Amerika SyarikatPolitik

Mengapa Orang Vietnam-Amerika Menyokong Trump Berbanding Biden Sehingga Mempunyai ‘Fanpage’ Tersendiri Di Vietnam?

Seringkali berita orang terkena jangkitan COVID-19 akan membawa keresahan serta perasaan kasihan terhadap mangsa tersebut tetapi lain pula apabila ia terkena pada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Jagat maya kelihatan gembira dengan berita tersebut.

Walaupun ramai yang dilihat tidak menyukai Presiden Donald Trump, tetapi orang keturunan Vietnam di Amerika adalah antara penyokong tegar taikun kelahiran New York itu.

 

48% Vietnam-Amerika Sokong Trump

Sebuah hasil tinjauan yang dikeluarkan bulan lalu telah mendapati 48% orang Vietnam di Amerika menyokong Trump berbanding 36% yang menyokong calon parti Demokrat, Joe Biden.

Ini berbeza berbanding pengundi keturunan Asia Amerika yang lain termasuk yang berasal daripada China, India, Korea, Jepun serta Filipina – 54% daripada mereka lebih memilih Biden berbanding Trump, 30%.

Keputusan ini masih sama sejak undian kasar yang dilakukan pada tahun 2018 di mana mereka yang berketurunan Vietnam di Amerika merupakan kumpulan majoriti yang menyokong hasil kerja Trump sebanyak 64%.

 

Mengapa Orang Keturunan Vietnam Menyokong Trump?

Pham Do Chi, salah seorang pengasas ahli kumpulan penyokong Trump yang dikenali sebagai ‘Vietnamese Americans For Trump as President Again‘ (TAPA) yang berpangkalan di Amerika di mana ahlinya adalah daripada kalangan pelarian serta veteran ketenteraan Selatan Vietnam berkata kepada This Week in Asia bahawa mereka mempunyai alasan jelas mengapa mereka lebih memilih Trump.

“Kehidupan orang Asia-Amerika telah menjadi lebih baik secara signifikan di bawah pimpinan Trump, dengan ekonomi yang lebih kuat serta pekerjaan yang hampir dipenuhi sebelum wabak,” katanya.

Chi, 71 tahun yang memiliki kedoktoran dalam bidang ekonomi merupakan bekas ahli ekonomi di International Monetary Fund (IMF) berpendapat bahawa Trump memiliki keupayaan untuk membawa negara tersebut keluar daripada kemelesetan semasa, dan juga menyukai sikap kerasnya tentang “imigrasi haram” serta China.

Berbanding Biden, Chi merasakan pihak pentadbiran Biden bakal meningkatkan cukai terutamanya bagi sektor korporat yang bakal memperpanjangkan kemelesetan sehingga 2021 dan seterusnya.

 

Vietnam Sokong ‘Jadikan Amerika Kembali Masyhur’

Dalam sebuah surat yang ditujukan kepada Trump di bulan Julai, TAPA telah meluahkan sokongan 100% mereka terhadap beliau serta kempen “Make America Great Again” (Jadikan Amerika Kembali Masyhur).

Di dalam surat tersebut juga, kumpulan itu telah melahirkan rasa terima kasih mereka kepada Amerika yang telah membuka jalan kepada pelarian Vietnam dan secara kerasnya menolak komunisme dan Marxisme kerana ia telah menyebabkan negara mereka musnah dan ramai orang tidak bersalah dibunuh.

Hubungan bersejarah di antara Vietnam dan Amerika dibentuk sejak berakhirnya perang Vietnam pada tahun 1975.

Pada tahun itu juga telah menjadi titik permulaan emigrasi secara besar-besaran lebih 2 juta orang Vietnam, Kemboja, Laos meninggalkan negara mereka.

Lebih daripada 880,000 orang daripada 1.6juta rakyat Vietnam telah meninggalkan negara kelahiran mereka untuk berhijrah ke Amerika Syarikat.

 

Ramai Peminat Trump Di Negara Vietnam

Di Vietnam sendiri terdapat kumpulan peminat Trump dengan ribuan pengikut tersendiri di Facebook.

Walaupun tidak jelas siapa yang mengelola laman tersebut tetapi nombor telefon yang tertera di laman Facebook itu adalah nombor telefon tempatan dan bahasa yang digunakan adalah bahasa tempatan.

Salah satu laman Facebook penyokong Trump di Vietnam mempunyai 86,000 like dan 290,000 pengikut.

Salah satu penggemar Trump di Vietnam ialah Luong Minh Trung, 52 tahun yang mempunyai perniagaan meletakkan skuter di sebuah pasar di Ho Chi Minh yang diberi nama sempena Trump – yang juga membuatnya lebih mudah untuk dicari kerana nama unik tersebut, jelasnya.

“Saya hanya tahu tentang Trump setelah beliau menjadi presiden. Beliau bekerja keras dan peduli tentang rakyatnya,” kata Trung yang menjelaskan mengapa dia menyokong Trump sambil menambah bahawa dia mengikuti perkembangan presiden Amerika itu melalui media sosial.

 

Satu-Satunya Negara Yang Mengatakan Trump Layak Menjadi Presiden

Kebanyakan orang di Vietnam berkongsi pendapat dengan Trung apabila sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2017 oleh Pusat Penyelidikan Pew mendapati 37 negara tidak melihat Trump sebagai calon layak menjadi Presiden kecuali Vietnam.

