Bisnes & Ekonomi

Berjaya Mengharungi Perang Dunia, Krisis Ekonomi & Wabak, Akhirnya Robinsons Terkubur Akibat COVID-19

Robinsons, sebuah pusat membeli-belah terkemuka yang berusia 160 tahun itu berjaya mengatasi Perang Dunia Pertama dan Kedua, serta beberapa krisis ekonomi dan kesihatan. Akan tetapi, pandemik Covid-19 telah menjadi titik noktah baginya.

Penutupan Robinsons di Singapura dan akhirnya di Malaysia telah mengejutkan ramai kerana ia merupakan pusat membeli-belah terulung dan tempat kunjungan para aristokrat, para sultan termasuk Raja Mongkut Siam serta mereka yang ternama di Asia Tenggara.

 

Sejarah Berdirinya Robinsons

Robinsons didirikan pada tahun 1858 oleh pendatang Australia bernama Philip Robinson dan seorang penjaga penjara Singapura, James Gaborian Spicer yang pada mulanya mendirikan gudang keluarga sebagai Spicer dan Robinson di Singapura.

Ia kemudiannya diberi nama baharu menjadi Robinsons & Co setelah kurang daripada dua tahun Spicer menarik diri daripada perkongsian syarikat tersebut.

Pada tahun 1881, Philip Robinson meninggal dunia dan anaknya Stamford Raffles Robinson mengambil alih perniagaan tersebut di tahun 1886.

Ia kemudiannya menjadi terkenal dengan menjual alat muzik seperti piano, hon dan gramafon. Ia juga merupakan antara agen pertama untuk menjual basikal Raleigh pada tahun 1907.

Setelah Perang Dunia Ke-2, kedai Raffles Place di Singapura dibuka semula pada April 1946 dan menjelang tahun 1955, Robinsons menjadi kedai pertama di Far East, Singapura yang berhawa dingin sepenuhnya.

Pada November 1972, kedai tersebut dijilat api sehingga meragut sembilan nyawa menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke Pusat Membeli-Belah Specialist di Orchard Road.

Ketika krisis minyak pada tahun 1973, cawangan di Kuala Lumpur terpaksa ditutup pada tahun 1975 tetapi setahun setelah itu premis tersebut diperoleh oleh United Asian Bank, yang merobohkan kedai tersebut untuk memberi laluan kepada ibu pejabat bank itu, iaitu Menara UAB.

Robinsons kembali ke Kuala Lumpur pada tahun 2007 setelah 32 tahun di The Gardens, Mid Valley Megamall.

Kedai kedua dibuka di Four Seasons Place, yang terletak di sebelah Menara Berkembar Petronas di Jalan Ampang, dua tahun lalu.

 

Perkongsian Pengalaman Pelikuidasi Robinsons Di Malaysia

Datuk Robert Teo Keng Tuan, yang yang bertindak sebagai pelikuidasi untuk Robinsons menurut Creditor’s Voluntary Liquidation, mengatakan kepada New Straits Times bahawa tidak ada yang terfikir entiti sebesar itu terpaksa tutup selama-lamanya, mengingatkan kepada fakta bahawa mereka telah berjaya menghadapi ribut pelbagai krisis kemelesetan dan kewangan sebelum ini.

“Saya masih ingat Robinsons pertama kali dibuka pada tahun 1928 di Kuala Lumpur dan ia merupakan tempat untuk membeli-belah dan dilihat oleh orang-orang kenamaan.

“Ramai orang Malaysia akan ke sini hanya untuk membeli-belah yang pada ketika itu terletak di Mountbatten Road (yang kini dikenali sebagai Jalan Tun Perak).

“Ketika itu Robinsons adalah seperti Harrods untuk orang London di Malaysia,” kata Teo yang merupakan pengerusi RSM Malaysia.

 

Menutup Robinsons Bukanlah Perkara Yang Senang

Teo telah berpengalaman lebih dari 40 tahun dalam percukaian korporat, pelaksanaan penyusunan semula korporat dan semua aspek pentadbiran insolvensi.

Dia menyatakan sentimennya kepada NST tentang bagaimana dia merasa bertindak sebagai pelikuidasi untuk mengawasi penutupan Robinsons: “Menutup perniagaan apa pun bukanlah tugas yang menyenangkan, terutamanya harus menutup perniagaan dengan sejarah yang penuh warna dan terkenal seperti Robinsons, yang semuanya menusuk hati.

“Banyak pelanggan bergegas ke kedai-kedai setelah mendengar berita penutupan Robinsons, dengan harapan dapat membeli barangan pada harga tawaran di saat-saat terakhir yang menyebabkan barisan besar di luar kedai tersebut,” kata Teo.

 

Di Saat Akhir Ramai Yang Sanggup Beratur Lama & Panjang

Dia juga berkongsi pengalaman bagaimana mereka mengendalikan pelanggan yang sanggup berbaris di hadapan Robinsons di saat akhir dan juga pemegang konsainan serta vendor yang kesemuanya semuanya tidak senang duduk dengan pengumuman pembubaran Robinsons.

“Kami sangat beruntung mendapat sokongan dan bantuan daripada kakitangan Robinsons walaupun mereka merasa kesal ketika mengetahui bahawa pekerjaan mereka akan berakhir. Mereka membantu dalam penjualan, pembungkusan akhir dan penempatan semula stok dari dua kedai,” katanya Teo.

 

Antara Sebab Mengapa Robinsons Tidak Mampu Bertahan

Sementara Teo memuji usaha pihak kerajaan dalam mengurus Covid-19, dengan bantuan kewangan kepada syarikat dalam hal subsidi gaji, dia mengatakan kuantum yang mungkin terlalu rendah untuk secara efektif mencegah insolevensi yang berlaku untuk banyak perniagaan.

“Satu lagi elemen perbelanjaan besar untuk perniagaan runcit gergasi selain dari kos gaji, adalah sewa untuk ruang yang ditempati.

“Sayangnya, insentif yang ditawarkan kepada pemilik premis oleh pihak berkuasa untuk membolehkan mereka memberikan harga yang lebih baik semasa Perintah Kawalan Pergerakan atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, tidak mencukupi.

“Ini mungkin dapat mengurangi beban kewangan perniagaan di mana-mana sektor pada umumnya untuk membantu aliran tunai mereka dan mencegah penutupan dan pemberhentian dan pengangguran yang dihasilkan tetapi hanya sehingga satu tahap.”

 

Para Pekerja Di Sektor Peruncitan & Industri Makan Dan Minum Paling Terkesan

Teoh menambah dengan penutupan tersebut, banyak pekerja ditinggalkan dengan sedikit atau mungkin langsung tidak ada cara untuk menyara keluarga mereka.

“Dan mereka, terutama dari sektor peruncitan, serta industri makanan dan minuman merasakan mustahil untuk dapat pekerjaan alternatif dalam jangka masa pendek.

“Orang-orang yang bernasib baik dan mempunyai pandangan jauh untuk menyimpan sejumlah simpanan untuk hari hujan, terpaksa menggunakan simpanan mereka ketika melalui masa yang sukar ini.

“Malangnya, terdapat mereka yang tidak memiliki sebarang simpanan dan hidup daripada gaji mereka sehinggalah gaji yang seterusnya,” kongsi Teo yang menyokong inisiatif kerajaan yang memberi moratorium lanjutan bagi mereka yang terkesan dan juga pengeluaran akaun KWSP yang boleh membantu sedikit sebanyak dalam jangka masa pendek ini.

Show More

Related Articles

Back to top button