AntarabangsaIsu Semasa

Apa Simbolik Itik Kuning Yang Digunakan Dalam Protes di Thailand

Bangkok, Thailand dilanda revolusi itik kuning sejak penunjuk perasaan menggunakan pelampung itik untuk melindungi diri dari semburan meriam air pihak berkuasa pada bulan lalu ketika protes.

Ketika polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air ketika tunjuk perasaan di luar parlimen, rakaman penunjuk perasaan yang bersembunyi di sebalik pelampung itik raksasa menjadi viral.

 

Peniaga Ambil Kesempatan Jual Barangan Bertemakan Itik

Dalam beberapa hari, kelengkapan bertema itik menjadi bahan utama di kalangan penjual jalanan di tempat tunjuk perasaan, dari pengikat rambut kepada topi dan pelbagai lagi barangan lain.

Para penunjuk perasaan meminta Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha untuk mengundurkan diri, penulisan semula perlembagaan yang digubal tentera dan pembaharuan dalam sistem monarki. Tuntutan itu sekaligus menghapuskan pantang larang di sebuah negara di mana keluarga diraja yang hidup mewah tidak pernah dipersoalkan.

 

Bagaimana Itik Boleh Menjadi Simbol Protes Di Thailand?

Kemunculan mainan itu sebagai simbol tunjuk perasaan berlaku secara tidak sengaja. Penunjuk perasaan merancang untuk menggunakan pelampung itik untuk menyusuri Sungai Chao Phraya Bangkok di belakang parlimen sebagai bantahan terhadap perbahasan cadangan perubahan perlembagaan.

Tetapi sejak digunakan sebagai perlindungan dari gas pemedih mata dan bahan kimia dari tembakan meriam pihak berkuasa, beberapa penunjuk perasaan mengatakan penggunaan pelampung itik telah membantu gerakan tunjuk perasaan terhadap pihak berkuasa.

“Secara umum, itik itu adalah simbolik penjaga kepada orang-orang yang menggunakan cara damai dalam memprotes. Kami mempunyai itik comel untuk melawan polis yang bersenjata penuh dan ini menunjukkan bahawa kami lebih baik,” kata seorang penunjuk perasaan berusia 30 tahun bernama Sam.

 

Itik Menceriakan Suasana Perhimpunan Protes Di Bangkok

Rattikarn Saehor, 39, penjual peniup pelampung itik dari sebuah gerai mengatakan produknya membantu menceriakan suasana semasa perhimpunan.

“Kami mahu tunjuk perasaan menjadi kurang tertekan, penuh dengan idea kreatif yang menunjukkan bahawa kami benar-benar suka melakukan tunjuk perasaan dengan damai, dan tidak mahu berlaku keganasan – jadi itik telah membantu menjadikan segalanya tampak lebih ringan dan lebih lembut,” katanya kepada AFP.

Dia mengatakan hasil penjualannya telah menyokong pasukan perubatan sukarela dalam tunjuk perasaan.

 

Itik Juga pernah Digunakan Dalam Aksi Protes Beberapa Negara Lain

Ini bukan kali pertama pelampung itik digunakan sebagai simbol penolakan dan protes. Ia digunakan dalam tunjuk perasaan di Brazil pada tahun 2016 semasa desakan untuk memaksa presiden Dilma Rousseff meletak jawatan.

Ia turut menjadi simbol tunjuk perasaan di Rusia pada tahun 2017 ketika perdana menteri ketika itu, Dmitry Medvedev memiliki banyak ladang mewah termasuk yang mempunyai rumah khas untuk itik di kolam.

Di China, seorang pengguna Weibo menggunakan gambar itik untuk membantah penindasan di Tiananmen Square pada 1989 sehingga mendorong kerajaan China menyekat carian gambar “itik kuning besar”.

Show More

Related Articles

Back to top button