Sukan

Adakah Kobe Chong Bakal Menjadi Pemain Harimau Malaya Tahun Ini?

Kobe Chong merupakan pemain muda yang diharapkan dapat menajamkan lagi taring Harimau Malaya dengan kehadirannya. Walau bagaimanapun, harapan untuk beliau menyertai skuad B-19 tidak menjadi kenyataan tahun lalu di mana hanya seorang lagi pemain yang bertapak di luar negara, Wan Kuzri Wan Kamal yang menyertai kem latihan pusat.

Saingan AFC B-19 Tahun 2020 ditunda ke tahun 2021  dan Kobe dilihat masih lagi berpeluang untuk memperkuatkan skuad B-19 tahun negara.

Malah ada peminat dan penulis sukan berharap bekas pemain bawah 17 tahun Cagliari, boleh menjadi senjata baharu bergandingan dengan pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dalam mengharungi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pasukan Harimau Malaya Sudah Dibenarkan Berlatih Semula Walaupun PKP

Mendapat khabar baik untuk pasukan Harimau Malaya menjalankan latihan di kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil secara kuarantin menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2021 merupakan satu kelegaan untuk pasukan dan juga para peminat.

Ia memberi ruang untuk pasukan negara membuat persiapan sekiranya saingan kelayakan tersebut tetap berlangsung Mac depan.

Bila Latihan Skuad Harimau Malaya Akan Bermula?

Buat masa ini pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe masih berbincang dengan pihak FAM untuk menentukan tarikh untuk memulakan latihan.

“Setakat ini, kami belum bincang sama ada akan bermula latihan awal atau tidak dan kami akan melihat keadaan Covid-19 ini sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada Sinar Harian
.

Cheng Hoe turut memberikan bayangan beliau tidak akan melakukan rombakan besar dalam senarai pemain yang akan dipanggil seperti yang telah dirancang sebelum kem latihan pusat dibatalkan baru-baru ini.

Siapakah Yang Bakal Disenaraikan Dalam Skuad Latihan Kebangsaan Kali Ini?

“Saya belum muktamadkan lagi senarai nama tersebut kerana ada pertukaran tarikh dalam sesi latihan. Saya akan buat keputusan kemudian sama ada kekalkan nama sedia ada atau panggil pemain lain.

“Tetapi saya boleh bagi jaminan semua pemain terbabit sudah pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan sebelum ini,” jelasnya.

Adakah Kobe Chong Bakal Menjadi Pemain Harimau Malaya?

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan pemain berkenaan yang kini berkelana di England.

Beliau berkata, sebelum ini, Kobe pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad B-19 negara, namun dia tidak boleh menyertai pasukan berikutan menghadapi kekangan terutama membabitkan kelab yang disertainya.

“Sebelum ini sememangnya FAM ada berhubung dengan pemain berkenaan dan pernah memanggil Kobe menyertai sesi latihan bersama skuad kendalian Brad Maloney.

“Namun, Kobe menyatakan dia menghadapi beberapa masalah antaranya ketika itu sedang menyertai saingan liga bersama pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kobe Chong Memang Mahu Menyarung Jersi Harimau Malaya

Kobe sememangnya sudah lama menyimpan hasrat menyarung jersi kebangsaan malah ketika ini boleh dikatakan berada pada tahap memuaskan bersama kelab Sutton Coldfield Town.

Dalam satu wawancara bersama Astro Arena pada Mei 2020, Kobe mengulas mengenai kemungkinan beliau pulang dan beraksi bersama Malaysia sekiranya mendapat surat tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Satu penghormatan yang besar (jika dipanggil) kerana saya mewakili negara asal saya. Selain itu, beraksi bersama pasukan negara akan memberikan satu rasa bangga kepada saya.

“Kerja keras selama ini berbaloi sekiranya dipanggil menyertai skuad kebangsaan terutamanya Malaysia. Saya merasa bangga sekiranya dipanggil,” kata Kobe.

Sebab Mengapa Kobe Chong Tidak Dapat Menyertai Skuad B-19 Tahun Lalu

Kobe pernah memberi bayangan bahawa beliau akan memilih Malaysia sebagai pasukan yang diwakilinya di pentas antarabangsa menerusi laman Instagram Story milik beliau.

Pada penghujung 2020, Kobe Jae Chong menjelaskan mengapa beliau tidak dapat menyertai kem latihan pusat Skuad B-19 menerusi akaun Twitter miliknya.

Menurutnya beliau mempunyai beberapa peluang di UK, selain terdapat tempoh kuarantin selama 14 hari yang diwajibkan oleh kerajaan Malaysia ekoran pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Show More

Related Articles

Back to top button