Bisnes & Ekonomi

Kadar Kemiskinan Meningkat, 600,000 Isi Rumah M40 Tergelincir Ke Kategori B40

Kadar kemiskinan Malaysia meningkat kepada 8.4% pada tahun 2020 kerana wabak Covid-19, menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mustapa Mohamed. Pada tahun 2019, kadar kemiskinan berada pada 5.6%.

 

Pandemik Memberi Impak Terhadap Pendapatan Orang Ramai

Mustapa berkata wabak Covid-19 telah menyebabkan gangguan pendapatan orang ramai yang menyebabkan lebih banyak isi rumah terdedah kepada kemiskinan terutama bagi golongan B40 dan kategori yang paling rentan.

Berdasarkan metodologi pendapatan garis kemiskinan tahun 2019 (PGK 2019), kadar kemiskinan turun kepada 5.6% pada tahun 2019 daripada 7.6% pada tahun 2016.

Mustapa mengatakan bahawa walaupun terdapat kemiskinan yang rendah dari semua etnik, ia tetap menjadi isu yang berterusan, selain daripada ketidakseimbangan dan kemiskinan multidimensi yang melibatkan aspek bukan pendapatan seperti akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas.

Beliau mengatakan isu-isu seperti kekurangan zat makanan, peningkatan beban kesihatan, jurang digital, ketidaksamaan, kebimbangan alam sekitar dan pembangunan inklusif adalah cabaran terbesar dalam mencapai agenda kerajaan untuk membasmi kemiskinan pada tahun 2030.

 

Penubuhan Lingkaran Kemiskinan Untuk Menangani Kemiskinan Akibat Wabak

Mustapa mengatakan akan menubuhkan dan mempengerusikan Lingkaran Kemiskinan yang terdiri daripada perwakilan dari kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan akademik untuk merumuskan strategi tentang cara terbaik menangani kemiskinan semasa wabak.

Dalam pada itu, lebih daripada 600,000 isi rumah daripada golongan berpendapatan pertengahan (M40) telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 kerana krisis COVID-19 yang memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia.

 

8% Mengalami Penurunan Pendapatan

Menurut laporan The Star, Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC), seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan untuk tahun 2019 memaklumkan, sekurang-kurangnya 8 peratus isi rumah memperlihatkan penurunan pendapatan di ambang pendapatan maksimum B40 iaitu RM4,850 sebulan.

Penurunan tahap pendapatan yang ketara ini menimbulkan kebimbangan tentang peningkatan ketidaksamarataan dan kesan terhadap kedudukan sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pakej bantuan bernilai RM380 bilion sebagai rangsangan untuk menangani kesan COVID-19 terhadap perniagaan, pengangguran, tahap pendapatan dan golongan masyarakat rentan.

 

KDNK Negara Menurun Lagi

Pengarah Eksekutif EAC, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali mengatakan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia menurun kepada RM42,107 pada tahun 2020, berbanding RM45,973 pada tahun 2019 sebelum wabak COVID-19.

“Pandemik telah menyebabkan KDNK per kapita menyusut kira-kira 8.4 peratus. Sebelum ini kita pada kadar 10.5 peratus ambang pendapatan yang digariskan Bank Dunia, namun ketika ini kita ketinggalan 18 peratus,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya tentang cadangan Sekretariat AEC terhadap penetapan semula Malaysia dalam persekitaran lanskap ekonomi baharu pasca pandemik pada Khamis.

 

Agenda Penjajaran Semula Ekonomi Malaysia Pasca COVID-19

Terdahulu Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mencadangkan lapan agenda penetapan semula atau ‘reset’ untuk penjajaran semula ekonomi negara pasca COVID-19.

Cadangan itu termasuk pelaksanaan ekonomi digital; menggalakkan penggunaan dan kemajuan teknologi; menetapkan kedudukan untuk perubahan lanskap global serta menggalakkan perkongsian tanggungjawab, tadbir urus baik dan kelestarian.

Selanjutnya ialah penyediaan tenaga kerja masa depan; memantapkan penyampaian awam dan menggalakkan pasaran kompetitif; membantu komuniti rentan dan pemulihan serta penstrukturan semula korporat.

Show More

Related Articles

Back to top button