Gaya HidupKerjaya

Kenali Wartawan Asal Malaysia Yang Menjadi Datuk Bandar New Zealand Untuk Kali Ke-2

Menjadi orang luar berketurunan India Malaysia dan bertanding untuk kerusi Datuk Bandar di New Zealand mungkin akan dilihat sesuatu yang mustahil tetapi K Gurunathan telah melakukannya.

Bukan sahaja beliau memenangi pilihanraya di bandar Kapiti Coast di tahun 2016, beliau berjaya mengekalkan kedudukannya itu pada tahun ini.

K Gurunathan berkata kejayaannya datang kerana masyarakat di sana mengiktiraf bakat tanpa mengira warna atau kepercayaan, rekod prestasi dan meritokrasi.

Apatah lagi Guru memiliki rekod dalam memenuhi janji kempennya dengan baik dan menyentuh kehidupan masyarakat di sana.

“Orang tidak suka sebuah dewan ya terlalu banyak pertengkaran,” katanya kepada FMT.

 

Melanjutkan Pelajaran Di New Zealand & Berkahwin Orang New Zealand

Gurunathan pertama kali meninggalkan Malaysia untuk ke New Zealand pada tahun 1974 sebagai seorang pelajar di mana beliau pernah menjadi pengasas sebuah keluaran politik bernama New Times Monthly di Universiti Victoria, Wellington.

Setelah mendapatkan ijazahnya, beliau berkahwin dengan wanita New Zealand dan kembali ke Pulau Pinang pada tahun 1983.

Guru, yang kini berusia 66 tahun memulakan kerjayanya sebagai wartawan di Malaysia pada awal tahun 1980-an dan menjadi Ketua Wartawan pada tahun 1983 untuk ‘The National Echo’ yang sebelum ini dikenali sebagai ‘The Rocket’ yang berpengkalan di Pulau Pinang.

Beliau kemudiannya menjadi penyumbang politik kepada surat khabar New Straits Times dan seterusnya menjadi editor di bahagian edisi khas di akhbar The Sun sebelum meninggalkan Malaysia untuk bersama isterinya yang merupakan orang New Zealand.

 

Mengapa K Gurunathan Berhijrah Ke New Zealand?

K Gurunathan bersama isterinya Claire. Sumber Imej: www.stuff.co.nz

Isteri Guru, Clair kembali ke Wellington pada tahun 1995 setelah mendapat khabar bapanya menghidap penyakit motor neuron.

Gurunathan berkata hidup berpisah dengan Claire agak sukar untuknya menyebabkan dirinya berhenti kerja di Kuala Lumpur dan pindah ke Kapiti Coast untuk bersama Claire dan dua anak mereka ketika itu.

Kini pasangan ini memiliki tiga cahaya mata – Jessie Gayathri, 36, Ravi, 32, dan Ari, 22.

Di New Zealand, beliau bekerja untuk sebuah akhbar tempatan bernama The Kapiti Observer dari tahun 1995 hingga 2008 dan kemudiannya berpindah ke Kapiti News di mana beliau memiliki kolumnya sendiri bertajuk ‘Notes from a Corner Dairy’ yang sering menjadi tumpuan pembaca.

 

Menulis Untuk Menumpaskan Isu Perkauman

“Tajuk (kolum) tersebut telah menarik perhatian kerana ia adalah sesuatu kebiasaan di mana pendatang India yang baharu di NZ akan memiliki sebuah kedai tenusu di sudut jalan.

“Kaitan tersebut selalunya dijadikan sebuah jenaka berbaur perkauman. Saya gunakannya untuk ‘reverse psychology’ bagi menumbangkan perkauman,” jelasnya.

 

Antara Sebab Mengapa K Gurunathan Berjaya Menjadi Datuk Bandar di New Zealand

Guru berkata kunci dari mesej kempennya ialah untuk mengadakan sebuah dewan ahli majlis yang terbuka, telus dan bertanggungjawab sambil menambah bahawa menjadi orang asing dan daripada komuniti kecil bukanlah sebuah isu.

“Berkahwin dengan orang NZ juga mungkin sedikit sebanyak membantu,” kata Guru.

Kemenangannya ini juga merupakan hasil rekodnya yang baik.

 

Rekod Dan Menggalas Tanggungjawab Dengan Baik Menjadi Pilihan Orang Ramai

Pada tahun 2010, Gurunathan bertanding untuk pilihan raya majlis perbandaran tempatan yang mana beliau menang dan sekali gus menjadi orang Asia pertama menjadi ketua majlis perbandaran di bandar tersebut.

Setelah dua penggal, pada tahun 2016 Gurunathan memenangi kerusi Datuk Bandar buat pertama kali dan kini menjadi Datuk Bandar untuk penggal kedua.

Guru berkata beliau sangat memahami isu tempatan. Antara isu yang harus dihadapinya termasuk kos sara hidup yang kian meningkat dan peningkatan cukai tempatan untuk menyokong pembangunan infrastruktur.

“Saya sangat lantang dalam pelbagai isu termasuk kaum minoriti.

“Nama saya dikaitkan dengan memberikan informasi yang penting untuk orang ramai memahami politik tempatan (di New Zealand),” kata Guru kepada TheStar.

Menurut Guru, beliau selalu dikaitkan dengan masyarakatnya sebagai wartawan yang melaporkan sesuatu secara adil dan kritis tentang isu masyarakat menyebabkan dirinya menjadi pilihan baik sebagai seorang Datuk Bandar.

Show More

Related Articles

Back to top button