Sukan

Cerita Disebalik Pemain Pertama Berketurunan Asia Di Liga Perdana

Pada 12 Januari 1991, Jimmy Carter telah menandatangani kontrak bersama Liverpool pada usia 25 tahun dengan memegang jersi bernombor 7.

Jersi bernombor 7 ini merupakan jersi istimewa dan memiliki sejarah tersendiri untuk kelab Liverpool.

Sebelum Jimmy Carter, ia telah dikenakan oleh pengurus kelab, Kenny Dalglish dan juga Ian Callaghan yang memegang rekod pemain paling banyak membuat penampilan untuk Liverpool serta Kevin Keegan, yang merupakan pemain hebat pada era 1970an.

“Ia mungkin merupakan perkara paling hebat pernah berlaku dalam hidup saya dan juga merupakan impian saya ketika kecil,” kata Carter setelah menerima jersi tersebut.

 

Impian Ketika Kecill Untuk Bermain Dalam Kelab Hebat Tercapai

“Saya memandang jersi tersebut dan memandang keliling, beberapa pemain sedang memerhatikan saya dengan senyuman. Anda boleh bayangkan, setiap pemain dalam ruang rehat Liverpool itu adalah pemain antarabangsa.

“Untuk Kenny datang kepada saya dan memberi jersi bernombor tujuh kepada seorang budak kurus berketurunan India yang membesar di Stoke Newington. Tiada apa yang lebih baik daripada itu. Ia menakjubkan.”

Ramai tidak tahu dan mungkin sehingga kini ada lagi yang masih tidak tahu bahawa Jimmy Carter berketurunan India.

Walaupun kehadiran Carter di Liverpool tidak membuahkan hasil manakala Dalgish telah meninggalkan The Reds, Carter berpindah ke pasukan Arsenal dan menjadi pemain Asia-Britain pertama untuk bermain di Liga Perdana pada Ogos 1992.

Dalam permainan Inggeris, tidak ada satu pun daripada segelintir pemain Asia-Britain sejak Carter memiliki kecermelangan seperti yang dimilikinya ketika bermain untuk kelab-kelab terkenal itu.

 

Ramai Yang Tidak Tahu Dirinya Berketurunan India

Kini berusia 55 tahun, Carter mengakui latar belakangnya dari India masih menjadi “kejutan” bagi banyak orang ketika mereka mengetahui hal itu dan, kerana nama keluarga dan warna kulitnya yang cerah, “tidak ada yang benar-benar mengenalinya” sebagai orang asal Asia semasa kariernya.

“Saya rasa mereka hanya melihat seorang lelaki berlari ke atas dan ke bawah sayap, dengan fikiran, ‘Dia tidak keberatan untuk menggelapkan kulitnya,'” katanya.

Sebenarnya, dia lebih dari itu.

 

Latar Belakang Pemain Pertama Berketurunan Asia Di Liga Perdana

Jimmy Carter ketika kecil bersama ayahnya Maurice. Sumber Imej: DailyMail

Carter berkata beliau mendapat nama Inggeris ketika moyangnya yang berbangsa Inggeris pada abad ke-17 telah berpindah dari London ke India dan berkahwin dengan wanita India dan menetap di India.

Ayahnya, Maurice pula dilahirkan oleh ibubapa India di Kanpur dan dibesarkan di Lucknow, utara India di mana beliau bersekolah di Kolej La Martiniere, sebuah sekolah swasta berprestasi yang ditubuhkan pada tahun 1845 ketika era kolonial.

Maurice bagaimanapun menjadi anak yatim ketika usia 14 tahun dan mengikuti pasukan tentera laut India ketika berusia 16 tahun.

“Beliau melayari laut dan mencintai sukan. Beliau menjadi seorang petinju ketika di dalam tentera laut dan menjadi salah satu petinju hebat dengan 38 pertarungan dan tidak pernah kalah satu pun,” cerita Carter kepada BBC.

 

Jimmy Carter Dibesarkan Dengan Gaya Hidup Orang India Di England

Bapanya akhirnya tiba di England dan mengahwini seorang wanita Inggeris dan menimang dua anak lelaki sebelum akhirnya bercerai.

Maurice mengambil hak penjagaan anak dan membesarkan anak-anaknya di Hackney, timur London sebagai “anak orang India”.

“Ibu kami berbangsa Inggeris tetapi apabila ayah mampu membeli daging, beliau akan memaksa kari dan nasi,” kenang Carter yang berkata jika ayah tidak mampu membeli daging, beliau akan memasukkan telur rebus bersama dhal untuk dimakan dengan nasi.

