AntarabangsaIsu Semasa

Korea Utara Sedia Berdepan Dengan Amerika Syarikat

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berkata persediaan rapi perlu dilakukan bagi dialog dan konfrontasi dengan Amerika Syarikat (AS) yang kini berada di bawah pimpinan Joe Biden, lapor media tempatannya.

 

Persiapan Korea Utara Berhadapan Dengan Amerika Syarikat

Menurut Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA), pada sesi pleno jawatankuasa pusat Parti Pekerja Korea yang berlangsung pada 17 Jun 2021, Jong-un menggariskan strategi berkaitan hubungan dengan Washington dan kecenderungan dasar pentadbiran baharu AS.

Jong-un menekankan keperluan untuk bersiap siaga bagi dialog dan konfrontasi, khususnya bersedia sepenuhnya untuk konfrontasi demi melindungi maruah negara itu dan memastikan jaminan keamanan.

Pemimpin Korea Utara menggesa tindakan yang tepat dan segera bagi mendepani situasi semasa yang berubah dengan cepat, termasuk memberi tumpuan untuk memastikan kestabilan di Semenanjung Korea, lapor agensi itu.

 

Korea Utara VS Amerika Syarikat

Pyongyang sebelum ini menuduh Biden menggunakan ‘dasar keji’ dan menyatakan adalah satu kesalahan besar bagi Demokrat veteran itu untuk menyatakan bahawa dia akan menangani ancaman program nuklear Korea Utara melalui kaedah diplomasi dan tindakan kekerasan.

Untuk rekod, Biden sebelum ini lantang mengkritik dan memberi amaran kepada Pyongyang berhubung tindakan republik itu melakukan ujian peluru balistik yang jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Biden Tidak Mahu Berbaik Dengan Korea Utara?

Dalam lawatan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, ke Washington bulan lalu, Biden berkata, dia tidak akan bertemu Jong-un melainkan terdapat perancangan konkrit bagi rundingan berkaitan senjata nuklear Pyongyang.

Biden turut memberitahu, dia tidak akan mengadakan sebarang hubungan baik dengan Jong-un, sebagaimana pernah dilakukan oleh Donald Trump ketika memimpin AS.

Dalam pada itu, Rumah Putih berkata, pihaknya sedang menuju ke arah pendekatan yang lebih berhati-hati dan terbuka.

“Kami sedar usaha sebelum ini berdepan kesulitan dan cuba untuk belajar daripada pengalaman lalu,” kata pegawai kanan Rumah Putih.

 

Ujian Nuklear Korea Utara

Korea Utara telah melakukan enam ujian bom atom sejak tahun 2006. Ia berada di bawah pelbagai sekatan antarabangsa untuk program senjata larangannya.

Tetapi Korea Utara sekarang mungkin menerima “pengurangan secara bertahap dalam persenjataan nuklearnya dan pembekuan program nuklear sebagai pertukaran kepada kelonggaran sekatan”, kata Cheong Seong-chang, pengarah Kajian Korea Utara di Sejong Institute.

Laporan dari pakar perisik AS yang dikeluarkan pada bulan April mengatakan Korea Utara mungkin menyambung semula ujian nuklear tahun ini sebagai cara untuk memaksa pentadbiran Biden kembali ke meja rundingan.

Kim “mungkin mengambil sejumlah tindakan agresif untuk membentuk kembali persekitaran keselamatan serantau dan mendorong terjadinya ketegangan antara Amerika Syarikat dan sekutunya, termasuk penyambungan semula senjata nuklear dan ujian peluru berpandu balistik antarabenua (ICBM),” kata Pejabat Pengarah National Intelligence.

Show More

Related Articles

Back to top button