AntarabangsaIsu Semasa

Setelah Uighur, Betul Ke Masyarakat Islam Utsul Menjadi Sasaran China Seterusnya?

Ura-ura beberapa media antarabangsa telah menyatakan kerajaan China kini mula mengharamkan pemakaian tradisional di sekolah dan pejabat kerajaan di Utsul, sebuah bandar kecil pulau Hainan yang terletak 12,000km dari Xinjiang (negeri asal orang Uighur).

Menurut South China Morning Post, dokumen dari parti komunis negara tersebut telah mencadangkan pihak berkuasa untuk meningkatkan pemantauan terhadap penduduk Islam untuk “menyelesaikan masalah” dan mengetatkan undang-undang keagamaan serta keadaan arkitek yang ala “Arab”.

 

Arahan Pengharaman Penggunaan Hijab Di Sekolah

Terdapat arahan untuk mengharamkan penggunaan hijab di sekolah sehingga menyebabkan protes berlaku di sekolah-sekolah di kejiranan Utsul pada awal bulan yang membawa kepada beberapa kepingan gambar tersebar di media sosial China, Weibo.

Kanak-kanak perempuan di Utsul yang mogok di hadapan sekolah kerana tidak mahu mengikuti larangan tidak memakai hijab. Sumber Imej: Twitter

Di dalam gambar tersebut menunjukkan beberapa kumpulan kanak-kanak perempuan mengenakan hijab dan membaca buku sekolah di luar Sekolah Rendah Tianya Utsul yang dikelilingi pihak polis.

Pada 2015, pihak kuasa tempatan telah meluluskan undang-undang pengharaman mengenakan purdah dan apa sahaja pemakaian yang menunjukkan pemikiran keagamaan ekstrim di Urumqi, ibu kota Xinjiang.

Perkara ini telah dikenakan juga ke atas pemakaian hijab dan dua tahun setelah itu, ia dikuatkuasakan di seluruh Xinjiang.

Namun, tanpa sebab pengharaman yang sama dilakukan ke atas pemakaian tradisional Sanya di Utsul.

Seorang pekerja masyarkat berkata wanita Utsul yang bekerja untuk majlis perbandaran Sanya ataupun Parti Komunis China cawangan tempatan tidak dibenarkan mengenakan hijab di dalam pejabat bermula akhir tahun lalu.

Wawancara terhadap pihak pentadbiran daerah Sanya tidak diterima tetapi South China Morning Post berkata dokumen dari Parti Komunis dan beberapa pekrja komuniti telah mengesahkan pengharaman tersebut baru bermula tahun lalu.

 

Parti Komunis Mahu Beberapa Perkara Berunsurkan “Arab” Dimansuhkan

Laporan empat muka surat bertajuk “Dokumen Kerja mengenai pengukuhan tadbir urus di keseluruhan Huixin dan Huihui”, ditujukan untuk dua kawasan kejiranan di Sanya di mana kebanyakan penduduknya adalah orang Utsul.

Laporan daripada Parti Komunis cawangan Tianya di daerah Huixin dan Huihui mahukan beberapa perkara dikerahkan.

Antaranya ialah masjid harus diperkecilkan apabila ia dibina semula dan bangunan yang berunsurkan “Arab” harus diharamkan. Tulisan arab perlu disingkirkan daripada pintu kedai beserta tulisan China yang membawa maksud “halal” dan “Islam”.

Pengawasan penduduk Utsul juga kini menjadi kepentingan mereka untuk memastikan “arahan sosial” dan “menyelesaikan permasalahan” di antara dua kejiranan.

Selain hijab, skirt panjang yang dikenakan oleh wanita Utsul diharamkan di sekolah dan tempat kerja manakala masjid pula perlu ada satu ahli Parti Komunis di dalam ahli pengurusan masjid bagi memantau aktiviti.

 

Dari Xinjiang Ke Utsul

Perkara-perkara ini adalah seperti yang dilakukan di Xinjiang dan kini dilihat bakal dikuatkuasakan di seluruh negara.

Pada tahun 2018, Dewan Negara China mengeluarkan arahan rahasia, berjudul “Memperkuat dan Meningkatkan Kerja Islam dalam Situasi Baru”, yang mana antaranya ialah memerintahkan penghapusan semua ciri Arab dari masjid.

Sejak itu, masjid-masjid di wilayah dan provinsi di luar Xinjiang telah membuang kubah mereka, ditutup, atau diganti dengan pagoda gaya Cina yang berjubin.

Menurut pekerja komuniti Utsul, larangan memakai hijab telah menyebabkan ramai orang melakukan tunjuk perasaan.

