BudayaGaya Hidup

Tahukah Anda Bebola Alga Ini Adalah Seperti Haiwan Peliharaan?

Marimo merupakan alga dari spesies Aegagropila linnaei yang pertumbuhannya jarang berlaku. Tumbuhan akuatik ini tumbuh menjadi bebola hijau dengan tekstur seperti baldu.

 

Apa Itu Bebola Alga Marimo Ini?

Marimo merupakan khazanah semulajadi Jepun dan kini menjadi “haiwan peliharaan” popular di negara matahari terbit itu.

Aegagropila linnaei sudah lama menjadi misteri dalam biologi kerana tumbesarannya dalam bentuk bebola. Alga ini sangat sedikit ditemui dalam persekitaran akuatik di empat negara.

Antara negara yang memiliki bebola alga ini ialah Iceland, Scotland, Estonia dan Jepun. Ia boleh ditemui dalam pelbagai bentuk.

Adakalanya ia filamen terapung bebas, adakalanya tumbuh rata di atas batu atau dalam bentuk bola hijau yang boleh mencapai diameter sehingga 40 cm.

Disebabkan ia mampu hidup dalam bentuk bola ini telah membuat para saintis dan peminat alga terpikat dengannya selama berabad-abad.

 

Bola Alga Terbesar Wujud Di Jepun

Marimo yang juga membawa maksud “tumbuhan bebola air” ini sangat terkenal di Jepun. Bola alga terbesar dan sangat menakjubkan ini boleh ditemui di Tasik Akan, timur Hokkaido.

Koloni marimo di dasar Tasik Akan. Sumber Imej: Fish Tank Advisor

Atas sebab tertentu, marimo mampu membesar sehingga 40 cm pada diameter dan ini adalah terbesar berbanding bola alga yang ditemui di tempat lain.

Tasik yang cetek ini boleh memberi keadaan terbaik untuk Aegagropila linnaei hidup menyebabkan dasar tasik ini memiliki sangat banyak bebola alga yang boleh dipegang tetapi tidak dibenarkan untuk dibawa pulang.

 

Bebola Alga Diisytihar Khazanah Alam Jepun Sejak 1921

Orang Jepun sangat menyukai bebola alga ini seudah berkurun lamanya sehingga ia diisytiharkan sebagai khazanah alam negara pada tahun 1921.

Akan tetapi keadaan menjadi teruk untuk marimo apabila orang mula mengeluarkannya dari alam semulajadi lalu menjualnya kepada pengunjung.

Malah terdapat satu masa, marimo di Tokyo dijual pada harga 1000 yen (dianggarkan umpama RM26,874 pada zaman sekarang).

Keadaan memburuk apabila tumbuhan air di Tasik Akan telah menyebabkan paras air jatuh menjunam menyebabkan ratusan marimo mati.

Akhirnya usaha pemuliharaan dimulakan oleh Jepun pada tahun 1950 apabila foto bertimbun-timbun marimo mati diterbitkan di akhbar kebangsaan dan ia mengejutkan negara.

Berpuluh-puluh orang datang dari jauh yang telah membeli bebola alga dari Akan telah datang untuk mengembalikannya semula ke rumah asal mereka.

Disebabkan mereka ini sangat bermurah hati, sebuah perayaan Marimo Festival diadakan pada 7 Oktober 1950 dan ia diadakan pada setiap tahun sehingga kini.

 

Cenderamata Marimo Masih Boleh Didapati Tetapi…

Hingga ke hari ini anda masih boleh membeli marimo sebagai cenderamata dan haiwan peliharaan tetapi ia digulung secara buatan dari filamen yang terapung bebas, bukan jenis semula jadi yang terbentuk dengan digulung di dasar tasik oleh arus.

Namun, sentuhan itu sama lembut seperti yang alami, dan ia juga dapat bertahan seumur hidup jika dijaga dengan baik.

Akan tetapi, marimo tiruan juga dijual dan pelancong perlu berhati-hati kerana ada yang menjualnya. Marimo tiruan ini adalah bebola plastik dengan lapisan alga yang nipis.

Jika ada yang mahu mendapatkan marimo asli, ia adalah alga dari dalam sehingga luar. Manakala yang besar sebenarnya berlubang di dalam kerana ketebalan alga ini terhad sehingga 5cm dari permukaan untuk proses fotosintesis.

 

Mengapa Marimo Ini Boleh Dijadikan Haiwan Peliharaan?

Marimo ini bernyawa dan dianggap seperti haiwan peliharaan ikan tetapi memiliki penyelenggaraan rendah. Ianya hanya memerlukan air untuk berpusing di dalamnya serta cahaya matahari yang ditapis.

Selagi mereka boleh berpusing di dalam air dan mendapatkan matahari dari setiap sudut, ia mampu bertahan.

Jika terdapat bintik-bintik perang pada bebola alga ini anda hanya perlu memusingkannya bagi memastikan ia mendapatkan cahaya matahari dari setiap permukaan. Anda juga boleh menambahkan sedikit garam dan ais untuk menyegarkan mereka.

Marimo tidak gemar air berklorin. Maka anda perlu menyaring air dan pastikan anda kerap menukar air.

Adakah Marimo Akan Membesar?

Marimo akan membesar tetapi pada kadar yang sangat lambat.Ia membesar pada kadar purata 5 mm per tahun, jadi untuk mendapatkan bola alga raksasa seperti yang ada di dasar Danau Akan memerlukan beberapa dekad.

Akan tetapi jika anda boleh menjaganya dengan baik, bebola alga ini boleh hidup mungkin lebih lama dari penjaganya.

Marimo Boleh Beranak?

Marimo boleh membesar tetapi tidak mampu beranak. Oleh sebab itu, jika anda memiliki marimo besar dan teringin untuk memiliki sebiji lagi marimo, anda hanya perlu memisahkannya menjadi dua dan menggulungnya untuk menjadi bola kecil. Ini kerana ia diperbuat daripada filamen terapung bebas.

Maskor Marimo. Sumber Imej: Japan Today.

Marimo yang dijadikan seperti haiwan peliharaan ikan ini adalah sangat popular di Jepun. Ia juga telah menjadi inspirasi kepada maskot paling pelik Jepun iaitu Marimokkori dan terciptanya aplikasi telefon pintar untuk membantu pengguna menjaga marimo mereka.

Aplikasi tersebut telahpun dimuat turut sebanyak 800,000 kali.

Jadi Mengapa Alga Ini Sebenarnya Menjadi Bulat?

Saintis telah menghasilkan beberapa teori mengapa Aegagropila linnaei menjadi bulat apabila ia semakin membesar.

Ada yang berkata ia merupakan mekanisme pertahanan diri kerana apabila ia sebagai filamen bergerak bebas, ia boleh ditelan oleh ikan.

Akan tetapi apabila ia menjadi koloni berbentuk bola, ia tidak boleh dimusnahkan oleh ikan.

Ada juga yang mengatakan bahawa bentuk sfera ini dapat membantu mereka bergolek semula ke dalam air apabila ia terhanyut ke pantai. Melalui tindakan bergulung ini, ia juga mampu membantu membersihkan sebarang endapan yang terkumpul di permukaan alga.

Tetapi ini hanya teori kebenarannya masih tidak diketahui secara benar mengapa spesies alga ini membentuk struktur seperti bola.

Show More

Related Articles

Back to top button