MalaysiaPolitik

Pakar Perlembagaan: Penubuhan Kabinet Khas Darurat Tidak Wajar

Pakar Perlembagaan menyifatkan cadangan supaya Jemaah Menteri sedia ada digantung untuk mewujudkan Kabinet Khas Darurat yang dicadangkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, sebagai tidak wajar dilaksanakan.

Ini kerana Kabinet sedia ada tidak terhapus melalui pengisytiharan darurat, selain kuasa pada Jemaah Menteri diiktiraf menerusi Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

 

Mengapa Kabinet Khas Darurat Dikatakan Tidak Perlu?

Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata justifikasi penubuhan Kabinet Khas Darurat itu disifatkan tidak jelas, selain mempersoal punca kuasa yang membolehkan ia dibentuk.

Sebaliknya, beliau berkata, cadangan lebih wajar ialah menubuhkan jawatankuasa dianggotai Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengimbangi setiap dasar kerajaan mengenai COVID-19.

“Dalam keadaan darurat, semua perjalanan kerajaan tidak terhapus secara automatik kecuali ada undang-undang membatalkan kuasa Kabinet sedia ada.

“Penggantungan Parlimen tidak menggantung kuasa jawatankuasa khas di bawahnya dan fungsinya perlu diteruskan, selain muncul sebagai kaedah bagi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negara menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap sebarang tindakan Kabinet.

 

Darurat Kali Ini Tidak Sama Berbanding Darurat Tahun 1969

“Tiada istilah Kabinet Darurat berikutan darurat ini berbeza berbanding pada 1969 kerana ketika itu Parlimen dibubarkan dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman yang antara lain turut menekankan kebimbangan 90 Ahli Parlimen dari negara Asia Tenggara terhadap pelaksanaan darurat di Malaysia.

Mengulas kebimbangan itu pula, Shamrahayu mempersoalkan keperluan untuk Malaysia tunduk kepada desakan pihak luar yang mungkin tidak memahami perundangan dan peruntukan negara.

“Kuasa perundangan kita masih berjalan dengan baik dan tidak memerlukan pihak luar untuk tunjuk arah pentadbiran negara. Kita sepatutnya berpaksikan Perlembagaan sebagai penunjuk arah di Malaysia.

“Kalau mahu memuaskan hati pihak luar, itu tidak bagus. Ia antara lain mempamerkan jati diri kita. Sepatutnya kita menggunakan jentera perundangan negara dengan sebaiknya,” katanya.

 

Cadangan Kabinet Khas Darurat Mustahil Dilaksanakan

Seorang lagi pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain, berkata cadangan itu mustahil untuk dilaksanakan, melainkan ada ordinan khusus membatalkan Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 serta menggantung Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Melalui ordinan itu, katanya, Kabinet interim yang boleh dikenali sebagai Kabinet Khas Darurat mampu ditubuhkan, selain kuasa Jemaah Menteri berkenaan terhad bagi pelaksanaan perincian Belanjawan 2021 tanpa menyentuh apa-apa berkaitan keputusan secara dasar.

Beliau berkata, komposisi keahlian Kabinet interim boleh dibuat mengikut kedudukan Jemaah Menteri terdahulu atau Perdana Menteri interim boleh mewujudkan kerajaan gabungan, membabitkan semua parti politik.

 

Walaupun Boleh Ditubuhkan Dengan Syarat, Ia Masih Tidak Perlu

“Kenapa perlu menafikan hak Kabinet sedia ada dan kalau macam itu, kita hendak memberi kuasa kepada siapa? Amalan syura memang ada walaupun Parlimen terbubar dengan keahliannya ditentukan Yang di-Pertuan Agong.

“Adalah lebih baik mengesyorkan supaya Parlimen dibubarkan ketika darurat ini dan Pilihan Raya Umum diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong yakin kesan COVID-19 tidak lagi menjejaskan pembangunan negara.

“Melalui syor ini, kerajaan boleh menjimatkan banyak wang kerana tidak perlu membayar gaji Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekali gus boleh digunakan bagi tujuan membanteras COVID-19,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button