang telah lama dipertikaikan.

 

Laut China Selatan Memiliki Sumber Asli Yang Banyak

Majlis Hubungan Luar Negera (CFR) menyatakan bahawa terdapat sekitar 900 trilion kaki kubik gas asli di Laut China Selatan.

Sumber lain dari Projek Keselamatan Amerika menyatakan bahawa simpanan gas di Laut China Selatan mencapai 266 trilion kaki padu dan menyumbang 60% – 70% daripada jumlah simpanan hidrokarbon wilayah itu.

 

Laut China Selatan Kaya Dengan Sumber Laut

Beralih ke komoditi makanan, Laut China Selatan juga menyimpan pelbagai ikan yang tidak ternilai.

Pada tahun 2012, Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli Filipina menyatakan bahawa Laut China Selatan mempunyai sepertiga daripada jumlah kepelbagaian laut dunia yang menyumbang kepada 10% daripada jumlah tangkapan ikan di Bumi.

Beberapa komoditi perikanan laut terdapat di Laut China Selatan (LCS). Antaranya ialah ikan layur, ikan tenggiri, pengikis hitam, ikan bilis, udang, ketam hingga ikan kecil yang lain.

Selain kaya dengan sumber daya alam, LCS juga berada dalam jalur perdagangan strategik yang dilalui kapal tangki minyak untuk mengangkut minyak.

Menurut CFR, 50% daripada jumlah kapal tangki minyak global melalui LCS.

Jumlah kapal tangki minyak yang melalui Laut China Selatan adalah tiga kali lebih banyak daripada Terusan Suez dan lima kali lebih banyak dari Terusan Panama.

Lebih separuh daripada 10 pelabuhan perkapalan terbesar di dunia juga terletak di Laut China Selatan.

Show More

Related Articles

Back to top button