Teknologi

Keadaan Pasaran Sony PlayStation 5 di Malaysia

Sony PlayStation 5 adalah konsol generasi terbaru yang paling popular terutama di negara-negara Asia. Ia menjadi tumpuan peminat permainan video untuk memperolehnya sejak tarikh pelancaran diumumkan sekitar September 2020 dan peminat di Malaysia tidak terkecuali.

Namun, akibat kuantiti unit yang terhad, konsol ini menjadi ‘barang panas’ ketika tempoh pra-tempahan kepada semua orang termasuk ‘penjual kedua’ (scalper).

Harga pasaran untuk PlayStation kini terbahagi kepada dua; harga rasmi dan harga ‘pejual-kedua’.

 

Fasa Pra-Tempahan Sony PlayStation 5 Di Malaysia

Ketika tempoh ini, terutama di Malaysia, kuantiti yang terhad menjadi isu kepada sesiapa yang ingin menempahnya.

Untuk 2 jenis model PlayStation 5 – model Ultra HD Blu-ray dan model digital – kedua-duanya terjual dalam tempoh yang singkat.

Beberapa pengguna berkongsi pengalaman membuat tempahan menyatakan laman web rasmi Sony dan beberapa pengedar permainan video terpilih mengalami ‘kesesakkan trafik’ yang teruk.

Ada juga yang menyatakan tempoh pra-tempahan tamat hanya di dalam 15 minit.

Namun, di dalam pelanggan yang berjaya membuat tempahan, terdapat peratus yang tinggi membeli dengan tujuan untuk menjual kembali pada harga yang lebih tinggi.

 

Pasaran Dan Harga Sony PlayStation 5 Di Malaysia

Melalui keadaan ini, pilihan untuk memiliki konsol ini dalam masa terdekat dilihat tipis kerana terdapat pengawalan unit di pasaran oleh beberapa individu yang mempunyai akses kepada unit-unit ini.

Setelah konsol ini mula dijual dan dikeluarkan di pasaran Malaysia pada Disember 2020, penjual kedua turut memasuki pasaran dengan harga mereka tersendiri.

Harga rasmi PlayStation untuk pasaran Malaysia adalah RM1,869 untuk model digital dan RM2,299 untuk model Ultra HD Blu-ray.

Namun, ia kini dijual kembali oleh penjual kedua pada harga yang mampu mencapai RM3,500 untuk model digital dan RM5,000 untuk model Ultra HD Blu-ray.

Terdapat khabar angin unit dan harga konsol-konsol ini turut dikawal oleh beberapa pengedar dan kedai permainan video yang mempunyai stok untuk menjana keuntungan yang lebih.

Walaupun pra-tempahan telah diumumkan ditutup oleh Sony Malaysia dan pengedar rasmi di Malaysia, konsol-konsol ini boleh diperolehi di pasaran sekitar Malaysia pada harga ‘penjual kedua’.

Beberapa gedung IT sekitar Malaysia turut menjualnya di dalam beberapa unit ‘terhad’ dan menggunakan alasan “stok tidak banyak”, membolehkan mereka menjual konsol ini pada harga yang lebih tinggi.

 

Bersabar, Beli Pada Harga dan Waktu Yang Betul

Harga yang dimanipulasi ini terjadi akibat faktor peminat konsol generasi terbaru yang tidak sabar memperolehnya secepat yang mungkin.

Dengan stok yang terhad, sesiapa yang terlalu menginginkan cederung membeli kepada penjual kedua apabila gagal membeli ketika tempoh pra-tempahan.

Oleh itu, kepada yang berhasrat ingin membeli konsol tersebut, tunggu untuk panggilan stok seterusnya dan jangan terpedaya untuk membelinya ketika ini.

Sony juga dijangkakan akan mengeluarkan lebih banyak PlayStation 5 seawal Mac ini – dengan itu lambakan unit ‘penjual kedua’ akan menjadi masalah kerana ada sesetengah unit sudah mendaftar untuk tarikh waranti.

Show More

Related Articles

Back to top button