Bisnes & Ekonomi

Warong Rider: Servis Penghantaran Untuk Peniaga Kecil

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperkenalkan platform servis penghantaran Warong Rider untuk kegunaan semua golongan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerjasama membabitkan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) menerusi Program Micro Connector membolehkan penghantar atau ‘rider’ menerima bantuan untuk menjalankan tugasan.

 

70% Kos Warong Rider Dibiayai SME Corp

“Melalui kerjasama ini, rider di bawah platform Warong Rider akan dibekalkan dengan kit permulaan (beg penghantaran serta pakaian seragam) bernilai RM250 di mana 70 peratus dari kosnya dibiayai oleh SME Corp melalui Program Micro Connector.

“Pembiayaan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kos kepada golongan belia B40 yang menyertai platform dan sekali gus membuka peluang kepada mereka menjana pendapatan melalui perniagaan,” katanya ketika memperkenalkan platform itu bersempena Pra Pelancaran Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan Tahun 2020 (HPPK 2020).

 

 

Warong Rider Diharapkan Dapat Membantu Memberi Peluang Pekerjaan & Penjaja

Wan Junaidi berkata, pengenalan kepada khidmat penghantaran baharu Warong Rider bukan sahaja bertujuan membantu usahawan dikalangan penjaja dan peniaga kecil, malah menjana peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya belia yang terjejas akibat COVID 19.

“Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, SME Corp melalui Program Micro Connector telah memperuntukkan dana sebanyak RM875,000 kepada 5,000 rider yang bakal menawarkan perkhidmatan penghantaran mereka ke seluruh negara.

 

Rider Berpeluang Mendapatkan Pembiayaan Pembelian & Baik Pulih Motosikal

“Selain daripada bantuan start up kit yang ditawarkan oleh SME Corp, agensi MEDAC yang lain iaitu TEKUN Nasional (TEKUN) turut menawarkan peluang pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 3.0 yang mana rider bagi platform ini berpeluang mendapatkan pembiayaan pembelian dan baik pulih motosikal.

“Di bawah program TEKUN, seramai 2,114 orang rider telah terima pembiayaan berjumlah RM17.5 juta di bawah Program TEKUN Mobilepreneur. Pembiayaan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kos kepada golongan belia B40 yang menyertai platform ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi turut mengumumkan perpindahan Bahagian Penjaja dan Peniaga Kecil (BPPK) yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal dan pembangunan penjaja dan peniaga kecil daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada MEDAC berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button