BudayaGaya Hidup

Tukar Nama Boleh Memperbaiki Nasib?

Dalam tradisi orang Asia, maksud disebalik nama adalah perkara yang agak penting – daripada kesihatan, percintaan, kewangan sehinggalah pencapaian akademik. Ada yang percaya nama boleh memberi kesan kepada tuah mereka dalam setiap aspek kehidupan. Sehingga ada yang tukar nama untuk mengubah nasib menjadi lebih baik.

Budaya orang Cina pula percaya terdapat 10 perkara yang boleh menentukan masa depan mereka.

Selain daripada waktu kelahiran, membuat kebajikan, nama adalah antara satu-satunya faktor yang boleh menentukan nasib kehidupan seseorang.

 

Orang Cina Percaya Nama Perlu Diberi Mengikut Unsur Kelahiran

Mereka percaya dalam aliran tenaga dan keseimbangan yang menyebabkan bayi yang lahir diberi nama setelah analisis waktu lahir dan unsur cina seperti kayu, api, air, besi dan tanah yang berasaskan kalendar astrologi. Kesemua perkara ini perlu seimbang untuk memastikan tuah badan semakin membaik.

Berdasarkan teori ini, jika kehidupan seseorang dilanda malang, ia berkemungkinan kerana unsur yang tidak seimbang dalam kehidupannya.

 

Menjadi Sihat Setelah Tukar Nama

Perkara ini telah berlaku kepada Chin Foukin yang ketika itu berusia empat tahun dan memiliki unsur besi ditambahkan ke namanya.

Sebelum itu Foukin telah dilanda penyakit melibatkan pernafasan berbulan-bulan walaupun telah pergi berubat ke pelbagai doktor.

Akhirnya ibu Foukin telah memutuskan untuk mengubah namanya dengan menambah unsur besi dan berharap penyakitnya itu boleh sembuh dengan keseimbangan unsur.

“Penyakit saya tiba-tiba hilang setelah itu dan ibu saya percaya dengan menukar nama adalah antara sebab saya boleh sembuh,” kata Foukin yang kini berusia 24 tahun.

Namun, Foukin sebenarnya tidak percaya bahawa dengan mengubah nama ia boleh mengubah nasib.

Foukin lebih percaya bahawa ia berlaku kerana sistem imunisasi badannya menjadi lebih baik seiring waktu.

 

Betul Ke Tukar Nama Boleh Ubah Nasib?

Walaupun tidak ada bukti saintifik kepercayaan seperti ini memberi kesan tetapi menurut Pensyarah Kanan Pemasaran di Universiti Kebangsaan Singapura, Prof. Madya Dr. Zhang Yan, ia mungkin kesan plasebo yang kuat.

Dr. Zhang yang menjalankan kajian psikologi disebalik ritual khurafat berkata,”Manusia mendambakan perasaan mengawal, terutamanya pada masa yang tidak menentu. Menukar nama dapat memberi orang rasa kawalan yang mereka inginkan, seolah-olah mereka dapat mengubah nasib mereka dengan mengubah namanya.

“Itu tidak akan membantu secara objektif, tetapi jika kita mengambil kira bahawa perasaan kawalan seperti itu dapat meredakan kegelisahan, ada kemungkinan tindakan ini dapat memberikan sumbangan positif terhadap perkembangan peristiwa di kemudian hari, kerana orang tersebut mungkin bertindak lebih yakin setelah itu.”

 

Orang Korea Selatan Juga Percaya Dengan Mengubah Nama, Ia Boleh Mengubah Nasib

Menukar nama untuk mengubah nasib dilihat bukan hanya berlaku di China tetapi di Korea Selatan apabila sebuah laporan memperlihatkan hampir 150,000 orang di Korea Selatan menukar nama mereka pada tahun 2016 ketika ramai orang sukar mendapatkan pekerjaan.

Malah, akibat daripada pandemik Covid-19 ini, Hong Kong telah mencatatkan kadar pengangguran bermusim tertinggi dalam hampir 16 tahun dan ia turut menyaksikan ribuan orang mengubah nama mereka.

Dalam jangka masa sembilan bulan pertama pada tahun 2020, sebanyak 1,252 orang telah memohon untuk menukar nama mereka di Hong Kong.

 

Semakin Ramai Ingin Menukar Nama Kerana Kehilangan Pekerjaan

Bagi pengamal feng shui yang bertapak di Hong Kong, nasihat untuk menukar nama semakin meningkat baru-baru ini dan kebanyakan mereka adalah orang dewasa.

“60 hingga 70% daripada mereka mahu menyingkirkan nasib malang mereka,” katanya sambil menambah bahawa menukar nama mampu mengubah aura seseorang setelah berlaku sesuatu perkara yang buruk seperti kehilangan pekerjaan.

Akan tetapi menurutnya, orang yang menukar nama tetapi mahu menukar tingkah laku atau mencapai sesuatu impian tidak semestinya boleh mendapatkannya.

 

Menukar Nama Benar-Benar Boleh Menjadi Hebat?

“Terdapat ibubapa yang mahu menukarkan nama anaknya supaya mereka boleh berada di kelas teratas. Itu adalah mustahil. Menukar nama boleh membantu mengubah nasib seseorang ke arah yang baru tetapi ia tidak boleh pergi terlalu jauh daripada keupayaan seseorang,” kata pengamal feng shui yang dikenali sebagai Mak Ling-ling.

Dr. Zhang juga menasihatkan orang ramai untuk tidak bergantung kepada perubahan nama untuk memperbaiki prospek.

“Tidak mengapa jika mahu mengubah nama tetapi harus diingatkan bahawa kepercayaan seperti ini tidak akan mengubah situasi kecuali anda berusaha lebih keras untuk menjadi lebih baik,” ujar Dr. Zhang.

Show More

Related Articles

Back to top button