AntarabangsaIsu Semasa

Apa Sebenarnya Terjadi Di Myanmar Sehingga Aung San Suu Kyi Ditahan

Penahanan Aung San Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin kanan tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan negara itu.

Aung San Suu Kyi ditahan di subuh hari 1 Februari 2021 ketika seharusnya parlimen bersidang untuk kali pertama setelah pilihan raya Myanmar November lalu.

Mengapa Tentera Bertindak Untuk Merampas Kuasa Daripada Suu Kyi?

Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Parti pembangkang yang disokong oleh pihak tentera berkata terdapat nama yang tidak wujud dalam senarai pengundi dan cubaannya untuk menyelesaikan masalah itu ditolak oleh suruhanjaya pilihan raya, yang telah menafikan terdapat penipuan yang meluas.

Menurut penganalisis politik, Soe Myint Aung, percaturan politik Suu Kyi yang berjaya mendapat mandat rakyat untuk lima tahun lagiĀ  itu tidak dijangka oleh junta tentera yang terus melihat pengaruh mereka semakin terhakis.

“Dari perspektif mereka (tentera), Suu Kyi kehilangan kawalan yang ketara terhadap kerajaan, namun pada hakikatnya beliau menjadi lebih popular dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sistem Politik Myanmar Dikawal Tentera Walaupun Baru Beralih Menjadi Negara Demokrasi

Myanmar yang baru sedekad keluar selepas hampir 50 tahun diperintah tentera, masih berada di bawah sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera walaupun pada hakikatnya berkongsi kuasa dengan pentadbiran dipilih rakyat.

Myanmar diperintah rejim tentera sejak merdeka dari kuasa penjajah Britain pada 1948.

Jeneral Ne Win menggulingkan pemerintahan awam pada 1962, dengan mendakwa ia tidak cukup berwibawa untuk memerintah.

Beliau menguasai negara itu selama 26 tahun sebelum berundur pada 1988 selepas tercetus tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara terhadap kelembapan ekonomi dan pemerintahan diktator.

Pemimpin Junta, Jeneral Than Shwe, berundur pada 2011, menyerahkan kuasa kepada pemerintah jeneral yang sudah bersara, mengikut Perlembagaan terkini.

Perlembagaan 2008 menetapkan peranan politik berterusan yang kuat kepada tentera, dengan kawalan kementerian dalaman, perbatasan dan pertahanan utama diberi kepada mereka.

Sebarang perubahan memerlukan sokongan anggota Parlimen tentera, yang menguasai satu perempat kerusi di Parlimen negara itu.

Suu Kyi dan pemerintahnya berusaha mengubah piagam itu sejak memenangi pilihan raya pada 2015, dengan sedikit kejayaan dan berjaya mendapat mandat rakyat untuk lima tahun lagi pada pilihan raya November lalu.

Suu Kyi tetap menjadi tokoh terkenal di Myanmar biarpun imejnya pada peringkat antarabangsa tercalar ekoran tindakan kerasnya terhadap minoriti Rohingya pada 2017.

Selepas tentera menahan Kaunselor, Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar, U Win Myin dan pegawai kanan lain, tentera Myanmar mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Ming Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden yang diberi kuasa negara.

Pengumuman di siaran milik tentera, TV Myawaddy, menjelaskan langkah itu perlu bagi menjaga ‘kestabilan’ negara, selain mendakwa suruhanjaya pilihan raya negara itu gagal menangani ‘penyelewengan besar’ dalam pemilihan, pada November lalu dan menuduh terdapat ‘organisasi parti lain’ yang merosakkan kestabilan negara.

Rakyat Myanmar Panik Membeli Barangan Dapur & Keluarkan Wang Kerana Myanmar Diisytihar Darurat

Pengisytiharan ditandatangani Naib Presiden Pertama, U Myint Swe, yang bertugas sebagai pemangku Presiden, seperti diumumkan di TV Myawady.

