AntarabangsaIsu Semasa

Sri Lanka Kuat Kuasa Undang-Undang ‘Deradikalisasi’ Islam

Sri Lanka melaksanakan undang-undang kontroversi anti keganasan untuk menangani pelampau agama, dengan kuasa menahan suspek hingga dua tahun. Kerajaan negara itu juga mahu melarang pemakaian burqa, yang sebelum ini dilaksanakan sebagai larangan sementara bermula April 2019, susulan serangan bom didakwa dilakukan pelampau Islam.

 

Tindakan Untuk Menjaga Keharmonian Negara

Presiden Gotabaya Rajapaksa mengisytiharkan peraturan yang membolehkan seseorang ditahan kerana disyaki menyebabkan ‘tindakan keganasan atau menjejas keharmonian agama, perkauman atau cetuskan permusuhan antara masyarakat.

Peraturan berkuat kuasa semalam itu ditetapkan mengikut Undang-Undang Pencegahan Keganasan (PTA), yang sebelum ini Colombo berulang kali digesa oleh kumpulan hak asasi tempatan serta antarabangsa supaya menariknya balik.

 

Presiden Sri Lanka Sejak 2019 Ingin Banteras Golongan Radikal Islam

Kerajaan Sri Lanka terdahulu yang ditewaskan Rajapaksa pada pilihan raya 2019, berjanji untuk menarik balik PTA selepas mengakui undang-undang itu menyekat kebebasan individu, tetapi gagal melaksanakannya.

Rajapaksa, yang berkuasa selepas menang pilihan raya, berjanji memerangi pelampau Islam dan mengumumkan tindakan ‘deradikalisasi ke atas pelampau agama dengan ideologi ganas’, menurut dokumen yang diwartakan itu.

 

Mengapa Burqa Dilarang Di Sri Lanka?

Sementara itu, Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekera, hari ini mengumumkan burqa, pakaian longgar yang menutup dari kepala hingga kaki, juga akan dilarang.

Beliau menyifatkan pakaian yang lazimnya digunakan wanita di kebanyakan negara Islam itu sebagai ancaman terhadap keselamatan kebangsaan Sri Lanka.

“Burqa adalah satu pemakaian yang secara langsung menjejaskan keselamatan negara kita.

“Pakaian ini baharu saja muncul di Sri Lanka sejak kebelakangan ini dan menjadi simbol pelampau agama,” katanya.

 

Undang-Undang Menunggu Kelulusan Kabinet & Parlimen

Weerasekera menjelaskan, beliau sudah menandatangani dokumen melarang pemakaian burqa, namun ia hanya boleh dilaksanakan selepas diluluskan Kabinet dan Parlimen.

Sri Lanka menggunakan undang-undang darurat untuk melaksanakan larangan sementara pemakaian burqa susulan kes pengeboman kumpulan pelampau agama pada April 2019 di tiga gereja di pulau itu, mengorbankan 279 orang.

Kejadian itu dilakukan menjelang ulang tahun kedua serangan Hari Easter 2019 yang turut mencederakan lebih 500 orang.

Pengebom berani mati yang menyerang tiga gereja dan tiga hotel mewah itu dipercayai anggota kumpulan pelampau Islam tempatan.

Show More

Related Articles

Back to top button