AntarabangsaIsu Semasa

Siapa Wanita Muda Ini Yang Diketengahkan Media Dalam Misi Ke Bulan?

Walaupun merupakan komander paling muda di Pusat Pelancaran Kapal Angkasa Wenchang, Zhou Chengyu terkenal di tempat kerja sebagai “Kakak Besar” sebagai tanda hormat.

Beliau yang berusia 24 tahun itu merupakan komander angkasa untuk program eksplorasi bulan Chang’e-5 telah menjadi sensasi di media sosial China kerana hasil kerjanya.

Misi Chang’e-5 ini merupakan misi ke bulan yang ketiga berjaya dilakukan dalam tempoh tujuh tahun.

 

Peranan Zhou Chengyu Dalam Misi Ke Bulan Chang’e-5

Zhou diberi tugas untuk memegang peranan penting apabila harus bertanggungjawab terhadap sistem penyambung roket.

Ahli angkasa ini telah menjadi topik trending di Weibo sejak media China mengeluarkan berita tentang seorang wanita terlibat dalam kejayaan melancarkan Chang’e-5 pada 23 November lalu.

Kisah tentangnya menjadi tumpuan kerana umurnya yang muda dan media sosial menyambutnya dengan memberi julukan wanita pandai dan menjadi “sumber kebanggaan” negara.

Bagaimanapun, wanita muda kelahiran Guizhou, China ini tidak mahu diwawancara kerana tidak mahu populariti menghalang pekerjaannya.

 

Mengapa Misi Ke Bulan Chang’e-5 Penting?

Chang’e-5 mempunyai misi untuk mengumpulkan batu serta tanah bagi membantu para saintis belajar tentang pembentukan bulan.

Jika berjaya, ia akan menjadi sampel bulan pertama dalam jangka masa 40 tahun untuk dibawa pulang ke bumi sekaligus menjadikan China sebagai negara ketiga untuk melakukannya setelah Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Misi ini juga merupakan sebahagian matlamat Beijing menjadi kuasa besar angkasa yang mana Presiden Xi Jinping menyebutnya sebagai satu langkah menuju “menghidupkan kembali nasional”.

Untuk China, eksplorasi angkasa dilihat sebagai cara untuk menunjukkan perkembangan teknologi mereka dan pada masa yang sama menunjukkan mereka merupakan kuasa yang harus diiktiraf dunia.

 

China Mahu Menunjukkan Kekuasaannya

Prof Ouyang Ziyuan, salah seorang saintis terkemuka negara itu, memberitahu akhbar rasmi China People’s Daily pada tahun 2006: “Eksplorasi lunar adalah cerminan kekuatan nasional yang komprehensif di negara ini.”

Tahun lalu, China menjadi negara pertama yang berjaya mendaratkan kapal angkasa robotik di bahagian paling jauh bulan.

Dalam beberapa dekad akan datang, ia merancang untuk membina stesen penyelidikan di Bulan dan menghantar orang ke Marikh.

 

Apa Itu Chang’e-5 Dan Mengapa Media Mengetengahkan Zhou Chengyu?

Chang’e-5 yang diberi nama sempena dewi bulan itu memiliki panggilan yang kuat untuk seorang figura wanita.

Oleh sebab itu, muka Zhou Chengyu menjadi muka depan tentang misi ini dengan komen bahawa beliau menjadi “askar barisan hadapan dalam misi ke angkasa” dan mendapat gelaran “kakak besar” yang mana anak muda China boleh sanjungi.

Baru-baru ini China dilihat sedang menitik beratkan figura wanita hebat di negara mereka yang lebih didominasi lelaki.

Akhbar Global Times telah mengeluarkan artikel dengan mengajak netizen untuk memberi komen terhadap pencapaian wanita hebat seperti saintis perubatan Chen Wei, jurucakap wanita kementerian luar negara, Hua Chunying dan pemain UFC, Zhang Weili.

Namun, ramai orang di China masih merasakan peranan wanita di dalam negara itu kurang penting di dalam pelbagai industri. Malah salah sebuah drama TV yang menunjukkan peranan wanita dalam misi melawan Covid-19 juga telah dikira sebagai seksis.

Show More

Related Articles

Back to top button