Akibat daripada pengisytiharan darurat ini, penduduk Myanmar bergegas membeli barangan dapur dan mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Latar Belakang Aung San Suu Kyi

Bagi yang tidak berapa tahu siapa itu Aung San Suu Kyi, beliau merupakan anak kepada Aung San, seorang ahli politik dan ketua tentera yang membantu Myanmar mendapatkan kemerdekaan daripada British pada tahun 1948.

Beliau menjadi terkenal berdekad setelah itu apabila berani mencabar general negara sehingga menyebabkan di menjadi tahanan rumah pada tahun 1989, setahun seebelum parti yang diketuainya memenangi pilihan raya.

Suu Kyi dianugerahkan Anugerah Keamanan Nobel pada tahun 1991 dan menjalani tahanan selama 15 tahun dalam jangka masa dua dekad yang menyebabkan beliau menjadi antara tahanan politik terkenal.

Aung San Suu Kyi dibebaskan pada tahun 2010 ketika Myanmar mula mengalami transisi ke arah negara berdemokrasi.

Parti pimpinannya menjadi parti pemerintah pada tahun 2015 setelah memenangani pilihan raya bersejarah dan berkongsi kuasa dengan tentera.

Suu Kyi yang kini berusia 75 tahun, turut memenangi sebuah kerusi Parlimen tidak boleh menjadi Presiden kerana Perlembagaan negara itu melarang beliau memegang jawatan tersebut kerana wanita berkenaan berkahwin dengan warga asing dan mempunyai dua orang anak warga asing.

Berikutan larangan tersebut beliau yang pernah menjadi ikon demokrasi di Myanmar dilantik menjadi Kaunselor Negara iaitu jawatan yang setaraf dengan Perdana Menteri dan diwujudkan semata-mata untuknya.

Akan tetapi imej Aung San Suu Kyi sebagai ikon hak asasi manusia tercalar hebat ketika tidak berjaya menangani masalah tuduhan genosid di Myanmar setelah operasi ketenteraan yang dahsyat berlaku di Rakhine sehingga 740,000 orang minoriti Rohingya terpaksa melarikan diri keluar negara.

Akibat daripada ini, anugerah Nobelnya juga telah ditarik balik pada tahun 2018 dan beliau dipaksa menghadap ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2019.

Siapakah Ketua Tentera Min Aung Hlaing?

Ketua Komander Min Aung Hlaing, 64 tahun merupakan ketua tentera tertinggi sejak tahun 2011 ketika Myanmar melalui transisi demokratik. Kehadirannya dianggap untuk menjaga kepentingan politik dan ekonomi jangka panjang pihak tentera.

Namun, beliau tidak mengaku terkait dengan perlembagaan negara yang melindungi peranan tentera Myanmar termasuk 25% kerusi yang dijamin di parlimen Myanmar serta klausa melaran Suu Kyi menjadi Presiden.

Pada tahun 2016, Min Aung Hlaing memutuskan untuk terus menjadi ketua Myanmar selama lima tahun lagi dan tidak menyisihkan rombakan yang dijadualkan.

Aung Hlaing telah memperlihatkan fahaman politiknya sejak kebelakangan ini dengan memberi komen di Facebook tentang perkara berkaitan hal ehwal Myanmar termasuk operasi ketenteraan terhadap Rohingya sehingga Facebook menyekat akaunnya pada tahun 2018.

Amerika Syarikat juga sempat mengenakan sangsi ke atas Gen. Min Aung Hlaing serta pemimpin kanan ketenteraan lain pada tahun 2019 kerana terkait dengan kempen dahsyat terhadap Rohingya.

Kini beliau telah mengambil alih kekuasan Myanmar, antara ujian pertama yang perlu dilaluinya ialah bagaimana hendak bertindak balas terhadap sebarang bantahan keputusan tentera untuk menahan Suu Kyi dan anggota kanan partinya.

Apa Kata Amerika Syarikat, China & Negara-Negara Lain Tentang Ini

Amerika Syarikat (AS) bersama negara lain di seluruh dunia menggesa demokrasi dipulihkan di Myanmar selepas rampasan kuasa oleh tentera dan penangkapan pemimpinnya, Aung San Suu Kyi serta ahli politik lain.

Jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki, dalam satu kenyataan, menegaskan AS akan ‘mengambil tindakan’ terhadap mereka yang bertanggungjawab sekiranya langkah pemulihan demokrasi itu tidak disegerakan.

Katanya, AS menentang segala usaha untuk mengubah keputusan pilihan raya November lalu.

China, yang kerap menentang campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, meminta semua pihak bekerjasama untuk mencari penyelesaian.

Nada sama disuarakan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, yang mengecam penahanan Suu Kyi, Presiden Myanmar, U Win Myint dan pemimpin lain.

Kementerian Luar Jepun, dalam kenyataannya, menggesa tentera memulihkan sistem politik demokratik di Myanmar dengan segera serta mendesak pembebasan Suu Kyi.

Kutukan Keras Terhadap Rampasan Kuasa Tentera Oleh Pemimpin Dunia

Sementara Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, mengutuk keras rampasan kuasa itu dan minta semua pihak menerima serta mematuhi keputusan pilihan raya.

“Kami meminta tentera menghormati undang-undang, menyelesaikan perselisihan melalui mekanisme yang sah dan segera membebaskan semua pemimpin serta mereka yang ditahan secara tidak sah,” kata Menteri Luar Australia, Marise Payne.

Kementerian Luar India, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya Kami meneliti perkembangan di Myanmar secara mendalam.

“India sentiasa tegas menyokong proses peralihan demokratik di Myanmar dan kami percaya kedaulatan undang-undang serta proses demokrasi mesti ditegakkan,” katanya.

Pemimpin ASEAN Juga Mengecam Tindakan Tentera Myanmar

Kementerian Luar Singapura dan Kementerian Luar Indonesia turut menyatakan keprihatinannya mengenai perkembangan terbaru di Myanmar, dengan harapan semua pihak bertenang bagi mencapai keputusan terbaik.

Kementerian Luar Norway, dalam ciapan di Twitter, mengecam perkembangan di Myanmar dan mendesak pemimpin tentera mematuhi undang-undang demokratik serta menghormati keputusan pilihan raya.

Kementerian Luar, Malaysia pula menggesa tentera Myanmar serta pihak berkaitan agar mengutamakan keamanan dan keselamatan di negara itu, mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menyelesaikan sebarang percanggahan elektoral melalui mekanisme undang-undang dan dialog secara aman.

Tindak Balas Aung San Suu Kyi Dan Parti NLD

Selepas ditahan, Aung San Suu Kyi yang merupakan Pengerusi Parti Liga Demokrasi Kebangsaan Myanmar (NLD) menggesa seluruh rakyat Myanmar menolak rampasan kuasa oleh pihak tentera dan membantah tindakan berkenaan.

Pihak tentera lewat malam tadi mengumumkan seramai 24 menteri dan timbalan menteri di bawah kepemimpinan Suu Kyi sudah dilucutkan jawatan.

Mereka kemudian menamakan 11 pengganti untuk menyandang jawatan bagi portfolio kewangan, kesihatan, penerangan, ehwal luar negara, pertahanan dan ehwal dalam negeri, lapor agensi berita CNA.

“Tindakan pihak tentera adalah perbuatan untuk meletakkan Myanmar di bawah kepimpinan seorang diktator,” menurut NLD dalam kenyataannya.

Kenyataan itu, yang dikeluarkan melalui laman Facebook Aung San Suu Kyi, turut menegaskan bahawa tindakan pihak tentera itu adalah satu tindakan yang tidak wajar dan bertentangan dengan perlembagaan dan kehendak pengundi.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan siapa yang memuat naik kenyataan itu kerana anggota NLD tidak menjawab sebarang panggilan telefon.

Seorang pemimpin kanan NLD menegaskan bahawa keputusan Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing untuk merampas kuasa ketika Myanmar sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 menunjukkan cita-cita peribadi dan bukan kepentingan negara dan rakyat Myanmar.

Show More

Related Articles

Back to top button