AntarabangsaIsu Semasa

Kelesuan Pandemik, 30,000 Jururawat Mogok di New Zealand

Kira-kira 30,000 jururawat di New Zealand mengadakan mogok menuntut kenaikan gaji berikutan tambahan beban kerja akibat pandemik COVID-19.

 

Mengapa Jururawat New Zealand Mogok?

Mereka meninggalkan tugas masing-masing untuk menyertai mogok itu susulan kegagalan rundingan antara kesatuan dengan kerajaan berhubung tuntutan kenaikan gaji dan persekitaran kerja yang lebih selamat.

Ribuan jururawat berarak di jalanan dengan memegang sepanduk manakala yang lain berkumpul di taman dan luar pekarangan hospital di seluruh negara itu.

Mogok diadakan selepas Persatuan Jururawat New Zealand (NZNO) menolak kenaikan gaji 1.4 peratus yang dicadangkan Lembaga Kesihatan Daerah pada minggu lalu.

 

Pihak Kerajaan Tidak Mampu Menunaikan Tuntutan Jururawat New Zealand

Menurut kerajaan, pihaknya tidak mampu menunaikan tuntutan 17 peratus kenaikan gaji yang diminta jururawat, namun berjanji akan terus mengadakan rundingan untuk mencari penyelesaian sewajarnya.

NZNO, dalam satu kenyataan, memaklumkan ramai jururawat mengadu tidak mendapat bayaran gaji setimpal dengan risiko akibat pandemik koronavirus dan mengalami keletihan kerana terpaksa bekerja lebih masa.

NZNO mendakwa, keadaan jururawat menjadi semakin teruk dengan penularan COVID-19 di negara itu kerana terpaksa bersabung nyawa saban hari berada di hospital.

“Kadar gaji semasa sememangnya gagal menarik orang ramai menceburi kerjaya ini atau terus mengekalkan jururawat sedia ada,” menurut persatuan itu.

 

Kesan Daripada Mogok

Dilaporkan, semua pembedahan kecil dan janji temu pesakit luar terpaksa dibatalkan akibat mogok terbabit.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern, berdepan kritikan kerana gagal menangani isu ketidaksamaan walaupun ekonomi negara itu semakin pulih daripada pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Bergaji, Dr Julian Vyas, berkata jururawat mempunyai peranan yang amat penting dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Jika mereka mogok, maka sudah pastinya terdapat masalah besar yang harus ditangani dengan segera,” katanya kepada portal berita Newshub.

 

Beban Kerja Jururawat Semakin Meningkat Sejak 6 Tahun Lalu

Cheryl Hammond, seorang jururawat dengan 43 tahun pengalaman, mengatakan bahawa dia takut akan masa depan profesionnya.

“Saya ingin memastikan bahawa jururawat baharu juga mampu bekerja selama 43 tahun dalam bidang kejururawatan.

“Tetapi saya tidak dapat melihat hal itu terjadi kerana orang-orang baharu tidak dapat bertahan lama kerana tekanan, beban kerja dan sistem penggiliran.

Dia mengatakan selama enam tahun terakhir dalam pekerjaannya, beban kerjanya meningkat dua kali ganda, kerana permintaan lebih banyak diberikan kepada perkhidmatan mereka.

Tetapi dalam tempoh yang sama, dia mengatakan mereka tidak merekrut kakitangan tambahan. Bayaran juga tidak pernah mencukupi, katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button