Setelah debat pertama di antara Trump dan Biden berlangsung minggu lalu, salah seorang netizen dari Vietnam menulis komen dengan berkata,”Saya harap En Trump bakal dipilih untuk memusnahkan China kerana China tidak peduli terhadap negara lain tetapi tidak ada presiden yang memprotes [China] seperti En Trump [lakukan].”

 

Sejarah Membuat Vietnam Setia Dengan Republikan

Thinh Nguyen, 62 tahun yang datang ke Amerika Syarikat sebagai pelarian sebelum menjadi warganegara Amerika kini menjalankan syarikat teknologi di bandar Ho Chi Minh berkata kebanyakan orang pencen Vietnam menyokong Republikan oleh itu mereka menyokong Trump kerana kebanyakan orang Vietnam-Amerika percaya bahawa “Selatan Vietnam kalah disebabkan Demokrat”.

Butang Reagan-Bush 84. Sumber Imej: eBay

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka merasakan Demokrat dan pemimpin anti-perang di Amerika pada waktu itu telah menurunkan Presiden Richard M. Nixon dan menyebabkan Amerika menarik diri daripada peperangan yang menyebabkan kejatuhan Saigon.

Thinh turut menunjukkan sebuah butang yang bertulis “Orang Vietnam menyokong Reagan-Bush 84” yang disimpannya di rumahnya sebagai kenangan bagi menunjukkan bagaimana dia pernah mengumpulkan sokongan antara Vietnam-Amerika lain untuk kedua-dua calon Republikan tersebut ketika mereka mencalonkan diri.

 

Tidak Semuanya Sama

Thinh mengatakan bahawa dia menghormati pilihan Vietnam-Amerika untuk memilih Republikan, walaupun dia sekarang menyebut dirinya bekas anggota parti itu setelah dia secara beransur-ansur bergerak ke kiri spektrum politik ketika dia meninggalkan New Orleans dan berpindah ke California pada tahun 1980-an.

“Anda harus dapat melihat bila ada yang salah dari segi moral dan politik,” katanya.

“Sekiranya anda memilih Trump, anda bersedia menerima rasuah dan menghancurkan demokrasi dan hak asasi manusia, sesuatu yang telah lama kami bangunkan di AS.”

 

Adakah Generasi Muda Vietnam Memiliki Pendapat Yang Sama?

Seperti mana-mana kumpulan di Amerika, generasi muda memiliki pendapat berbeza berbanding warga senior dari segi sosial dan politik.

“Tanpa melihat data, saya rasa generasi mudah Vietnam-Amerika lebih ke arah kiri dalam spektrum politik berbanding ibubapa dan atuk nenek mereka,” kata Lien-Hang T. Nguyen, seorang ahli sejarah di Universiti Columbia.

Diep The Lan, 36 tahun, anak kepada pelarian Vietnam dan ahli majlis bandar San Jose di California berkata dia akan mengundi Biden kerana bekas Timbalan Presiden Amerika itu mempunyai pengalaman dalam akta tempatan dan luar negara serta memiliki empati.

Lan, seorang bekas ahli Republikan yang menjadi Demokrat tahun lalu, mengatakan bahawa bapanya, yang melarikan diri dari Vietnam Selatan setelah perang, adalah penyokong Trump “kerana dia yakin presiden Trump akan bermanfaat bagi gerakan pro-demokrasi di Vietnam lebih daripada jawatan presiden Biden ”.

“Boleh dikatakan, suara itu akan menjadi simbolik, kerana California sangat menyokong Mr Biden, walaupun komuniti pelarian Vietnam tidak,” katanya.

 

Anak Muda Memilih Mempelajari Politik dan Undang-Undang Untuk Mengubah Keadaan

Colette Brannan, seorang pelajar undang-undang di Universiti Yale yang mempunyai ibu Vietnam-Amerika dan ayah Amerika berkulit putih, mengatakan bahawa dia memilih untuk tidak membincangkan politik dengan keluarga besarnya kerana beberapa di antaranya adalah penyokong Trump untuk mengelakkan konflik.

Viet Thanh Nguyen, seorang penulis pemenang Hadiah Pulitzer. Sumber Imej: Electric Literature

Dia yang kini berusia 24 tahun itu mengatakan bahawa dia kecewa melihat banyak orang Vietnam-Amerika yang lebih tua menyokong Trump, tetapi dia terilham oleh artis aktivis di Diasporic Vietnamists Artists Network dan oleh Viet Thanh Nguyen, seorang penulis pemenang Hadiah Pulitzer yang secara terbuka mengkritik Trump dan warga Vietnam-Amerika yang menyokongnya.

“Pemilihan Trump pada tahun 2016 sebenarnya adalah salah satu sebab utama saya memutuskan untuk terlibat secara politik dan pergi ke sekolah undang-undang,” katanya.

“Dan itu membuat saya sedar bahawa saya harus mencuba dan menggunakan kemampuan saya sendiri untuk menjadikan dunia menjadi tempat yang lebih baik, kerana jika kita tidak melakukannya, tidak ada yang akan melakukannya.”

Show More

Related Articles

Back to top button