AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia Haramkan Pertubuhan Politik Islamik FPI

Indonesia mengharamkan pertubuhan politik radikal terpalit kontroversi, Front Pembela Islam (FPI), berkuat kuasa serta merta bermula Rabu lalu (30 Disember 2020).

Menteri Kanan Keselamatan, Mahfud MD, berkata kerajaan mengharamkan semua kegiatan FPI dan ia tidak lagi mempunyai status sah sebagai sebuah pertubuhan.

“Tindakan ini menyusuli kepulangan ketua spiritual kumpulan itu, Rizieq Shihab, pada November lalu selepas tiga tahun hidup dalam buangan di Arab Saudi atas pilihan sendiri dan disambut secara besar-besaran oleh ribuan penyokongnya.

 

FPI Sudah Diharamkan Sebelum Ini

“Sebenarnya, FPI sudah diharamkan dan dibubarkan secara rasmi sejak Jun tahun lalu, namun ia masih meneruskan kegiatannya secara haram.

“Keputusan mengharamkan pertubuhan ini dibuat bersama oleh enam pegawai kanan kerajaan termasuk peguam negara, ketua polis negara dan ketua agensi anti keganasan,” katanya

Kepulangan Rizieq ke Indonesia, yang juga negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia, menimbulkan kerisauan kerajaan mengenai kemungkinan pemimpin agama itu cuba membentuk pakatan parti pembangkang.

Ulama berusia 55 tahun itu ditahan awal bulan ini selepas melanggar protokol kesihatan bagi mengawal penularan COVID-19 dan terus kekal dalam tahanan.

Dalam pada itu, penyokongnya terbabit dalam pertempuran dengan pihak polis di sebuah lebuh raya, yang menyaksikan enam pengawal peribadinya maut ditembak.

 

Sebab Mengapa FPI Diharamkan

Timbalan Menteri Kehakiman, Edward Omar Sharif Hiariej, berkata FPI diharamkan kerana 30 pemimpinnya, anggota sedia ada dan bekas anggotanya pernah didakwa atas tuduhan keganasan.

Tambah beliau, fahaman kumpulan itu bercanggah dengan ideologi Indonesia, Pancasila, yang menekankan perpaduan dan kepelbagaian.

FPI, yang ditubuhkan sejurus selepas kejatuhan Presiden Suharto pada 1998, menjadi terkenal kerana sering melakukan serbuan terhadap bar dan rumah pelacuran selain mengugut minoriti agama lain.

Namun, pertubuhan itu juga sering tampil bagi membantu rakyat ketika berlaku bencana alam.

 

Rizieq Shihad Ditahan Kerana Menghasut & Menghimpunkan Orang Ramai

Sementara itu, Polis Metro Jaya melanjutkan tempoh penahanan Muhammad Rizieq Shihab selama 40 hari lagi.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis, Inspektor Jeneral Argo Yunowo berkata, perkara itu dilakukan kerana proses siasatan terhadap Muhammad Rizieq belum selesai.

“Berdasarkan Perkara 24 Kanun Jenayah dan bagi tujuan siasatan yang belum selesai, tempoh penahanan Muhammad Rizieq dilanjutkan sebanyak 40 hari lagi iaitu dari 1 Januari hingga 9 Februari depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Argo, Muhammad Rizieq juga menolak untuk menandatangani laporan rasmi bagi waran lanjut penahanan.

Bagaimanapun, katanya, polis menghormati keputusan itu dengan tetap membuat laporan rasmi penolakan tersebut.

Sebelum ini, menerusi kes yang disiasat oleh Subdit 1 Keselamatan Dalam Negeri dan Direktorat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Metro Jaya, Muhammad Rizieq dinamakan sebagai suspek dalam satu kes menghasut dan menghimpunkan orang ramai.

Show More

Related Articles

Back to top button