Bisnes & Ekonomi

Durian Premium Malaysia Dapat Sambutan Di China

Variasi premium seperti Sultan dan Musang King, buah matang memiliki reputasi berkualiti dan dicari oleh penggemar yang menganggapnya sebagai ‘durian premium’.

Durian Malaysia menerajui pra-jualan festival buah-buahan dan sayur-sayuran utama di China, sekali gus menunjukkan daya tarikannya yang tinggi.

 

Jualan Durian Mengatasi Jualan Aiskrim

Jualan paling laris dalam 618 JD.com, acara beli-belah kedua terbesar di China selepas Singles’ Day Alibaba, adalah durian Sultan dari Pahang, demikian menurut media tempatan yang memetik data dari e-dagang gergasi itu.

Jualan juga mengatasi aiskrim dan buah pic. Dengan isinya yang lembut berkrim dan bau yang kuat, buah berduri itu semakin popular di China.

Import durian segar meningkat empat kali ganda kepada AS$2.3 bilion tahun lalu daripada 2017, demikian mengikut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia mengatasi ceri untuk menjadi buah import nombor satu negara itu dari segi nilai pada 2019.

 

Durian Malaysia Tetap Menjadi Pilihan China

Walaupun ‘DurioTourism’, iaitu pelancong China mengunjungi ladang Malaysia kini dihentikan berikutan sekatan perjalanan, diplomasi durian masih utuh.

MAPC Sdn Bhd, pembekal durian terbesar di Malaysia yang mengeksport kira-kira 90 peratus buahnya ke China, menubuhkan tujuh pusat untuk mempromosikan variasi Musang King di bandar peringkat kedua dan ketiga China sejak beberapa tahun lalu.

 

Sasaran 50% Penduduk China Merasai Durian Malaysia

Ia akan menambah 15 lagi pusat tahun ini untuk menarik lebih banyak pengguna dengan sampel percuma, kata Pengarah Eksekutifnya yang juga Presiden Persatuan Pengeksport Durian Malaysia, Sam Tan.

“Kurang 10 peratus penduduk China pernah merasai durian Malaysia,” katanya.

Dengan lebih banyak peladang menyertai industri itu, bekalan dijangka berkembang sekurang-kurangnya 50 peratus setahun, kata Tan.

 

Pesaing Malaysia

Tidak seperti peladang Thailand yang memetik durian dari pokok pada usia matang 85 peratus untuk memanjangkan jangka masa penyimpanannya, peladang Malaysia biasanya menunggu buahnya matang dan jatuh ke tanah.

Ini sekaligus mengehadkan durian segar Malaysia dalam pasaran China, yang kini dikuasai Thailand.

Malaysia kebiasaannya mengeksport durian ke China hanya sebagai pulpa dan pes, namun mendapat kelulusan untuk mengeksport buah sejuk beku pada 2019.

 

Durian Premium Malaysia

Variasi premium seperti Sultan dan Musang King, buah matang memiliki reputasi berkualiti dan dicari oleh penggemar yang menganggapnya sebagai ‘durian premium’.

Pasaran China menjadi sangat penting bagi penanam durian, terutama yang berada di zon tengah Semenanjung Malaysia, kata Ahli Ekonomi Serantau Segi Enam Advisors, Khor Yu Leng.

Malaysia kini mungkin menguasai 15 hingga 25 peratus pasaran sejuk beku di China, walaupun buah segar masih menyumbang sekitar 95 peratus penjualan di sana, katanya.

“Menuai ketika durian gugur menjadi tradisi kami sejak 1950-an,” kata Wilson Chang, peladang durian generasi kedua di Pahang.

“Keprihatinan utama kami adalah memastikan kualiti dan rasa. Sudah tentu permintaan untuk durian kami jauh melebihi bekalan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button