MalaysiaPolitik

Parti Politik Berasaskan Sains Pertama di Malaysia Akan Didaftarkan

Bermula sebagai satira kepada parti PAS di twitter, Parti Aspirasi Sains Malaysia (SAINS) mungkin akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Ini kerana mereka telah menyerahkan permohonan untuk mendaftarkan parti tersebut kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Dalam kenyataan rasminya, SAINS menjelaskan bahawa ia ditubuhkan sebagai platform bagi rakyat Malaysia untuk menggubal dasar-dasar awam berasaskan sains dan data yang terbukti.

Tiga dasar utamanya adalah untuk membangunkan Malaysia sebagai negara Anti-Kemiskinan, membentuk ekonomi berpusatkan manusia serta pembangunan lestari.

SAINS juga akan menjadi parti politik sains pertama di negara dengan meritokrasi termaktub di dalam perlembagaannya, seiring dengan pendekatan berdasarkan keperluan dan bukti. Misi SAINS juga adalah untuk meningkatkan kesaksamaan peluang bagi semua rakyat Malaysia dan mendorong negara ke arah ilmiah, melalui penerapan sains dan akal tanpa mengira etnik, jantina atau agama.

SAINS menegaskan lagi bahawa struktur parti mereka tidak akan mempunyai sayap pemuda atau berasaskan jantina dan tidak juga akan mengikut kedudukan organisasi tradisional. SAINS juga membezakan dirinya sebagai rumah bagi rakyat Malaysia yang belum memihak dengan mana-mana parti politik sekarang yang berasaskan kaum, agama, perseorangan atau generasi.

Bercakap kepada Malay Mail, Presiden pro-term dan pengasas, Kenneth Chai menjelaskan bahawa idea parti ini datangnya sebagai satira, dengan huruf permulaannya sama dengan PAS.

Dia hanya menjalankan parodi secara sarkastik kepada ahli PAS pada mulanya, berkenaan keputusan dan langkah parti tersebut. Kemudian seorang ahli PAS menghantar mesej peribadi memintanya berhenti menggunakan nama parti. Jadi, Chai mengambil keputusan untuk menubuhkan parti sendiri.

Tambah Chai lagi, pengikutnya di Twitter mengetahui bahawa dirinya sering bercakap, berbincang dan mengkritik mengenai Sains kerana dia adalah guru STEM. Sebab itu beliau memulakan Parti Ajaran Sains sebagai satira buat mereka.

Chai yang memperkenalkan dirinya sebagai pendidik dan petani, memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Masa Depan Tenaga. Pendorong utama untuk dia menubuhkan parti politik adalah apabila dia menyedari bahawa rakyat Malaysia tidak lagi memihak kepada sesebuah parti.

Parti politik masa kini kebanyakannya berasaskan bangsa atau agama, atau untuk menjadikan seseorang sebagai Perdana Menteri, dan kebanyakannya adalah lelaki yang sudah berumur. Dia merasakan bahawa perlu ada parti yang merentasi semua ini dan menyediakan platform yang memberi fokus kepada polisi berdasarkan bukti, sains dan akal, bukan warna kulit atau apa yang dianuti oleh nenek moyang.

SAINS kini mendaftar dengan lebih daripada 250 anggota parti dan 15 anggota jawatankuasa di dalam badan eksekutif. SAINS berharap agar dapat menyalakan semangat untuk sentiasa mengejar ilmu pengetahuan dan mendorong negara ke masa depan politik Malaysia yang lebih cerah dan dipimpin oleh pemimpin yang rasional.

Show More

Related Articles

Back to top button