Walaupun kebanyakan wanita di Korea Utara hanya dibenarkan mengenakan makeup yang sederhana, dengan fesyen rambut yang ditetapkan hanya beberapa gaya sahaja, ini tidak menyekat Korea Utara daripada mendirikan industri kecantikan mereka tersendiri.
Malah, menurut KCNA, industri kecantikan di Korea Utara semakin berkembang.
Ratusan Ribu Produk Keluaran Industri Kecantikan Korea Utara
Pada bulan November 2020, Pyongyang telah mengadakan sebuah acara memperkenalkan barangan kecantikan negara tersebut.
Walaupun ia tidak terkenal di luar negara tetapi mereka memiliki lebih 137,000 produk kecantikan.
Ini termasuk sabun baharu yang boleh menghapuskan kotoran daripada kulit dan kosmetik yang mampu membantu dengan sistem peredaran darah, serta kosmetik anti-penuaan dan banyak lagi.

Kilang Kosmetik Korea Utara Milik Keluarga Kim Jong Un
Kilang kosmetik pertama negara tersebut didirikan pada tahun 1949 oleh datuk Kim Jong Un iaitu pendiri Korea Utara, Kim II Sung.
Kim II Sung menyedari kuasa kecantikan itu boleh mengubah minda seseorang lalu menggunakan kosmetik untuk memberi suntikan moral kepada tentera wanita di Manchuria ketika peperangan dengan Jepun.
Mengikuti jejak langkah datuknya ini, Kim Jong Un melabur kepada jenama yang dihasilkan oleh Pyongyang seperti Unhasu dan Bomhyanggi untuk membangunkan “kosmetik terbaik dunia” kata KCNA dalam sebuah laporan pada tahun 2017.

Mengapa Korea Utara Mendirikan Kilang Kosmetik?
Dorongan untuk membangunkan industri kosmetik tempatan terjadi apabila terdapat pelbagai sekatan antarabangsa yang menyebabkan Korea Utara sukar untuk mendapatkan bahan dan produk import berkualiti tinggi.
Menurut CNN, dengan pertumbuhan populariti terhadap produk kecantikan Korea Selatan, Korea Utara mahu menghasilkan kosmetik mereka sendiri untuk dieksport dengan mengambil inspirasi daripada pembungkusan produk Korea Selatan serta kandungan popular seperti ginseng.
Industri Kecantikan Korea Utara Terkini
Pada awal 2021, KCNA melaporkan bahawa kilang tempatan, Sinuiju kosmetik telah membangunkan kosmetik yang pelbagai fungsi seperti serum pertumbuhan bulu mata dan masker kecantikan untuk rawatan jerawat.
Produk-produk ini telah pun dieksport ke negara seperti Rusia dan China.
Namun begitu, ia masih dilihat kurang bervariasi berbanding jenama antarabangsa.