AntarabangsaIsu Semasa

Ini Yang Harus Dilakukan Amerika Untuk Mengekalkan Pakatan Asia Timur-AS & Mengalahkan China

Menurut Pentagon, China kini lebih maju dalam kemampuan ketenteraan mereka berbanding Amerika Syarikat (AS).

Impian China untuk menjadikan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) sebagai pasukan ketenteraan bertaraf dunia pada tahun 2049 kelihatan bakal direalisasikan setelah melabur selama berdekad lamanya.

Kini kapasiti ketenteraan mereka dalam pembinaan kapal serta memiliki kekuatan darat dan tentera laut terbesar di dunia manakala pasukan tentera udara mereka pula apabila digabungkan dengan tentera laut mampu menjadi pasukan terkuat di Asia dan ketiga terbesar di dunia.

Pemodenan yang pantas dalam keupayaan ketenteraan China telah membimbangkan pakatan Amerika Syarikat di Asia Timur.

Terdapat dua sebab utama mereka bimbang.

 

Mengapa Negara Pakatan AS Di Asia Timur Bimbang Dengan Ketenteraan China?

1. Kekuatan ketenteraan pasukan PLA mampu menyaingi ketenteraan AS. PLA sedang membangunkan kemampuan yang khusus untuk menghalang dan mengalahkan pasukan tentera AS jika tercetusnya konflik di kawasan jajahan China. Ini membimbangkan sama ada AS masih mampu membantu pakatan mereka di Asia Timur ataupun tidak.

2. Pemodenan pasukan tentera China membimbangkan Jepun, Korea Selatan, Filipina dan Australia kerana ia membolehkan PLA untuk bertindak melulu terhadap rantaian pulau pertama. Kebimbangan semakin meningkat apabila China pernah mengugut, melanggar dan menenggelamkan kapal negara lain yang dianggap mempertikaikan tuntutan maritim China. Kelakuan China ini seperti mahu menjadikan Beijing sebagai kekuatan dominon dalam rantau Asia.

 

Pilih Yang Mana: China Atau Amerika Syarikat?

Pentadbiran Trump yang secara terbuka menerima persaingan daripada China telah mendapat pandangan yang bercampur-baur daripada negara pakatan Asia Timur-AS.

Walaupun ramai yang memuji pentadbiran Trump untuk bertoleransi terhadap pergolakan yang diunjurkan China, akan tetapi kebanyakan pemimpin di rantau Asia melihat persaingan ini bakal membuat negara-negara Asia termasuk yang memiliki pakatan bersama AS untuk memilih sisi – sama ada menyokong China atau AS.

Perkara ini bakal menjadi sangat sulit kerana kebanyakan negara pakatan AS di Asia Timur melihat China sebagai rakan ekonomi yang kritikal manakala AS pula adalah penting sebagai sumber keselamatan negara.

Krisis seperti ini sudah tentu mahu dielak oleh mana-mana negara.

Oleh sebab itu negara-negara pakatan AS di Asia Timur sudah mula meningkatkan strategi dalam empat elemen.

 

Empat Strategi Negara Pakatan AS Di Asia Timur Untuk Elak Konflik

1. Menarik minat China
2. Mengekalkan pakatan yang kuat dan berkesan bersama Amerika Syarikat
3. Meningkatkan keupayaan pertahanan negara
4. Menguatkan kerjasama dengan negara serantau

Melihat kepada pentadbiran Trump dan pakatannya bersama negara Asia Timur, ia mungkin menggoyahkan keselamatan rantau tetapi AS masih dilihat sebagai rakan pilihan kerana ia merupakan satu-satunya negara yang mampu menyeimbangkan China.

Keadaan terkini ini memberi kelebihan kepada Amerika Syarikat kerana negara pakatannya sudah mula melabur kepada sistem pertahanan masing-masing dan makin bimbang dengan kemampuan China yang kian berkembang.

Pada masa yang sama, Asia mula membangunkan kerangka untuk membangun dengan kehadiran AS sebagai pilihan dan bukan sesuatu yang kritikal.

 

Asia Kini Mampu Membangun Tanpa AS Tetapi Masih Memilih AS Berbanding China

Ini berlaku sebaik sahaja Trump menarik diri daripada perjanjian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). Perjanjian TPP masih berjalan dengan jaya tanpa kehadiran AS dengan 11 negara yang ada.

Rumusan yang berjaya ketika Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijalankan juga memberi keyakinan kepada negara Asia bahawa prinsip perdagangan bebas mampu terbentuk tanpa AS. Perkara ini juga mampu menarik ahli baharu dalam rantau yang sama dan juga luar.

Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menyatukan 10 negara anggota ASEAN berserta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand bakal melihat China mendominasi RCEP akibat daripada penarikan diri AS sewaktu perjanjian TPP.

Oleh sebab itu, negara pakatan AS di Asia Timur masih menganggap AS sebagai pilihan untuk bekerjasama berbanding kepimpinan China.

 

Apa Yang Harus Amerika Lakukan Untuk Mengekalkan Pakatan Asia Timur – AS?

Dua penganalisis antarabangsa iaitu Abraham M. Denmark, Pengarah Program Asia di Pusat Antarabangsa Woodraw Wilson International untuk Cendekiawan dan Shihoko Goto, Penolong Pengarah Geoekonomi Program Asia di Pusat Wilson sama-sama berpendapat bahawa AS perlu melihat persaingan China bukan dengan cara mengehadkan pengaruh China semata-mata.

AS perlu meningkatkan kepimpinan, kekuatan dengan visi yang positif dalam rantau untuk meningkatkan lagi sokongan negara pakatan Asia Timur terhadap AS.

Ini kerana ramai sudah melihat cara perdagangan China yang tidak begitu adil sehingga memaksa pemindahan teknologi, mencuri hak intelektual serta perlindungan negara milik Beijing yang tidak baik dan juga kebimbingan keselamatan negara rantau berpotensi terjejas.

Disebabkan perkara ini, Washington boleh memainkan peranan penting dengan mengetengahkan risiko keselamatan dan geopolitik yang terlibat dalam inisiatif ekonomi dan infrastruktur China.

Washington boleh menjadi jalan alternatif untuk rantau Asia dan melemahkan China dengan mengumpulkan negara yang sependapat.

Namun begitu, dalam bahagian pelaburan infrastuktur dan persaingan teknologi, perkara ini mungkin sukar untuk dicapai jika AS tidak boleh menawarkan peta jalan alternatif yang menarik untuk inovasi baharu.

 

Sumber Imej Terencana: Nikkei Asian Review

Show More

Related Articles

Back to top button