Hiburan

‘Kerana Korona’ Papar 3 Kisah Ketika Pandemik

Memasuki 2021, Astro Shaw tampil dengan sebuah filem yang diinspirasikan daripada latar sebenar iaitu ketika negara kita berada dalam situasi pandemik Covid-19. Filem ‘Kerana Korona’ mempersembahkan tiga cerita yang mempunyai pertalian dengan satu harapan, telah menemui penonton di Astro First sejak 21 Januari. Ia adalah filem arahan Kabir Bhatia.

 

‘Kerana Korona’ Membawa Sisi Positif PKP

Menariknya, filem Kerana Korona akan membawa penonton lebih menghayati nilai murni serta melihat dari sudut positif di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seperti babak keluarga, ia menyaksikan hakikat PKP memberi peluang untuk mereka memperbaiki serta lebih mengeratkan lagi hubungan bersama orang tersayang.

Bukan itu sahaja, bagi babak di kampung pula menonjolkan mesej yang mana berlakunya PKP itu membuatkan masyarakat Malaysia lebih bersatu membantu antara satu sama lain supaya dapat sama-sama meneruskan perjuangan dalam waktu getir.

 

Barisan Pelakon Berbakat Bakal Menusuk Emosi

Sarat dengan emosi, setiap babak dijayakan dengan begitu baik oleh barisan pelakon berbakat tanah air seperti Rita Rudaini, Rashidi Ishak, Ummi Nazeera, Shasha Abedul, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Idan Aedan, Umar Shakur dan Anwaar Beg Moghal.

Ini juga adalah gandingan semula Rita dan Rashidi sebagai pasangan suami isteri selepas filem Cinta pada 2006.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Kerana Korona adalah filem pertama yang diterbitkan tahun ini oleh Astro Shaw istimewa buat tayangan ‘di pawagam rumah anda’, Astro First.

“Tahun lalu adalah tahun yang cukup mencabar buat semua dan kami memahami setiap orang pasti mempunyai kisah mereka tersendiri. Jadi, Astro Shaw menginspirasikan latar sebenar iaitu ketika dalam tempoh PKP kepada bentuk filem dengan mengangkat kisah serta konflik berbeza yang mana ia berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

 

Cerita Sebegini Belum Pernah Lagi Difilemkan

“Menariknya, cerita sebegini tidak pernah lagi difilemkan. Maka, diharap menerusi Kerana Korona sedikit sebanyak ia mampu mengingatkan penonton bahawa meskipun kita berada dalam tempoh sukar, sentiasa hargai orang di sekeliling. Terutama keluarga tersayang kerana setiap mereka mungkin sedang melalui pergolakan masing-masing.

“Kini, memandangkan sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu menempuhi sekali lagi tempoh PKP, lalu kami merasakan sekarang adalah masa yang tepat untuk filem dengan tema sebegini menemui penonton bagi mengisi masa mereka dengan menonton bersama keluarga dan terus kekal berada di rumah,” katanya.

 

Sinopsis ‘Kerana Korona’

Filem Kerana Korona memuatkan tiga kisah yang mempunyai pertalian di mana Zati (Rita) tidak bahagia bersama Razman (Rashidi). Meskipun suaminya sentiasa berada di rumah, namun mereka semakin menjauh.

Manakala, anak mereka, Harun (Idan Aedan) yang mempunyai cita-cita sebagai jurufoto, namun impiannya dipandang rendah oleh Zati dan Razman.

Bosan kerana melihat ibu bapanya sering bertengkar, Harun mula keluar secara sembunyi ketika PKP bersama Maya. Manakala, adiknya Bob (Umar) berusaha menyediakan aktiviti di rumah untuk Zati dan Razman supaya mereka berbaik.

Kisah kedua mengenai doktor bernama Janna (Ummi Nazeera) yang berdepan dilema tanggungjawab dan pendirian.

Manakala, kisah ketiga mengenai warga emas, Leman (Jalaluddin) yang keras kepala dan abaikan prosedur operasi standard (SOP) sehingga merisaukan jirannya, Leila (Fatimah Abu Bakar). Sementara itu, Leila hidup kesunyian dan tidak berhubung dengan anaknya, Razman.

Sehubungan itu, saksikan filem Kerana Korona yang akan disiarkan Astro First di saluran 480. Anda juga boleh strim Kerana Korona di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama dua hari secara berulang-ulang. Bagi maklumat lanjut filem ini boleh didapati di platforom media sosial pihak penerbitan.

Show More

Related Articles

Back to top button