“Ayah telah mengorbankan semuanya. Beliau merupakan seorang juruteknik kulit City & Guilds yang berkelayakan dan mempunyai tawaran pekerjaan di seluruh dunia, tetapi beliau harus menangguhkan segalanya untuk membesarkan kami.

“Beliau akan mengambil kerja sambilan hanya supaya boleh menghantar kami ke sekolah. Beliau akan menyusun barang di kedai supaya dapat menghantar kami ke sekolah pada 9 pagi dan mengambil kami semula pada pukul 3 petang.”

 

Penderaan Berbaur Perkauman Tidak Lekang Di Telinga Jimmy Carter

Carter mengimbas kembali kehidupannya ketika kecil pada tahun 1970an dan 1980an.

Beliau berkata menerima penderaan perkauman adalah perkara biasa ketika itu tetapi itu tidak menghalang ayahnya untuk membangunkan Carter jam 6 pagi dalam kesejukan pagi untuk berlari di taman supaya lebih bersedia berbanding kanak-kanak lain untuk menjadi pemain bola sepak yang baik.

Di padang, Carter juga telah menerima pelbagai penderaan ketika bermain untuk pasukan belia tetapi akhirnya Carter dipilih oleh Crystal Palace pada usia 14 tahun.

“Apabila saya didera, saya sering mahu membuktikan orang yang menghasut tentang perkauman itu salah. Saya mahu memalukannya di padang bola yang menjadi jawapan kepada kata-kata mereka.

“Saya tidak pernah pulang dan bercerita kepada ayah kerana saya tahu perkara itu akan melukakan hatinya.

“Beliau mungkin akan rasa kerana warna kulitnya, dan warna kulit saya adalah sebab saya mendapat penderaan tersebut dan tidak ada apa yang boleh beliau lakukan tentang itu.

“Oleh itu saya simpan dalam diri dan menjadi tebal muka. Ia malah membuat saya lebih tetap pendirian.

 

Buktikan Kemampuan Adalah Caranya Untuk Melawan Balik

“Saya perlu membuktikan kepada mereka: ‘Ya anda boleh memanggil saya itu tetapi budak India ini yang anda cuba untuk tendang telah memalukan anda, anda akan membaca tentang saya dan melihat saya bermain untuk kelab terbesar di dunia.’ Itulah fikiran saya ketika itu.”

Impian Carter untuk terus mara semakin menjadi-jadi apabila Crystal Palace membebaskannya pada usia 19 tahun.

Carter bekerja keras untuk masuk semula dalam permainan dengan Queens Park Rangers sebelum menempah nama di Millwall.

Pada usia 22 tahun, Carter menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenangi Divisi Kedua pada tahun 1988 bersama Teddy Sheringham dan Tony Cascarino. Ia telah membuat dirinya dipromosikan ke senarai papan atas untuk kali pertama.

Akan tetapi pada ketika itu, hanya mereka yang dekat dengannya seperti Sheringham yang tahu tentang latar belakang Asianya.

 

Hanya Orang Dekat Tahu Bahawa Jimmy Carter Berketurunan Asia

“Saya selalu rasa diterima ketika di Millwall walaupun adakalanya saya menerima beberapa komen berbaur perkauman daripada pihak lawan hanya kerana saya kelihatan berbeza.

“Mengenang semula, ia merupakan komen yang memang sukar untuk dielak sekarang tetapi saya tidak pernah terasa hati. Bagi saya, ia hanya membuat saya lebih yakin.

“Dalam arena bola sepak, jika anda mudah terasa hati dan mula melawan, saya mungkin akan melalui perkara yang sukar. Ia bukan sesuatu yang enak untuk didengar tetapi ia merupakan era yang lain ketika itu.

“Saya perlu menghiraukannya dan memastikan diri kekal dalam pasukan pertama untuk memastikan kerjaya saya semakin baik.

Itulah yang dilakukan Carter sehingga dipanggil Dalgish dan berpindah ke pasukan juara Liverpool.

Sebelas tahun setelah Carter menjadi orang pertama berketurunan Asia untuk bermain di Liga Perdana, Michael Chopra telah membuat penampilan pertama untuk Newcastle United pada Mei 2003, dan Zesh Rehman, yang membuat penampilan pertama untuk Fulham menentang Liverpool pada tahun 2004.

Sehingga kini hanya terdapat 10 Asia-Britain di antara 4000 pemain bola sepak profesional di UK.

Show More

Related Articles

Back to top button