AntarabangsaIsu Semasa

Keluarga Diraja Britain Dalam Krisis Selepas Pendedahan “Berani Mati” Dari Putera Harry, Isteri

Keluarga di raja British kini dalam krisis setelah Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle membongkarkan kisah kehidupan mereka di Istana Buckingham dalam satu wawancara mengejutkan yang disiarkan di seluruh dunia, lapor media tempatan.

 

Apa Sahaja Pendedahan Yang Dilakukan Oleh Putera Harry & Meghan Markle?

Dengan pendedahan tentang cubaan bunuh diri, saudara rasis dan pewaris takhta yang terperangkap dalam tradisi monarki, wawancara bersama Duke dan Duchess of Sussex yang dikendalikan oleh Oprah Winfrey itu adalah yang paling mengejutkan sejak wawancara mendiang Puteri Diana pada 1995.

Harry menggambarkan perasaan “benar-benar kecewa” kerana ayahnya, Putera Charles telah berhenti menerima panggilan telefon daripadanya.

Kedua-dua Charles, pewaris takhta Britain dan abang Harry, Putera William “terperangkap” dalam tradisi monarki, katanya.

“Mereka tidak dapat lari. Dan saya sangat kasihankan mereka,” kata Harry dalam wawancara yang membongkarkan sebab pasangan itu meninggalkan kehidupan diraja tahun lalu.

 

Meghan Tidak Bersedia Untuk Hidup Dengan Keluarga Diraja Britain

Meghan, bekas pelakon berdarah campuran, menggambarkan dirinya sebagai “naif” dan tidak bersedia untuk hidup dalam keluarga monarki Britain.

Meghan mengatakan bahawa dia dinafikan untuk menerima rawatan untuk krisis kesihatan mental dan mengatakan bahkan ada kebimbangan mengenai warna kulit anaknya yang belum lahir pada ketika itu.

“Saya … tidak lagi mahu hidup,” katanya kepada Winfrey.

Meghan, 39, juga menceritakan mengenai isu warna kulit Archie, perbualan yang diketahui dari Harry sendiri mengenai kebimbangan rupa bayi mereka sebelum kelahirannya pada 6 Mei 2019.

Pasangan itu bagaimanapun enggan menyebut nama mereka yang terlibat dalam perbualan itu tetapi Winfrey pada hari Isnin mengatakan bahawa Harry telah memberitahu bahawa Ratu Elizabeth, 94, dan suaminya yang berusia 99 tahun, Putera Philip, tidak terlibat dalam perbualan terbabit.

Putera Harry dan Meghan Markle ketika diwawancara oleh Oprah Winfrey

 

Reaksi Orang Ramai Terhadap Pendedahan Putera Harry dan Meghan Markle

Pendedahan tersebut telah mencetuskan reaksi kurang senang di kedua-dua belah pihak, terutama dakwaan mengejutkan mengenai isu rasisme.

Harry sendiri telah menghadapi tuduhan menggunakan cercaan rasis terhadap bekas rakan sekerja tenteranya dan pernah digambarkan memakai seragam tentera Nazi di sebuah pesta.

Kumpulan anti-monarki Republik mengatakan, pendedahan itu menunjukkan institusi itu menghadapi “krisis terburuk sejak peletakan jawatan pada tahun 1936”, merujuk kepada keputusan Edward VIII untuk mengundurkan diri dari takhtha untuk berkahwin dengan seorang balu dari Amerika.

Di tengah-tengah tuntutan politik untuk siasatan penuh, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, yang pandangannya sendiri dilihat sebagai rasis ketika menjadi kolumnis akhbar, enggan mengulas.

 

Meghan Markle Mendapat Pujian Kerana Pendedahannya Itu

Surat khabar di Britain melaporkan krisis dalam Keluarga Diraja akibat pendedahan mengejutkan itu, dan Istana Buckingham masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi terhadap wawancara itu.

Meghan mendapat pujian dunia kerana berani bertindak sedemikian tetapi pasangan itu juga menghadapi kritikan di rumah ketika Putera Philip baru sahaja pulih dari rawatan sakit jantung di hospital.

Tabloid Daily Mail pada hari Selasa menulis “Apa yang telah mereka lakukan?”, dan menggambarkan dakwaan pasangan itu sebagai “toksik.”

Laman undian pendapat, YouGov, menunjukkan 2,111 orang dewasa di Britain atau 47 peratus berpendapat bahawa wawancara pasangan itu “tidak sesuai”, dengan 21 peratus lagi menyokong.

 

Isu Perkauman Adalah Sebab Mereka Meninggalkan Britain

Harry, 36, mengatakan bahawa pasangan itu, yang telah mendapat perjanjian yang menguntungkan dengan Netflix dan Spotify, harus mencari cara untuk menjana wang kerana keluarga diraja menyekat elaun yang ditinggalkan bondanya, Puteri Diana.

Meghan juga dengan tegas menolak laporan bahawa dia membuat isteri Putera William, Kate Middleton menangis sebelum perkahwinannya dengan Harry. Malah, Meghan mendedahkan Kate yang membuatnya menangis selepas seolah-olah tidak puas hati dengan pakaian flower girls.

Tetapi walaupun Kate telah meminta maaf, desas-desus itu dibiarkan berlanjutan dan Meghan menyifatkan isu itu sebagai “permulaan dalam pembunuhan perwatakannya” dalam monarki.

Dia juga mendakwa beberapa bahagian dari media Britain menulis isu berbaur perkauman dalam liputan pertunangannya dengan Harry dan mengatakan bahawa diskriminasi itu adalah “sebahagian besar” mengapa pasangan itu memilih untuk meninggalkan Britain.

 

Meghan Menuduh Akhbar UK Berat Sebelah

Meghan telah digambarkan di beberapa surat khabar Britain sebagai keras kepala dan manja serta pasangan itu dilabel sebagai bertindak melulu dan egois kerana meninggalkan kehidupan diraja.

Dalam satu kenyataan pada lewat Isnin, Persatuan Penyunting – sekumpulan wartawan kanan akhbar Britain – menolak tuduhan itu.

“Duke dan Duchess tidak boleh membuat tuntutan seperti itu tanpa memberikan bukti sokongan,” kata Ian Murray, pengarah eksekutif kumpulan itu.

“Media UK tidak pernah lekang menyoroti mereka yang memegang tampuk kekuasaan, selebriti atau mereka yang berpengaruh. Kadang-kadang soalan yang diajukan itu janggal dan memalukan tetapi akhbar tidak rasis.”

Show More

Related Articles

Back to top button