Bisnes & Ekonomi

Rumah Di Itali Kembali Dijual Pada Harga €1. Gimik Atau Betul?

Tahun lalu berita tentang perumahan di Sicily dan Abruzzo, Itali berharga €1 (RM5) telah menarik perhatian ramai orang untuk membelinya dan tahun ini tawaran tersebut rumah €1 muncul semula.

Kali ini rumah yang dijual terletak di kawasan selatan Molise, Itali lebih tepat lagi sebuah perkampungan bernama Castropignano, 225km dari Rome.

Terdapat juga sebuah istana abad pertengahan yang hancur di puncak tertinggi perkampungan tersebut.

 

Rumah €1 Tidak Dijual Dengan Cara Bidaan

Di kawasan tersebut, terdapat 100 bangunan tidak berpenghuni dan datuk bandar kawasan itu tidak mahu menjualnya dengan cara bidaan seperti dua kawasan sebelum ini.

Nicola Scapillati, datuk bandar Castropignano berkata beliau mahu mencari pembeli dengan rumah yang sesuai dengan mereka.

“Saya mahu pembeli dan tuan bangunan sebelum ini berpuas hati langkah demi langkah untuk menyesuaikan permintaan dan penawaran. Saya tidak mahu harta benda menjadi hancur atau berubah menjadi perjanjian perumahan berspekulasi,” ujar Nicola kepada CNN.

 

Yang Berminat Perlu Menulis E-mel Kepada Datuk Bandar

Malah Nicola mahu pihak yang berminat untuk langsung menuliskan e-mel kepadanya dengan pelan rancangan bagaimana pembeli bakal merubah bangunan yang dibeli – sama ada menjadi rumah, B&B (Bed&breakfast), kedai ataupun kedai artisan.

Kawasan perumahan yang nyaman tetapi memiliki jalan yang sempit. Sumber Imej: timeout.com

“Mereka juga perlu menyenaraikan segala keperluan yang mungkin mereka rasakan perlu seperti akses untuk orang berkerusi roda. Perkampungan ini kecil dan kereta tidak dapat melalui lorong dan tangga yang sempit,” jelas Nicola.

Menurutnya ia sebuah operasi bersasar dan mereka yang membeli harus tahu apa yang mereka bakal hadapi.

Nicola juga telah mengeluarkan notis melalui kedutaan Itali di luar negara tentang projek yang bakal dilakukannya.

 

Tetapi Selain Daripada Perlu Mengeluarkan €1, Apa Yang Perlu Dilakukan?

Sudah tentu terdapat beberapa terma.

Pembeli perlu mengubahsuai hartanah yang dibeli dalam waktu tiga tahun dari tarikh pembelian serta meletakkan wang muka sebagai jaminan sebanyak €2,000 (RM9.900), yang akan dikembalikan setelah kerja-kerja selesai.

Projek ini telah dilancarkan sejak bulan Oktober apabila pihak berkuasa tempatan telah memberitahu pemilik hartanah di perkampungan tersebut untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih.

Jika ia tidak dijalankan, pihak berkuasa tempatan akan mengambil hartanah tersebut di atas sebab keselamatan.

Sehingga kini ramai pemilik yang bersetuju untuk memberi hartanah milik mereka kerana ia memerlukan wang untuk mengubahsuai.

Nicola yakin sekurang-kurang 50 bangunan akan diserahkan.

 

Sudah Ramai Yang Berminat Membeli Rumah €1

Sementara itu, puluhan orang berminat dari Eropah telah menghubunginya, meminta untuk membeli rumah-rumah tersebut. Dan dia berharap, dengan bantuan mereka, kampung ini tidak hanya akan memperoleh kembali joie de vivre (kegembiraan hidup), tetapi juga menjadi lebih aman.

“Ia menyedihkan hati saya melihat keindahan pusat sejarah lama kita yang dilanda rumah-rumah runtuh yang perlahan-lahan reput,” kata datuk bandar.

“Ia menyedihkan dan berbahaya. Tanpa pengubahsuaian, bangunan ini boleh mengalami ancaman. Ia boleh runtuh dalam masa beberapa minit. Oleh itu ia penting untuk menjadikan perkampungan ini lebih selamat.” kata Nicola yang kembali untuk mengembalikan keindahan di kampung halaman yang pernah didiami ibubapanya.

 

Tempat Yang Baik Untuk Mendapatkan Ketengangan

Nicola mengaku Castropignano bukanlah sebuah perkampungan yang meriah untuk didiami kerana ia hanya memiliki sebuah restoran, sebuah bar, farmasi dan beberapa B&B (penginapan) tetapi baginya ia tempat yang terbaik untuk menikmati waktu tidur dan  mendapat ketenangan.

“Tidak ada yang hebat untuk disajikan di sini kecuali ketenangan, kesunyian, alam sektiar dengan udara yang segar serta oksigen yang baik, dan juga pemandangan yang indah serta makanan yang enak. Sangat ideal untuk detoks daripada tekanan harian,” kata Nicola, yang tinggal di kejiranan di utara Itali tetapi kembali ke Castropignano untuk mengembalikan keindahan perkampungan tersebut.

Kini terdapat hanya 900 penghuni di Castropignano berbanding 2,500 orang pada tahun 1930-an dan 60% penghuninya berusia lebih 70 tahun.

Setelah perang dunia ke-2, ramai keluarga pindah keluar dari situ untuk masa depan yang lebih cerah dan kemudiannya pada tahun 1960-an orang muda Castropignano berpindah ke bandar lebih besar untuk belajar dan bekerja.

 

Apa Yang Bakal Anda Dapat Dengan Membeli Rumah Di Castropignano?

Nicola berkata, kebanyakan bangunan yang dijual dalam keadaan baik, walaupun memiliki pintu yang tidak ditutup, cat mengelupas dan sebahagian ditutupi dengan tumbuh-tumbuhan.

Dia berpendapat bahawa pengubahsuaian menyeluruh akan bermula dari sekitar €30,000-40,000 (RM148,000-RM198,000).

Tetapi ada banyak potensi dengan membeli kediaman di sini kerana seni binanya yang indah dengan pintu masuk yang memiliki pondok sederhana dan kebanyakan rumah mempunyai pemandangan sungai Biferno yang lutsinar melintasi lembah.

Show More

Related Articles

Back to top button