AntarabangsaIsu Semasa

Apa Yang Menyebabkan Dokumentari Al Jazeera Ini Diarahkan Buang Dari Internet?

Dokumentari bertajuk ‘All the Prime Minister’s Men’ yang disiarkan oleh saluran berita Al Jazeera pada awal bulan ini telah diarahkan untuk dikeluarkan dari perkhidmatan internet di Bangladesh.

Mengapa Perkara Ini Berlaku?

Program berjam-jam yang diterbitkan oleh Al Jazeera yang berpusat di Doha dikatakan memaparkan dakwaan bahawa pasukan keselamatan negara itu dan perdana menteri, Sheikh Hasina ada kaitan dengan kumpulan penjenayah.

“Mahkamah Tinggi mengarahkan pengawal selia telekomunikasi Bangladesh supaya ‘menyingkir atau mengeluarkan dokumentari Al Jazeera dari ruang Facebook, Twitter, Youtube, Instagram dan lain-lain plaform digital yang dikongsi,” kata peguam pengawal selia, Khandaker Reza-e-Raquib, kepada AFP.

Beliau berkata, mahkamah menyifatkan dokumentari itu adalah ‘propaganda menentang Bangladesh’.

 

Bangladesh Mahukan Dokumentari Terbitan Al Jazeera Tersebut Dibuang

Dalam satu kenyataan selepas keputusan mahkamah, pengawal selia berkata, pihaknya akan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk membuang kandungan itu.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana Suruhanjaya Pengawal Selia Telekomunikasi Bangladesh akan membuang program itu.

Al Jazeera versi Inggeris sudah pun menyiarkan program itu di saluran Youtube rasminya di mana ia ditonton lebih 6.8 juta kali.

Sementara itu, jurucakap pengawal selia terbabit menyatakan, pihaknya sudah meminta Facebook dan Twitter untuk membuang dokumentari itu.

Namun, tiada komen segera dari mana-mana syarikat media sosial mengenai permintaan itu.

 

Apa Kata Orang Bangladesh Tentang Dokumentari Al Jazeera Ini?

Al Jazeera versi Inggeris disiarkan oleh rangkaian kabel televisyen di Bangladesh.

Tidak ada perintah mahkamah untuk menurunkan saluran terbabit.

Menurut pendakwa raya, Hemayet Unddin kepada AFP, kumpulan prokerajaan, Yayasan Bangabandu juga memfailkan aduan di mahkamah di bawah undang-undang hasutan ke atas pemangku Ketua Pengarah Al Jazeera Media Network, Mostefa Souag dan beberapa individu lain yang dipaparkan dalam dokumentari itu.

Dokumentari itu turut mendapatkan kecaman Kementerian Luar Bangladesh yang menyifatkannya sebagai ‘kempen memburuk-burukkan’ oleh parti Islam terbesar di negara itu, Jamaat-e-Islami yang dilarang bertanding dalam pilihan raya.

Di pihak tentera pula, mereka menyifatkan dokumentari itu mengandungi ‘banyak cerita putar-belit dan berita palsu’.

Unit Penyiasat Al Jazeera dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya menyokong 100 peratus etika kewartawanannya dan individu yang berani menyatakan tentangan terhadap rasuah dengan mempertaruhkan risiko peribadi dan keluarga mereka.

Minggu lalu, penyokong Perdana Menteri Bangladesh bertindak membakar patung David Bergman, seorang wartawan berpusat di London yang diwawancara untuk program terbabit.

 

Malaysia Juga Pernah Berdepan Dengan Masalah Dokumentari Al Jazeera

Pada tahun lalu, Malaysia juga pernah membuka kertas siasatan menyeluruh terhadap penerbitan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ oleh Al Jazeera International (Malaysia) Sdn Bhd (Al Jazeera) kerana kandungannya dan bukan bermotif politik

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata siasatan terhadap syarikat penyiaran antarabangsa itu dilakukan kerana laporan dokumentari itu tidak tepat, tidak bertanggungjawab dan tidak adil sehingga menimbulkan kemarahan rakyat di media sosial.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh dilakukan polis terhadap dokumentari berdurasi 25 minit itu juga membabitkan pihak lain iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Show More

Related Articles

Back to top button