Hiburan

Michelle Yeoh Sah Bintangi Filem Marvel ‘Shang-Chi’

Bintang Hollywood dari Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh disahkan akan membintangi filem Shang-Chi and Legend of the Ten Rings pada tahun depan, sekali gus menjadi pelakon Malaysia pertama tampil dalam filem Marvel Cinematic Universe.

Disney pada Khamis lalu secara rasmi mengumumkan bahawa Yeoh akan beraksi dalam filem berkenaan bersama pelakon Simu Liu yang memegang watak komik adiwira ‘Shang-Chi’.

Yeoh, yang kini membintangi Star Trek: Discovery akan bersatu kembali dengan bintang Crazy Rich Asians, Awkwafina, yang sebelum ini disahkan akan bergandingan bersama Liu.

 

Apakah Watak Michelle Yeoh Dalam Shang-Chi?

Yeoh akan melakonkan watak bernama Jiang Nan dalam filem berkenaan yang ditayangkan pada 9 Julai tahun depan.

Dilahirkan di Ipoh, Perak, Yeoh mula dikenali di peringkat antarabangsa selepas membintangi filem James Bond Tomorrow Never Dies (1997), Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) dan filem biopik Aung San Suu Kyi The Lady (2011).

Penggambaran Shang-Chi selesai awal tahun ini setelah pihak produksi menangguhkannya seketika akibat wabak Covid-19.

Diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, filem ini memperkenalkan watak adiwira Shang-Chi dalam Marvel Cinematic Universe, iaitu watak daripada komik yang diterbitkan pada tahun 1973.

Filem ini juga akan menampilkan Tony Leung sebagai penjahat legenda yang mengetuai organisasi pengganas Ten Rings.

 

Michelle Yeoh Antara 100 Wanita Paling Memberi Inspirasi & Berpengaruh 2020

Beberapa minggu lalu, Yeoh juga telah dinobatkan sebagai salah seorang wanita yang paling memberi inspirasi dan berpengaruh pada tahun 2020 oleh penyiar Britain, BBC.

Tahun ini, senarai “100 Wanita” menyoroti mereka yang memimpin perubahan dan membuat perubahan ketika pandemik Covid-19 serta mereka yang menyuarakan keadilan kaum.

Dalam laporan mereka, BBC menggambarkan Yeoh sebagai salah seorang pelakon dari Asia yang berjaya menikmati karier yang panjang dan berjaya di AS.

BBC juga memuji Yeoh kerana berbicara tentang kurangnya perwakilan Asia di Hollywood, dan peranannya sebagai duta PBB yang berusaha membasmi kemiskinan pada tahun 2030.

Mengulas mengenai kesan pandemik terhadap kesejahteraan global, Yeoh memberitahu BBC: “Covid-19 memberi kesan kepada kita semua, tetapi wanita menanggung beban.

“Ingat, kita tidak keseorangan. Sekiranya kita merasa terpencil, kita mesti meminta sokongan. Memiliki rangkaian sokongan lebih penting daripada sebelumnya.”

Tokoh terkenal lain dalam senarai itu ialah aktivis legenda Hollywood dan aktivis iklim Jane Fonda, pengasas bersama Black Lives Matter Opal Tometi, Patrisse Cullors, dan Alicia Garza, dan Sarah Gilbert, yang mengetuai penyelidikan vaksin Covid-19 di Universiti Oxford.

Show More

Related Articles

Back to top button