Bisnes & Ekonomi

Siapa Dia Jutawan China Berjaya Memintas Kekayaan Warren Buffet?

Dunia perniagaan memperlihatkan perubahan dalam orang paling kaya di dunia pada awal tahun ini dengan Elon Musk memintas Jeff Bezos. Perkara ini turut berlaku di Asia apabila orang paling kaya di Asia bukan lagi Mukesh Ambani tetapi Zhong Shanshan.

Apa yang lebih hebat ialah Zhong Shanshan mengatasi kekayaan Warren Buffet dan selangkah lagi untuk menjadi antara individu dengan kekayaan lebih $100 bilion.

Jutawan yang satu ini menduduki tempat ke-enam individu terkaya di dunia dengan kekayaan mencapai $91.7 bilion menurut Indeks Billionir Bloomberg.

 

Siapakah Zhong Shanshan dan perniagaan apakah yang dilakukan beliau sehingga begitu kaya?

Zhong Shanshan. Sumber Imej: TheStar

Zhong Shanshan merupakan pengurusi Nongfu Spring, sebuah syarikat pembotolan air di China. Beliau juga mempengerusikan Syarikat Beijing Wantai Biological Pharmacy yang membuat vaksin dan kit pemeriksaan hepatitis yang dilaporkan memperoleh hasil sebanyak 1.2bilion yuan pada tahun 2019.

Zhong Shanshan dilahirkan di bandar Hangzhou, China dan berhenti bersekolah ketika masih di bangku sekolah rendah lagi ketika China mengalami Revolusi Budaya.

Zhong pernah berkerja sebagai pekerja buruh, wartawan dan juga agen penjualan air sebelum memulakan perniagaannya sendiri.

Kini pada usia 66 tahun, beliau dikenali sebagai ‘Lone Wolf’ (Serigala Bersendirian) kerana sering dilihat menjauh daripada golongan sosial.

 

Bagaimana Zhong Shanshan Meraih Kekayaan Hebat Ini?

Pada tahun dunia mengalami pandemik, Zhong dilihat meraih kekayaan ketiga paling tinggi setelah CEO Tesla, Elon Mask dan Pengasas Amazon, Jeff Bezos sebanyak $71bilion.

Sebab utama bagaimana Zhong meraih kekayaan yang banyak itu ialah akibat penyenarian syarikatnya yang berlangsung hebat.

Manakala syarikat pengeluaran vaksin miliknya telah disenaraikan di bursa saham Hong Kong pada April dan Nongfu pula telah disenaraikan pada September 2020.

 

Lonjakan Saham Syarikat

Produk Nongfu Spring. Sumber Imej: Anadolou Agency.

Nongfu Spring diasaskan pada tahun 1996 dan berkembang dengan baik seiring usia sehingga menjadi syarikat minuman terkenal di China. Syarikat tersebut dilaporkan memperoleh keuntungan sebanyak $3.5bilion pada tahun 2019.

Penyenaraian Nongfu Spring di bursa Hong Kong dilihat sebagai antara yang terbaik. Sahamnya telah melonjak 155% sejak ia bermula.

Saham syarikat vaksin molok Zhong pula telah meningkat 2,500%.

TimesofIndia turut melaporkan bahawa ahli keluarga Zhong, seperti adik perempuannya, Zhong Xiaoxiao dan tiga adik-beradik isterinya juga dilaporkan memiliki 1.4% daripada saham Nongfu.

Show More

Related Articles

Back to top button