AntarabangsaIsu Semasa

Beratur Berhari-Hari, Warga Emas Venezuela Belum Tentu Dapat Vaksin

Hanya kakitangan perubatan Venezuela dan orang yang berumur 60 tahun ke atas yang layak untuk mendapatkan vaksin setakat ini. Namun keadaan tidak seperti yang dibayangkan berlaku.

Ivan Arias telah berdiri selama enam jam dalam barisan untuk mendapatkan vaksin Covid-19. Matahari Caribbean memancar terik di atas kepala dan Arias, 75, kelihatan sangat letih.

Ini adalah hari keempat berturut-turut Arias bangun sebelum matahari terbit untuk beratur dengan beratus-ratus warga emas Venezuela lain di luar sebuah hotel yang dikendalikan oleh kerajaan di Caracas. Tiga hari sebelumnya, dia pulang ke rumah tanpa vaksin dan kelaparan, sekitar tengah hari.

Namun, pada hari itu, dia bertekad untuk tidak menyerah begitu saja. Dia tiba lebih awal iaitu pada jam 4 pagi dan menyediakan bekalan sarapan seperti sosej, telur dan keju. Menjelang pukul 10 pagi, barisan Arias masih tidak berganjak sama sekali.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat Venezuela adalah memalukan,” katanya.

 

Bekalan Vaksin Venezuela Disekat Oleh Amerika Syarikat

Di negara yang tidak pernah lekang dari beratur termasuk untuk mendapatkan makanan, air, ATM dan bahan bakar, banyak dari mereka telah mengalami kelesuan sejak akhir-akhir ini hasil daripada pemerintahan sosialis yang secara tiba-tiba menjalankan ekonomi pasaran bebas.

Tetapi kemunculan barisan yang panjang untuk mendapatkan vaksin telah menjadi peringatan yang jelas tentang bagaimana polisi awam yang semakin teruk di bawah pemerintahan Presiden Nicolas Maduro.

Kelewatan dalam pembayaran kepada program Covax global yang disifatkan oleh rejim Maduro kerana sekatan oleh Amerika Syarikat telah menyebabkan negara itu bergantung pada sekutu China dan Rusia untuk mendapatkan vaksin.

 

Venezuela Antara Populasi Terendah Dunia Menerima Vaksin COVID-19

Kurang dari 2% populasi telah menerima satu dos vaksin, salah satu peratusan terendah di dunia. Hanya kakitangan perubatan dan orang yang berumur 60 tahun ke atas yang layak untuk divaksin setakat ini.

Sementara itu, virus itu terus meningkat. Bahkan data rasmi kerajaan mengakui peningkatan kes dan kematian.

Sungguh menyakitkan apabila melihat warga emas berdiri seharian dalam barisan panjang yang melintasi beberapa blok bangunan. Mereka datang dengan kerusi roda dan tongkat. Mereka menghidap penyakit pernafasan dan jangkitan kulit.

Seorang lelaki buta tiba di pusat vaksinasi setelah matahari terbit. Baju putih dan seluar hitamnya penuh kesan koyakan dan pelitup muka buatannya sendiri juga terkoyak. Dia diarahkan untuk duduk di sebelah patung di hadapan barisan, di mana seperti orang lain, dia juga perlu menunggu berjam-jam.

 

Keadaan Huru-Hara Di Pusat Pengambilan Vaksin

Kemelesetan ekonomi sangat sukar bagi semua rakyat Venezuela tetapi generasi ini menerima kesan yang paling teruk.

Terdapat banyak tawar-menawar pada hari itu tentang siapa yang mempunyai janji temu dan siapa yang tidak.

Tentera yang mengawasi barisan menegaskan bahawa hanya mereka yang telah menerima pesanan teks sahaja akan diberi vaksin tetapi sebahagian besar dari mereka tidak menerima sebarang notis.

Sistem yang diguna pakai dilihat tidak logik. Bagaimana keputusan ini dibuat dan bagaimana dengan semua orang yang tidak mempunyai telefon bimbit?

“Kami tidak akan berganjak,” mereka yang berada dalam barisan mulai bersuara serentak. Ada yang tiba seawal tengah malam untuk menunggu dalam barisan yang tidak menjanjikan vaksin buat mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button