MalaysiaPolitik

Annuar Musa Enggan Bersubahat Dengan Zahid Hamidi

Bekas Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa mengakui parti Melayu terbesar itu sudah berpecah kepada tiga kumpulan.

Ahli Parlimen Ketereh itu mengakui, kelompok berkenaan terdiri daripada kumpulan yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan yang berada di tengah-tengah.

 

Tiga Kelompok Dalam UMNO

Tidak ketinggalan, kata beliau, wujud juga kumpulan dalam UMNO yang menerima kerjasama dengan parti pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Bagaimanapun, Annuar berkata, beliau cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan perpecahan itu, biarpun persepsi memperlihatkan dirinya lebih ke arah mesra Bersatu.

“Ya, jawabnya adalah ya. Memang sekarang UMNO berpecah. (Tetapi) saya tidak benarkan. Sebab itu saya melawan. Sebab itu saya ketengahkan idea supaya ahli-ahli UMNO mula berfikir. Masalah sekarang manipulasi ini banyak dibuat pemimpin di atas, tetapi maklumat tidak sampai sepenuhnya kepada akar umbi.

“Kemudian kita gunakan akar umbi untuk sokong cara-cara dan idea kita. Padahal kita tidak menjelaskan sepenuhnya kepada akar umbi UMNO,” katanya lagi.

 

Perkara-Perkara Yang Perlu Diperjelaskan Oleh Pimpinan UMNO

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, antara perkara yang tidak dijelaskan dengan tepat ialah khabar angin mengenai kerjasama dengan DAP dan isi sebenar rundingan dengan Bersatu.

Jelasnya, salah faham dan persepsi itu timbul apabila segelintir pemimpin enggan bertembung atau bercanggah pendapat kerana aliran itu dibawa Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan orang-orang kanan sekitar Presiden.

“UMNO parti konservatif. Sebab itu akan ada orang yang terpaksa membakar diri kalau perlu, termasuk saya untuk melontarkan idea yang sedikit berbeza tetapi lama-kelamaan saya percaya akan berlaku perubahan berasaskan kepada kesedaran dan maklumat yang lebih banyak. Orang yang di bawah adalah orang yang jujur ikhlas.

“Sekarang ini dalam kalangan kami banyak yang sependapat. Saya, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri, KJ (Khairy Jamaluddin), Ku Nan (Tengku Adnan Tengku Mansor), Norani (Datuk Seri Noraini Ahmad), Annuar Nasarah (Datuk Shamsul Anuar Nasarah), ramai pemimpin kanan.

“Tetapi kami tidak bersuara kerana menghormati, tetapi apabila jadi seperti sekarang ini, ke hulu tidak ke hilir pun tidak, cuba tarik diri,” katanya lagi.

 

Mengapa Annuar Musa Tidak Mahu Bersekongkol Dengan Zahid Hamidi?

Beliau berkata, keengganan mereka untuk bersekongkol itu timbul kerana kerajaan Perikatan Nasional, apabila diancam secara berlebihan, mereka mampu bertindak-balas dengan pelbagai jenis pilihan yang ada.

Annuar berkata, pimpinan sedia ada tidak harus membawa UMNO ke arah kehancuran, sebaliknya, demi menyatu-padukan Melayu, parti itu harus menjadi juara dalam agenda penyatuan bangsa.

“Saya yakin kalau kita kembali mainkan peranan bersama PAS dan Bersatu dalam menyatukan orang Melayu dengan kekuatan Orang Melayu, kita satu-padukan pula rakyat pelbagai kaum, kita akan dapat kejayaan besar,” tegas Annuar lagi.

Berikut antara dasar yang dibuat pucuk pimpinan yang membuatkan Annuar tidak jelas dengan hala tuju parti:

  • Sokongan secara hitam putih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai BN.
  • Percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan Pembentukan Jajaran Baru Politik.
  • Percubaan menggugat kestabilan kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara UMNO, Pas dan Bersatu yang merupakan parti teras yang telah mewujudkan Perpaduan Melayu dan Islam di negara ini.
  • Situasi ‘flip-flop’ pimpinan khususnya Pengerusi BN dalam perkara-perkara dasar berhubung MN sehingga berlaku kesamaran dan kekaburan dalam hala tuju MN.
  • Seruan demi seruan untuk dibubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya dalam situasi rakyat menderita akibat penularan pandemik COVID-19 dan tekanan ekonomi yang sangat berat.
  • Kegagalan pimpinan mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti, di mana berterusan bertelagah secara terbuka telah menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap visi yang dibawa oleh parti.
  • Keputusan-keputusan parti seperti ‘NO DAP’, ‘NO ANWAR’, sokongan ‘en-bloc’ kepada kerajaan PN dan lain-lain telah tidak dihormati.

Show More

Related Articles

Back to top button