Isu SemasaTempatan

Ingkar PKPP: Polis Diberi Kuasa Untuk Kompaun Serta-Merta

Pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas kini boleh mengeluarkan kompaun serta merta di lapangan terhadap individu yang dikesan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 

Tidak Lagi Perlu Ke Balai Untuk Dikenakan Kompaun

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebelum ini pesalah perlu dibawa ke balai untuk dikenakan kompaun.

“Bagi memudahkan urusan kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan, maka pihak Pejabat Peguam Negara membenarkan mereka mengeluarkan kompaun serta merta terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Kompaun serta merta ini boleh dikeluarkan oleh pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas.

“Jika sebelum ini individu yang melanggar SOP ditahan dan dibawa ke balai polis untuk dikompaun tetapi mulai hari ini dan hari seterusnya kompaun dikeluarkan di lapangan, di tempat kejadian berlaku.

“Jika ia berlaku di selatan jalan raya maka di situlah kompaun akan dikeluarkan serta merta,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diadakan setiap hari.

 

Kawalan Sempadan Negara Diperketatkan

Beliau berkata, arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menunjukkan bahawa kerajaan sangat prihatin terhadap situasi semasa COVID-19 dalam negara.

“Mesyuarat juga bersetuju memperketatkan lagi kawalan sempadan negara khususnya di Pantai Timur Sabah dengan menambah jumlah anggota keselamatan dan aset bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Selain itu pemantauan pematuhan SOP juga akan digiatkan manakala jumlah sekatan jalan raya juga akan diperbanyakkan,” katanya.

 

Masih Ada Yang Langgar Aragab PKPP

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan seramai 357 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 320 individu dikenakan tindakan kompaun, 35 individu direman dan dua lagi dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (167); gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (123); tidak mengamalkan penjarakan fizikal (34); gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah (23); keluar rumah di kawasan PKPB tanpa kebenaran (5) dan melanggar perintah kuarantin (5).

“Semalam, Ops Benteng berjaya menahan 38 PATI, dua tekong dan empat penyeludup serta merampas lapan kenderaan darat.

“Sebanyak 130 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng juga dilakukan di seluruh negara yang membabitkan PDRM (108) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 12 sekatan jalan raya dan 10 sekatan jalan raya yang diadakan oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM),” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button