Gaya HidupKesihatan

Comel Tetapi Menyebarkan Penyakit Yang Memakan Daging Manusia?

“Saintis masih mencari-cari punca berlakunya penyakit pemakan daging, ulser buruli ke atas manusia yang mungkin disebabkan oleh haiwan nokturnal, posum”.

 

Di tengah-tengah krisis pandemik pada April 2020 dengan kes yang meningkat naik dan kakitangan hospital tidak menang tangan, seorang pesakit yang mengalami kegatalan selama lebih dua minggu sehingga terdapat lubang ditengah-tengahnya disuruh pulang dengan harapan luka tersebut bakal sembuh sendiri.

Walau bagaimanapun setelah beberapa hari, Adam Noel yang tinggal di Melbourne, Australia melihat luka dan lubang tersebut semakin membesar sehingga tendon Achillesnya boleh kelihatan kerana lubang tersebut telah membesar sehingga saiz bola pingpong.

Adam ke hospital lain kali ini untuk mendapatkan rawatan dan mereka merawat Adam hampir seminggu mengambil biopsi sebelum mengesahkan apa yang terjadi dengan luka Adam.

Ia adalah ulser Buruli. Satu penyakit bakteria yang menyebabkan luka terbuka yang membesar dan jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kecacatan kekal.

Adam beruntung kerana jika terlambat, Adam bakal kehilangan kaki selamanya.

Bagaimana Adam Noel Mendapat Ulser Buruli?

Adam mengenang kembali titik kemungkinan dia boleh terkena penyakit ini. Dia yang sedang melakukan beberapa perkara di perkarangan rumah telah memotong pokok yang tidak pernah disentuh selama 20 tahun.

Adam yakin dia mendapat ulser tersebut kerana telah mengganggu pokok dan habitat posum yang ditinggal di pokok tersebut.

Ini telah menguatkan lagi teori para saintis yang berpendapat bahawa spesies nokturnal ini memainkan peranan penting dalam mentransmisi ulser Buruli kepada manusia.

Ini adalah kerana binatang ini juga mengalami penyakit tersebut dan bakteria Buruli yang dikenali sebagai Mycobacterium ulcerans ditemui dalam kuantiti yang tinggi pada najis mereka.

Kebanyakan habitat posum ini telah hilang akibat pembangunan yang terjadi pada kebelakangan ini menyebabkan hubungan posum dan manusia semakin hampir kerana berkongsi ruang yang sama.

Kes ulser Buruli ini semakin meningkat tiga kali ganda di Victoria, Australia di mana hanya 65 kes dilaporkan pada tahun 2014 dan pada tahun 2019 ia meningkat menjadi 299 kes.

Kesan Ulser Buruli

Ulser Buruli ini mampu menghancurkan kulit dan tisu lembut jika tidak dirawat menggunakan kombinasi antibiotik dan steroid selama beberapa minggu dan terdapat beberapa kes ia berlanjutan sehingga berbulan-bulan.

Impak fizikal ulser butuli ini adalah sangat jelas. Ia menyebabkan kecacatan kekal dan memerlukan pembedahan.

Ia juga mampu memakan keseluruhan anggota badan.

Bolehkah Penyakit Ini Dihapuskan?

Menurut pakar penyakit berjangkit yang juga pakar ulser Buruli, Daniel O’Brien, maklumat tentang penyakit ini belum cukup. Persoalan yang penting tentang habitatnya di persekitaran dan haiwan apa sahaja yang menjadi perantara serta bagaimana manusia boleh dijangkiti belum terjawab.

“Jika kesemua persoalan ini masih belum boleh terjawab, kita masih akan mengalami kesukaran untuk mengawal penyakit ini.”

Pada ketika ini, para saintis sedang mengusahakan hipotesis bahawa bakteria tersebut diperkuat oleh posum dan najisnya.

Nyamuk dan serangga yang menggigit kemudian membawa bakteria ini dari posum atau persekitaran ke manusia, menusuk kulit dan meninggalkan bakteria menyebabkan ulser Buruli.

Tetapi ini tetap menjadi teori, dan tidak ada yang tahu pasti jika manusia dijangkiti penyakit itu dari nyamuk, tanah atau dari posum sendiri.

Sejarah Ulser Buruli

Ulser Buruli diklasifikasikan sebagai penyakit “diabaikan” oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia: ia tidak mendapat banyak perhatian dan tidak banyak yang diketahui mengenainya.

Ia pertama kali ditemuikan pada tahun 1897 di Uganda, tetapi kerana ia mempengaruhi masyarakat miskin terutamanya dengan penjagaan kesihatan yang terbatas, “belum ada dana untuk melabur dalam waktu, usaha dan sumber untuk menjalankan penyelidikan,” kata O’Brien.

Kepakarannya sendiri berpunca daripada menghabiskan bertahun-tahun bekerja di Afrika Barat merawat pesakit dengan ulser Buruli, dan dengan penyakit yang berkaitan: kusta serta batuk kering.

Pentingnya Untuk Orang Awam Mengetahui Penyakit Sebegini

Ketika ulser Buruli pertama kali muncul di Victoria pada tahun 1948, hanya terdapat sebilangan kecil kes. Tetapi, para pakar mengatakan, Australia kini melihat ulser Buruli menjadi lebih biasa.

Tidak ada yang tahu bagaimana ia sampai di sini. Bahkan beberapa orang yang tinggal di tengah semenanjung mengatakan bahawa mereka tidak pernah mendengarnya, kata Kim Blasdell, seorang saintis penyelidikan kanan di CSIRO, agensi sains kebangsaan Australia. Dia memimpin pekerjaan untuk memahami potensi hubungan antara posum, ulser Buruli dan manusia.

“Jika mereka yang tinggal di kawasan panas penyakit ini belum pernah dengar tentang penyakit ini, mereka yang tinggal di luar kawasan juga sangat berpotensi untuk tidak pernah dengar tentangnya,” kata Kim.

Ini boleh menjadi masalah yang besar kerana pesakit yang tidak tahu tentang penyakit ini boleh mengambil masa berminggu-minggu untuk didiagnosis dan ia boleh membahayakan diri.

Kajian Terhadap Haiwan Posum & Nyamuk Dilakukan

Menurut BBC, di Australia, kajian tentang penyakit ini sedang dilakukan. Mereka mengambil najis posum dan juga melihat hubungannya dengan nyamuk yang dipercayai menjadi haiwan penyebar bakteria ulser buruli ini.

Kajian ini berjalan lancar sehingga pandemik koronavirus berlaku dan dana semakin menipis. Oleh sebab itu kajian ini terbantut dan penemuan bagaimana bakteria ini menjangkiti manusia masih menemukan jalan buntu.

Pakar risau Covid-19 menjadi keutamaan sistem kesihatan sehingga mengabaikan penyakit lain termasuk penyakit pemakan daging manusia seperti ulser Buruli yang menyebabkan hampir 3,000 orang terseksa kerananya.

Show More

Related Articles

Back to top button