Isu SemasaKesihatanTempatan

Malaysia, China Bekerjasama Hasilkan Vaksin Covid-19

Malaysia dan China hari ini memeterai perjanjian membabitkan usaha membangunkan vaksin COVID-19 yang selamat serta berkesan.

Perjanjian berkenaan memfokus kepada kerjasama erat antara kedua-dua negara, bagi memerangi secara agresif pandemik COVID-19.

Ia ditandatangani Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin manakala China diwakili rakan sejawatnya, Wang Zhigang dalam satu majlis yang diadakan secara maya.

 

Perjanjian Penghasilan Vaksin COVID-19 Antara Kedua-Dua Negara Sudah Termeterai

Satu kenyataan bersama Kementerian Luar dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyebut, perjanjian terbabit akan beroperasi di bawah pemantauan Jawatankuasa Tinggi, dipengerusikan bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta rakan sejawat dari China, Wang Yi.

“Kerjasama ini sudah dipersetujui pada 13 Oktober lalu, bagi mempromosikan kerjasama pragmatik dan pendekatan lebih serius dalam menangani cabaran pasca pandemik,” kata kenyataan itu.

 

Apa Sahaja Yang Dipersetujui Bersama?

Terdahulu, Khairy Jamaluddin dan Wang Zhigang ketika majlis bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani segala isu berkaitan COVID-19 menerusi diplomasi sains.

“Perjanjian ini membolehkan Malaysia mendapat keutamaan memperoleh bekalan vaksin COVID-19 yang dibangunkan China, perkongsian ilmu dan kepakaran, selain kemudahan saintifik serta keupayaan teknologi.

“Ia bagi membolehkan pembangunan vaksin dilakukan dengan lebih canggih dan maju di kedua-dua negara,” tambah kenyataan itu.

Kedua-dua negara juga akan saling menyokong penyertaan sektor awam dan swasta, termasuk universiti, institusi, persatuan serta pertubuhan dalam kerjasama berkenaan.

Turut mendapat persetujuan kedua-dua kerajaan ialah usaha menggalakkan lebih banyak perniagaan mengukuhkan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta bekalan.

 

Perjanjian Antara Malaysia-China Sah Hingga 5 Tahun

Perjanjian ini sah untuk tempoh hingga lima tahun dan dilanjutkan secara automatik selama setahun pada satu-satu masa, tertakluk kepada persetujuan kedua belah pihak.

“Ini adalah langkah yang baik untuk hubungan Malaysia-China dalam era pasca pandemik. Keutamaan vaksin, bersama dengan hal-hal ekonomi, sosial dan budaya dua hala lain adalah sebahagian daripada kerangka kerja yang lebih luas di bawah jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Wang Yi dan saya,” kata Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu tweet.

Khairy juga dalam satu tweet, mengatakan bahawa beliau telah membincangkan pasport kesihatan digital yang dibolehkan oleh blockchain untuk memudahkan koridor perjalanan bagi warganegara yang divaksinasi dari kedua-dua negara.

Show More

Related Articles

Back to top button