AntarabangsaIsu Semasa

Kelawar Pembawa Virus Covid-19 Bukan Hanya Ada Di China

Penyelidikan mendapati ‘horseshoe bat‘ atau kelawar ladam kuda yang mirip kepada spesies kelawar pembawa koronavirus menyebabkan COVID-19, turut ditemui di luar China.

Penemuan terbaharu pakar penyelidik itu menguatkan teori sebelum ini yang mendakwa pandemik terbabit mungkin tidak berasal dari China, sebaliknya sampai di Wuhan daripada tempat lain.

Salah seorang penyelidik dari Sekolah Perubatan Duke-NUS di Singapura, Profesor Wang Linfa, yang terbabit dalam kajian mengenai COVID-19 itu turut mengesahkan penemuan berkenaan.

 

Bagaimana Untuk Menentukan Spesies Kelawar Pembawa Virus?

“Bagi menentukan sama ada sesuatu spesies itu adalah pembawa koronavirus, harus ada persamaan genetik lebih 99 peratus antara genom SARS-CoV-2 dan virus pada haiwan.

“Kaedah ini sama seperti yang digunakan ketika penyelidikan virus sindrom pernafasan akut teruk (SARS),” katanya yang bertanggungjawab menemui spesies kelawar pembawa asal virus SARS pada 2003.

Hasil kajian terbaru itu diterbitkan semalam dalam jurnal Nature Communications, mengenai penemuan koronavirus pada kelawar ladam kuda Rhinolophus acuminatus di Thailand.

Virus itu mempunyai persamaan 91.5 peratus dengan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19.

 

Spesies Apa Sahaja Yang Hampir Sama Dengan Kelawar Pembawa Virus Covid-19?

Setakat ini, virus terdekat dengan SARS-CoV-2 dikesan pada kelawar ladam kuda Rhinolophus affinis di wilayah Yunnan, China, dengan persamaan genetik 96.2 peratus.

Dalam kajian awal yang diterbitkan Januari lalu, penyelidik turut menemui virus yang sama dalam kelawar ladam kuda Rhinolophus shameli di Kemboja dengan ketepatan virus 92.6 peratus menyamai SARS-CoV-2.

Kesemua tiga spesies kelawar ladam kuda itu adalah dari jenis Rhinolophus, di mana terdapat lebih 100 spesies dalam kumpulan kelawar yang ditemui secara meluas dari Australia ke Eropah.

Bagaimanapun, ketiga-tiga spesies Rhinolophus yang sudah terbukti menjadi pembawa coronavirus dikaitkan dengan SARS-CoV-2 itu tidak ditemui di Singapura.

 

Kesan Menghapuskan Kelawar Pembawa Virus Covid-19

Dalam pada itu, Prof Wang menegaskan tindakan memusnahkan hidupan liar itu bukan pilihan bijak bagi mengekang penularan virus yang dibawanya.

“Ini kerana kajian menunjukkan mengganggu habitat kelawar dan memusnahkannya tidak dapat mengubah tingkah lakunya, malah mungkin meningkatkan kadar penyebaran atau pemindahan virus kepada spesies lain,” katanya.

Seorang lagi penyelidik di NUS, Chua, turut bersetuju dengan pandangan Prof Wang kerana virus mudah bermutasi mengikut keadaan.

“Apa yang lebih penting ialah manusia elakkan mengganggu habitat hidupan liar dan jauhkan diri daripada binatang liar selain meningkatkan pengawasan serta pemantauan bagi membendung penularan virus.

“Tambahan pula, kelawar ada peranan dalam ekosistem kerana ia adalah pemangsa serangga yang menjaga keseimbangan jumlah serangga dan menjadi penyebar benih yang penting,” katanya.

Tambah beliau, jika dibandingkan dengan risiko penternakan haiwan berskala besar di mana haiwan berada dekat dengan manusia, kemungkinan penularan zoonosis daripada haiwan liar kepada manusia lebih rendah.

Show More

Related Articles

Back to top button