MalaysiaPolitik

“Tubuh Kerajaan Darurat Jika Parlimen Tidak Boleh Bersidang”

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan penubuhan “kerajaan darurat” untuk sementara waktu dengan perwakilan dari semua parti politik.

Azalina, yang sebelumnya menganjurkan penghentian penggantungan Parlimen di bawah Darurat ketika ini, meminta kerajaan Perikatan Nasional menjalankan semula persidangan Parlimen agar Malaysia dapat bergerak ke depan.

“Rangka sebuah Ordinan agar Parlimen bersidang semula tanpa perbahasan tentang undi tidak percaya. Sehingga wabak Covid-19 berjaya dikawal dan imuniti kawanan sekurang-kurangnya 50% dicapai, tidak ada pilihan raya umum yang harus diadakan.

“Sementara itu, kerajaan Darurat sementara dengan Kabinet Darurat boleh dibentuk dengan perwakilan dari semua parti politik,” kata Anggota Parlimen Pengerang itu.

 

Kerajaan Darurat Tidak Semestinya Ahli Politik

Menurutnya, ‘kerajaan darurat’ tidak semestinya dianggotai ahli politik sebaliknya jawatan dalam kerajaan itu boleh diisi individu berkelayakan dan mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan.

Tegasnya, semua parti politik harus bekerjasama untuk merealisasikan perkara itu kerana keutamaan sekarang adalah rakyat dan negara, dan politik perlu diketepikan.

 

Cadangan Persidangan Parlimen Secara Maya

Azalina turut mencadangkan beberapa prosedur operasi standard untuk Parlimen bersidang semula yang antara lain merangkumi sesi maya.

“Laburkan sedikit wang dalam persiapan untuk Parlimen maya dan sistem ucapan-ke-teks. Tidak mahal! Malah Zoom menyediakan kemudahan pengundian untuk memudahkan proses undian.”

Azalina mengatakan bahawa beliau bercakap dengan DG Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang tidak keberatan untuk sesi Parlimen sedemikian dijalankan.

 

Mengapa Azalina Mahukan Parlimen Bersidang Semula?

“Dengan keadaan sekarang, saya tidak melihat cara lain bagi Malaysia untuk bergerak ke depan dalam keadaan darurat ini tetapi untuk Parlimen bersidang semula.”

Kerajaan, katanya, tidak boleh menutup proses demokrasi kerana rakyat telah mengalami cukup banyak pertukaran dengan mengorbankan hak demokratik dan hak asasi individu demi krisis kesihatan awam.

“Kita sedang berperang dengan virus yang tidak mengenal batas dan strategi utama untuk memerangi sebarang perang adalah mendapatkan kepercayaan masyarakat.

“Dengan menafikan hak Anggota Parlimen untuk berhubungan dengan kerajaan, anda menyangkal hak rakyat,” katanya.

Bekas menteri undang-undang de facto itu mengatakan bahawa suratnya pada bulan Februari kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan menteri undang-undang semasa mengenai persidangan semula Parlimen telah diketepikan.

“Nampaknya penggantungan Parlimen tidak hanya melumpuhkan demokrasi, tetapi juga melumpuhkan kemampuan pegawai kerajaan untuk memberi maklum balas terhadap keprihatinan yang ditimbulkan oleh anggota parlimen di luar tembok Dewan Rakyat,” kata Azalina.

Show More

Related Articles

Back to top button