AntarabangsaIsu Semasa

Ribuan Petani India Bantah Pelan Reformasi Pertanian Kerajaan

Puluhan ribu polis terpaksa dikerahkan ke seluruh India untuk berkawal ekoran tunjuk perasaan oleh petani yang membantah pelan reformasi pertanian kerajaan India.

Sebanyak sepuluh stesen metro ditutup di pusat bandar New Delhi, di mana traktor berhimpun bulan lalu sehingga keadaan bertukar menjadi ganas, manakala ribuan polis dikerahkan berkawal selain mengadakan sekatan di persimpangan utama.

 

Protes Kesatuan Petani Diadakan Di Seluruh India Membantah Pelan Reformasi Pertanian India

Berikutan itu, kesatuan petani menggesa protes diadakan di sekatan jalan raya di seluruh negara sebagai langkah baharu.

Penyokong memenuhi puluhan jalan dan pondok tol selama tiga jam di beberapa negeri tetapi tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.

Polis dikerahkan ke negeri Uttar Pradesh di mana terletaknya kebanyakan kawasan perladangan utama dan menjadi kubu tradisional parti pro-kerajaan.

Justeru, kumpulan petani menangguhkan tindakan mereka di negeri berkenaan bagi mengelak sebarang pertembungan.

 

Mengapa Para Petani Membantah?

Puluhan ribu petani sanggup berkhemah di pinggir New Delhi sejak November lalu, bagi mendesak pembatalan pelan reformasi untuk liberalisasi pasaran hasil pertanian.

Petani mendakwa perubahan itu bermaksud industri pertanian yang dianggap penting akan diambilalih oleh konglomerat utama termasuk kartel yang mengawal harga.

Sokongan kerajaan untuk petani, termasuk harga minimum yang dijamin untuk tanaman penting tertentu, membantu India mengatasi krisis kelaparan pada tahun 1960-an. Tetapi dengan India meliberalisasikan ekonominya dalam beberapa dekad kebelakangan ini,  peranan besar pemerintah tidak lagi berkekalan.

Petani, bagaimanapun, berpendapat bahawa mereka berjuang walaupun dengan bantuan yang diberikan kerajaan. Mereka mengatakan bahawa undang-undang baharu yang mesra pasaran itu akhirnya akan menghilangkan sokongan pengawalseliaan dan membiarkan mereka kerugian.

 

Tunjuk Perasaan Bakal Dilanjutkan Sehingga Setahun

Meskipun pihak berkuasa meningkatkan tekanan di kem tunjuk perasaan di New Delhi dengan memotong kemudahan internet dan bekalan air, petani nekad untuk meneruskan kempen mereka.

Salah seorang pemimpin petani, Rakesh Tikait, hari ini berkata tunjuk perasaan akan berlanjutan sehingga 2 Oktober ini, bermakna untuk tempoh setahun sekiranya kerajaan tidak memansuhkan undang-undang baharu itu.

Beliau memberitahu akhbar Indian Express bahawa terdapat ribuan petani lagi mahu datang ke New Delhi untuk menyertai tunjuk perasaan dan langsung tidak akan tergugat dengan pagar kawat berduri yang dipasang sekitar kem.

“Mereka boleh letak paku atas tanah, kita akan letakkan tanah di atasnya dan tanam bunga. Kita tak takut dengan sekatan atau tindakan pihak berkuasa.

“Kami tidak menyangka polis akan menutup kawasan ini, sekiranya mereka lakukannya, ada penunjuk perasaan di sini yang akan menerobos semua halangan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button