Isu SemasaSains

Saksikan Fenomena ‘Super Flower Blood Moon’ Malam Ini!

Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh ‘Super Flower Blood Moon’ atau ‘bulan berdarah’ bermula sekitar jam 4.47 petang ini dan dijangka berakhir kira-kira jam 9.50 malam.

 

Apa Itu Fenomena ‘Super Flower Blood Moon’

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah, berkata fasa penuh fenomena gerhana ‘Super Flower Blood Moon’ hanya boleh dilihat jika berada di Semenanjung Malaysia.

Di Sabah dan Sarawak, beliau berkata, orang ramai di sana berpeluang menyaksikan proses pembentukan fenomena gerhana itu lebih awal.

Fenomena gerhana bulan berlaku ketika bulan pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi (perigee) dengan jarak 357,309 kilometer (km) dan berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra.

Umbra adalah bahagian bayang yang sangat gelap manakala penumbra, bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih bersinar kepada kemerahan. Kesan umbra ini boleh dilihat dengan mata kasar.

 

Fenomena ‘Super Flower Blood Moon’ Di Malaysia

“Fenomena gerhana bulan penuh ini akan berlaku mulai jam 16.47 dan berakhir pada jam 21.50 waktu Malaysia.

“Bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya kelihatan ketika fasa gerhana maksimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain boleh disaksikan secara penuh di Semenanjung Malaysia, Azlikamil berkata, ia boleh dilihat secara keseluruhan di timur Australia, New Zealand dan Kepulauan Pasifik termasuk Hawaii.

Orang ramai boleh melihat penstriman langsung gerhana bulan penuh ‘Super Flower Blood Moon’ menerusi akaun media sosial Facebook dan Youtube Planetarium Negara.

 

Waktu & Fasa Gerhana Bulan Di Malaysia Pada 26 Mei 2021

1. Sekitar jam 4.47 petang

Fasa gerhana penumbra (P1)

– Bulan mula memasuki penumbra.

– Tidak kelihatan kerana bulan berada di bawah ufuk

2. Sekitar jam 5.44 petang

Fasa gerhana separa bermula (U1)

– Bulan mula memasuki umbra

– Tidak kelihatan kerana bulan berada di bawah ufuk

3. Sekitar jam 7.11 malam

Fasa gerhana penuh bermula (U2)

– Bulan mula mengalami fasa gerhana penuh

– Boleh dilihat di Sabah dan Sarawak sahaja ketika bulan terbit dan rendah di ufuk timur.

4. Sekitar jam 7.19 malam

Maksimum

– Gerhana maksimum

– Boleh dilihat di Semenanjung ketika bulan sedang terbit dan rendah di ufuk timur

5. Sekitar jam 7.25 malam

Fasa gerhana penuh tamat (U3)

– Bulan mula keluar dari umbra

– Boleh dilihat kerana bulan berada di atas ufuk

6. Sekitar jam 8.52 malam

Fasa gerhana separa tamat (U4)

– Bulan keluar sepenuhnya dari umbra

– Boleh dilihat kerana bulan berada di atas ufuk

7. Sekitar jam 9.49 malam

Fasa gerhana penumbra tamat (P4)

– Bulan keluar sepenuhnya dari penumbra

– Boleh dilihat kerana bulan berada di atas ufuk

 

Cara Solat Sunat Gerhana Bagi Umat Islam

Niatnya :

Usolli sunnatal khusufi rak’ataini (ada’an / imaman) lillahi taala

“Sahaja aku solat sunat khusuf dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam)

ataupun

“Sahaja aku solat sunat khusuf dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah.

Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud.

Iaitu seperti berikut :

RAKAAT PERTAMA

  1. Niat solat Gerhana, Takbir
  2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
  3. Rukuk
  4. I’tidal
  5. Baca Al-Fatihah dan surah
  6. Rukuk.
  7. I’tidal.
  8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

RAKAAT KEDUA

  1. Takbir rakaat ke-2.
  2. Baca Al-Fatihah dan surah.
  3. Rukuk.
  4. I’tidal,
  5. Baca Al-Fatihah dan surah.
  6. Rukuk.
  7. I’tidal.
  8. Sujud
  9. Tahiyyat Akhir

NOTA:

*Sunat dibaca nyaring pada bacaan fatihah dan surah semasa sembahyang gerhana bulan, tidak disunatkan baca secara nyaring pada sembahyang gerhana matahari.

*Setelah selesai sembahyang disunatkan membaca khutbah seperti dua khutbah hari raya, tetapi tidak disunatkan takbir pada dua khutbah itu.

Show More

Related Articles

Back to top button