Isu SemasaSains

Sesuatu Sedang Tumbuh Di Permukaan Ais Greenland Dan Ia Petanda Buruk

Apabila Joseph Cook tiba buat pertama di Greenland pada tahun 2010, beliau fikir ia akan kelihatan semua serba putih.

Akan tetapi Cook mendapati terdapat pelbagai kesan warna-warni daripada warna hitam, kelabu hinggalah warna hijau, ungu, perang dengan warna biru terang memecah ais.

 

Greenland Memiliki Hutan Beku Mikroskopik

“Sehinggalah baru-baru ini orang ramai ingatkan tempat ini adalah tempat tidak bernyawa tetapi apabila anda melihatnya di bawah mikroskop, kepingan ais di Greenland sebenarnya memiliki hutan beku,” kata Cook yang merupakan seorang ahli glasier dari Britain.

Kepelbagaian biologi selalu adalah perkara yang baik tetapi dalam kes ini kehidupan dalam ais ini menyebabkan ais ini mencair dengan lebih laju yang menyebabkan paras laut meningkat lebih cepat daripada ramalan saintis.

Kepingan ais yang meliputi Greenland adalah sangat besar yang meliputi 656,000 batu persegi.

Ia merupakan satu-satunya penyumbang terbesar kepada peningkatan aras laut global dan berpotensi meningkatkan aras laut sehingga tujuh meter.

Sebuah kajian berasingan baru-baru mencadangkan peningkatan kadar perubahan cuaca  ini telah capai puncak ia tidak boleh diperbetulkan lagi.

 

Kehidupan Mikroskopik Di Greenland Menyumbang Kepada Masalah Ais Mencair

Cook pula mendapati bahawa kehidupan mikroskopik yang ditemui di dalam kajian ini turut menyumbang kepada masalah ini.

Salah satu organisma ini adalah alga yang tumbuh di lapisan air nipis di permukaan ais.

Ia menghasilkan pigmen ungu-coklat yang bertindak “seperti pelindung matahari semula jadi,” kata Cook, melindungi alga dari cahaya matahari Artik sepenuhnya. Pigmen juga menyebabkan ais menjadi panas dan cair.

“Sekiranya anda keluar pada hari yang panas dengan memakai t-shirt hitam, anda akan menjadi lebih panas berbanding jika anda keluar pada hari yang panas dengan memakai t-shirt putih. Perkara yang sama berlaku di atas ais,” kata Cook kepada CNN.

“Alga ini seperti t-shirt hitam untuk glasier, menyebabkannya panas di bawah sinar matahari dan mencair lebih cepat.”

 

Alga Bukan Fenomena Baru Tetapi..

Penyelidikan Cook pada bahagian lapisan ais Greenland seluas 3.900 batu persegi mendedahkan bahawa alga bertanggungjawab hingga 13% pencairan ais.

Di beberapa kawasan setempat, alga mempercepat pencairan hingga 26%.

Alga glasier bukanlah sebuah fenomena baharu. Terdapat rekod tentang di diari peneroka polar dari tahun 1870-an kata Cook.

Tetapi apa yang berubah ialah pemanasan global.

Dengan suhu yang lebih tinggi dan kurang salji turun, permukaan ais yang lebih besar terdedah menyebabkan alga semakin tumbuh.

Penyebaran alga ini telah meningkatkan kadar ais mencair dan menghasilkan lebih banyak ais dan nutrien yang ada pada ais yang kemudiannya menyokong pertumbuhan alga.

Sebuah proses yang digambarkan oleh Cook sebagai “kitaran jahat.”

Dan ini bukan satu-satunya kitaran yang merosakkan permukaan ais.

 

Mikrob Menyebabkan Ais Berlubang-Lubang

Mikrob lain (sejenis bakteria yang terdapat di permukaan kepingan ais dan glasier) melekatkan zarah-zarah debu di dalam air cair bersama-sama, membentuk zat seperti tanah yang gelap dan padat yang disebut kriokonit.

Ais di bawah kriokonit mencair, mewujudkan lubang di permukaan lapisan ais.

“Proses itu menghasilkan ekosistem, ceruk di permukaan ais yang tidak akan ada,” kata Cook.

Lubang cair ini menangkap lebih banyak habuk, menghasilkan lebih banyak kriokonit, yang menyebabkan lebih banyak pencairan ais.

Kajian Cook menambah bahawa terdapat bukti yang semakin meningkat bahawa saintis sebelum ini telah memandang rendah terhadap kadar pencairan ais.

 

Greenland Mencair Tujuh Kali Ganda Lebih Cepat

Sebuah kajian baru-baru ini yang menggunakan satelit data telah mendapati glasier lebih sensitif terhadap pemanasan global berbanding sebelum ini.

Ia menunjukkan kepingan ais di Greenland mencair tujuh kali ganda lebih cepat sekarang berbanding tahun 1990-an.

Kadar peningkatan paras laut sebelum ini adalah terlalu rendah kerana mereka kurang informasi tentang peranan mikrob pada ais.

Mengapa Peningkatan Aras Laut Ini Penting Dan Berbahaya Kepada Kita?

Ramalan yang tepat adalah sesuatu yang sangat penting kerana dengan peningkatan aras laut yang sedikit ia mampu memberikan impak yang besar dengan menjejaskan kawasan di persisiran pantai di seluruh dunia.

Peningkatan aras laut boleh menyebabkan ekonomi global kehilangan AS$14.2trilion dan kerosakan aset dipenghujung abad serta mendedahkan 287 juta orang terhadap banjir di persisiran.

“Jika kita mahu mengambil keputusan yang baik tentang bagaimana kita perlu menguruskan tanah dan infrastruktur serta ekonomi di masa hadapan, kita mesti mempunyai unjuran kenaikan paras laut yang baik dan risiko yang berkaitan dalam jangka masa yang sama,”kata Cook.

Apa yang menjadi jelas adalah bahawa lapisan ais adalah persekitaran yang dinamik dan kompleks.

“Ada begitu banyak soalan untuk dijawab,” kata Cook.

“Ini seperti taman tema untuk saintis kerana ada banyak yang perlu dilakukan.”

Show More

Related Articles

Back to top button