 

Bantahan Rakyat Didengari?

Walau bagaimanapun, pengharaman tersebut telah diangkat pada hujung bulan September lalu setelah ratusan pelajar di tiga sekolah membantah untuk menanggalkan hijab mereka dan boikot memasuki kelas.

Parti Komunis China yang merupakan atheis ini juga telah menyebabkan protes di bahagian dalam Mongolia apabila pihak berkuasa tempatan telah membuat undang-undang supaya guru sekolah berhenti mengajar subjek dalam bahasa Mongolia dan bertukar kepada bahasa China.

Pada tahun 2018, pelan untuk menghapuskan sebuah masjid di Ningxia telah menyebabkan bantahan oleh penduduk berbangsa Hui yang juga merupakan kumpulan masyarakat Islam terbesar di China.

Namun kubah dan menara masjid terpaksa disingkirkan pada hujung tahun tersebut setelah masyarakat tempatan dipaksa untuk menandatangani surat sokongan untuk melakukan “pengubahsuaian” masjid.

 

Xinjiang Merupakan “Makmal Kajian” Cubaan Menghapuskan Islam Di China?

Ma Haiyun, Profesor Madya dalam sejarah di Frostburg State University, Maryland berkata Xinjiang merupakan “makmal” untuk dasar penindasan terhadap Islam yang kini dilakukan di seluruh China.

Ma, yang merupakan seorang Muslim Hui menambah bahawa ada sikap pilih kasih yang jelas terhadap pakaian tradisional di China.

Walaupun pihak berkuasa China mensasarkan golongan minoriti, trend baru-baru ini di kalangan anak muda China memakai pakaian tradisional Cina Han – dikenali sebagai Hanfu – telah dipuji oleh pihak berkuasa.

Oleh itu mensasarkan orang Utsul di Sanya telah menyebabkan masalah yang belum pernah terjadi sebelum ini kerana wanita Utsul memakai hijab sebagai satu tradisi yang dilakukan turun-temurun berbanding sesuatu yang melambangkan agama.

 

Orang Utsul Merasakan Memakai Hijab Itu Adalah Tradisi Turun-Temurun

Masyarakat Utsul bersetuju bahawa pihak berkuasa tempatan telah salah anggap dengan tradisi tersebut sebagai “agama yang dipercayai oleh golongan minoriti”.

“Apa agama kami ajarkan ialah kanak-kanak yang belum akil baligh tidak perlu mengenakan hijab tetapi ia merupakan tabiat kami dan juga tradisi kami, kami mengenakannya. Oleh itu saya tidak faham mengapa ia menjadi isu yang dicampur baur dengan agama,” kata pekerja masyarkat Utsul.

Walaupun orang Utsul adalah sangat sedikit dengan lebih kurang 10,000 sahaja berbanding Uyghur dan Hui yang lebih kurang 10 juta otang, tetapi mensasarkan Utsul boleh menyebabkan hubungan China dengan beberapa negara di Asia Tenggara goyah.

Ini kerana Utsul merupakan orang berketurunan Cham yang pernah memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Champa yang kini Vietnam.

Utsul juga mempunyai bahasa mereka tersendiri yang hampir sama dengan Bahasa Melayu.

 

Ramai Orang Utsul Sering Ke Malaysia

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dikatakan memiliki keturunan daripada Utsul dan sudah beberapa kali melawat negeri tersebut. Sumber Imej: sanyatour

“Sebelum Covid-19, ia adalah perkara biasa untuk kami ke Asia Tenggara untuk belajar dan bercuti,” kata pekerja masyarakat Utsul yang identitinya tidak mahu didedahkan.

Menurut Ma, tekanan ke atas kaum Islam minoriti di China boleh menyebabkan sentimen Anti-China meningkat di Malaysia dan Indonesia.

“Dengan hanya menekan sebuah kumpulan kecil seperti Utsul, ia boleh memusnahkan imej China di kalangan orang Asia Tenggara yang boleh mempengaruhi kerajaan mereka untuk menjadi lebih populis dan mencetus kebencian terhadap diaspora China,” kata Ma.

Dengan keinginan Beijing untuk menjadikan Hanan zon perdagangan bebas menjelang 2025 adalah sangat tidak wajar untuk menekan akses pendidikan Utsul.

“Bagaimana mereka boleh berkata mereka bebas dan penuh toleransi di zon perdagangan bebas apabila mereka tidak boleh menjamin hak asasi pelajar untuk mendapat pendidikan? Ini hanya tidak masuk akal,” jelas Ma.

Show More

Related Articles

Back to top button